Kematian adalah sesuatu perkara yang wajib dilalui oleh semua yang bernyawa. Upacara memperingati orang yang telah meninggal dunia merupakan salah satu aspek di dalam kewujudan manusia itu sendiri.
Oleh kerana perbezaan kaum, tradisi dan juga agama, terdapat pelbagai jenis cara berkabung yang mungkin unik atau pelik bagi sesetengah orang yang lainnya.
BESARKAN TEKS A- A+
Berikut adalah senarai beberapa cara berkabung yang dianggap unik dari seluruh dunia.
10. Mengelak dari menyebut nama si mati
Di dalam kebudayaan sesetengah kaum orang asli Australia, apabila seseorang itu mati biasanya ahli keluarga atau komuniti itu akan menentukan sejumlah waktu yang dinamakan sebagai 'larangan menyebut nama'.
Ia mungkin boleh berlangsung selama beberapa bulan hingga beberapa tahun lamanya mengikut status si mati itu. Mereka percaya apabila seseorang itu mati, rohnya akan berhijrah ke alam lain.
Ini kerana mereka percaya jika nama si mati disebut di dalam tempoh larangan mungkin akan mengakibatkan roh itu kembali ke alam nyata dan mengganggu keluarganya.
Sebagai contoh kaum Arrernte menggunakan Kumantjayi yang bermaksud 'tanpa nama' bagi merujuk kepada individu yang telah mati. Ahli komuniti yang mempunyai nama sama dengan si mati juga perlu menggunakan nama lain buat sementara waktu dan ini kadangkala menjadi masalah apabila ingin mendaftarkan kematian seseorang itu.
9. Barang kemas dari rambut si mati
Rambut manusia sememangnya diketahui sukar untuk rosak buat jangka waktu yang panjang. Mumia berusia ribuan tahun yang ditemui juga mempunyai rambut yang masih elok.
Upacara ini menjadi popular semasa era Victoria dan dikenali sebagai 'barang kemas berkabung'. Ratu Victoria sendiri telah membuat barang kemas dari rambut mendiang suaminya, Putera Albert.
Ia biasanya dibuat dalam bentuk rantai leher, kerongsang, gelang dan pelbagai lagi. Memakai objek ini menjadi hobi terkenal di kalangan wanita kelas pertengahan di Britain dan Amerika.
Kini trend yang semakin dilupakan ini telah dihidupkan semula oleh para hipster dan terdapat beberapa kedai di Amerika yang mempunyai perkhidmatan membuat barangan kemas seperti ini.
8. Tarian eksotik
Di sesetengah tempat di Taiwan dan China, upacara kematian tidak ubah seperti sebuah kelab tarian eksotik. Upacara yang pelik ini menjadi begitu terkenal pada tahun 1980-an.
Biasanya para penari akan tiba di majlis dengan menaiki "Kereta Bunga Elektrik", iaitu trak yang telah diubah menjadi pentas tarian. Persembahan biasanya dilakukan dengan diarak di jalanan atau di tempat upacara kematian.
Namun, ia tidaklah begitu popular di kalangan penduduk bandar, hanya di pendalaman dan kini kerajaan China telah berusaha untuk menghapuskan upacara ini secara menyeluruh.
Tidak diketahui apakah alasan kepada upacara ini. Sesetengah orang berpendapat ianya untuk menunjukkan status kekayaan keluarga si mati. Pernah berlaku apabila seorang ahli politik Taiwan mati, terdapat lebih dari 50 orang penari tiang telah membuat persembahan.
7. Memotong jari
Apabila orang yang disayangi telah meninggal dunia, ia umpama sebahagian daripada diri kita telah hilang. Begitulah yang berlaku di puak Dani di Papua New Guinea.
Cara unik puak ini mengingati orang tersayang ialah dengan memotong sebahagian jari (terutamanya wanita) apabila ahli keluarga mereka mati. Ia dilakukan bagi menunjukkan dedikasi terhadap mereka yang telah mati sebagai merasai keperitan mati itu sendiri.
Mereka akan mengikat hujung satu jari yang akan dipotong sehingga berasa kebas dan kemudian dipotong oleh sanak saudara lain dengan menggunakan pisau tradisional.
Jari yang luka itu akan dirawat dengan herba-herba tempatan dan jari yang dipotong pula akan dicampakkan ke dalam api (bersama mayat si mati) atau disimpan di dalam rumah sebagai tanda penghormatan.
Kini upacara ini telah dilarang oleh pihak berkuasa. Namun begitu, ramai wanita berumur dari kaum ini yang menjadi bukti hidup dan rekod kepada upacara yang berlangsung untuk memperingati orang mati.
6. Mengambil gambar bersama mayat
Pada pertengahan tahun 1800-an, fotografi telah menjadi sesuatu yang semakin dikenali. Pada waktu ini jugalah wabak taun sedang melanda Britain dan Amerika yang meragut puluhan ribu nyawa.
Dipopularkan oleh Ratu Victoria yang memaparkan gambar mendiang suaminya kepada khalayak ramai, aktiviti bergambar bersama ahli keluarga yang telah mati mendapat sambutan hangat di kalangan rakyat.
Ahli sejarah menganggarkan, aktiviti bergambar bersama mayat adalah 3 kali ganda lebih popular daripada bergambar ketika perkahwinan. Mereka biasanya akan menghias si mati dan meletakkannya pada posisi duduk atau berdiri.
Perlu difahamkan proses mengambil foto pada masa dahulu memerlukan sedikit masa yang agak lama tidak seperti sekarang. Jadi, ahli keluarga yang lain terpaksa menahan kedudukan dan pada masa yang sama menahan bau mayat keluarga mereka.
5. Menutup cermin
Di dalam kepercayaan Judaisma, waktu berkabung bagi ahli keluarga yang ditimpa kematian ialah selama 7 hari. Ahli keluarga terdekat akan datang berkumpul di rumah keluarga si mati dan menerima tetamu yang hadir untuk memberi penghormatan.
Upacara ini dinamakan sebagai 'Sitting Shiva'. Semasa upacara ini berlangsung, mereka perlu menutup setiap cermin di dalam rumah. Ia adalah bertujuan untuk melihat dalaman diri tanpa gangguan duniawi.
Semasa upacara 'Sitting Shiva' ini berlangsung, ahli keluarga juga akan melakukan beberapa upacara penyembahan dan undang-undang Yahudi melarang sebarang gambar mahupun pantulan dalam cermin ketika penyembahan dilakukan.
Penganut Kabbalah percaya semasa minggu kematian itu, roh si mati tidak menyedari akan kematiannya dan akan berlegar sambil mencari jalan untuk kembali ke dalam tubuhnya. Apabila roh itu terlihat dirinya di dalam cermin ia akan tertipu bahawa ia sebenarnya masih hidup dan akan mengganggu ahli keluarganya yang lain.
4. Menari bersama mayat
Bagi sesetengah kumpulan etnik di Madagascar, kematian bukanlah alasan untuk tidak hadir pada perjumpaan keluarga. Mereka menyambut upacara yang dinamakan Famadihana, di mana mayat ahli keluarga tersayang akan digali semula dari kubur.
Mayat kemudiannya dipakaikan dengan kain kapan yang baru dan dibawa untuk menyertai perayaan bersama ahli keluarga masing-masing termasuk majlis makan, menari dan juga sesi berkongsi perkembangan terbaru sebelum ditanam semula.
Upacara ini biasanya dilakukan selama 5-7 tahun sekali, selalunya apabila ada ahli keluarga yang mendapat mimpi didatangi kaum kerabat mereka yang telah mati.
Selain memberi penghormatan kepada nenek moyang mereka, mereka juga percaya bahawa roh mayat yang telah lama mereput dapat berhijrah di antara dua alam dan menjadi perantara di antara tuhan dan manusia.
Bukan sahaja di Madagascar malah perayaan seumpama ini juga turut dirayai oleh kaum Torajan di Indonesia dan dikenali sebagai Ma'nene (perayaan orang mati). Ianya diadakan setiap 3 tahun sekali.
3. Mengutip tulang mayat menggunakan penyepit
Pembakaran mayat mungkin hanya terkenal di sesetengah negara dan ianya sedang meningkat naik di Amerika Syarikat. Setelah mayat dibakar, biasanya tulang akan dihancurkan dan dijadikan abu mayat.
Namun, di Jepun yang merupakan salah satu negara paling banyak melakukan pembakaran mayat, keadaannya adalah sedikit berbeza. Mereka melakukan upacara mengutip tulang mayat yang dibakar yang dinamakan sebagai Kotsuage.
Ahli keluarga akan mengutip tulang mayat telah selesai dibakar bermula dari kaki sehingga kepala dengan hanya menggunakan kayu penyepit atau chopstick dan kemudian dimasukkan ke dalam bekas.
Biasanya kayu penyepit yang agak panjang digunakan untuk upacara ini. Bagi tulang yang agak besar, mereka menggunakan 2 set penyepit. Akan tetapi jika 2 orang menyepit tulang yang sama, ia dianggap sebagai satu kesalahan dan menghina si mati.
2. Perkahwinan hantu
Kepercayaan lama di kalangan masyarakat China berpendapat bahawa roh lelaki atau wanita bujang akan berasa kesunyian dan akan menyebabkan masalah kepada keluarga yang masih hidup.
Selama 3000 tahun lamanya upacara yang dikenali sebagai 'perkahwinan hantu' ini telah diadakan. Mereka percaya bahawa mengahwinkan 2 individu yang telah mati sebelum berkahwin ini akan menyebabkan roh mereka menjadi tenang.
Perkahwinan hantu ini mempunyai beberapa adat yang lebih kurang sama dengan perkahwinan sebenar. Kadangkala terdapat pencari jodoh, keluarga perempuan menerima hantaran dan pengantin perempuan akan tinggal bersama suaminya (tulangnya akan dipindahkan ke dalam kubur pengantin lelaki).
Parti Komunis China telah mengharamkan perkahwinan hantu yang dianggap ketinggalan zaman dan karut ini. Akan tetapi, ianya tetap juga diteruskan sehingga hari ini.
1. Memakan mayat
Puak Wari di Brazil telah menjadikan ahli keluarga mereka yang meninggal dunia sebagai hidangan. Tubuh badan si mati akan diceraikan, dipanggang dan dimakan oleh ahli keluarga yang lain.
Puak ini juga sebenarnya mengamalkan cannabalisma sebagai salah satu tektik perang. Namun, mereka memakan mayat ahli keluarga sendiri sebagai salah satu penghormatan sehinggalah upacara ini pupus pada tahun 1960-an.
Mereka juga membakar barangan dan mengelak dari menyebut nama si mati. Mayat si mati dianggap sebagai sisa tinggalan paling kuat. Memasak dan memakan mayat mangsa ia dipercayai dapat membantu ahli keluarga yang lain untuk meneruskan hidup.
Warga tua puak ini yang pernah melalui upacara dan tradisi ini mengaku bahawa ia memberikan mereka ketenangan setelah memakan sisa tubuh mayat keluarga mereka sendiri.
Rujukan:
1. Scoop Whoop
2. Toptenz
3. Gizmodo