Sesetengah agama atau kaum mempunyai cara tersendiri bagi menyambut kelahiran bayi yang lahir ke muka bumi ini. Dalam agama Islam misalnya, orang Muslim digalakkan untuk melaungkan azan pada bayi tersebut sekiranya bayi tersebut adalah lelaki.
Bagi bayi perempuan pula, si bapa disunatkan melaungkan iqamah pada bayi tersebut. Amalan ini adalah seperti yang diajarkan oleh Nabi Muhammad. Hikmah amalan ini adalah supaya perkara terawal yang didengari oleh telinga bayi adalah kalimah tauhid yang terkandung dalam laungan azan.
BESARKAN TEKS A- A+
Kali ini, pihak Iluminasi ingin berkongi pula 5 upacara atau amalan unik menyambut kelahiran yang terdapat di seluruh dunia. Akibat peredaran zaman, ada sesetengah amalan ini semakin kurang diamalkan oleh generasi kini etnik atau kaum tersebut.
1. Meludah pada bayi
Kaum Wolof di Mauritania dan kawasan sekitarnya akan meludah kepala bayi yang baru lahir. Mereka akan membaca doa dan kemudiannya meludah kepala bayi tersebut supaya bayi tersebut mendapat keberkatan daripadanya.
Kaum wanita akan meludah pada bahagian muka bayi dan kaum lelaki pula akan meludah pada telinga bayi tersebut. Mereka kemudiannya akan menyapu air liur yang diludah itu ke seluruh bahagian kepala.
2. Memandikan bayi dengan air dingin
Bayi yang baru lahir sangat sensitif pada suhu sekeliling. Oleh itu, kebiasaannya selepas bayi tersebut dibersihkan, bayi tersebut akan dipakaikan selimut untuk memastikan suhu badannya berada pada suhu yang optimum.
Namun, bagi negara yang sangat panas seperti Guatemala, kaum Mayan disana memandikan bayi dalam air sejuk dipercayai merupakan cara yang berkesan untuk mengelakkan bayi daripada terkena serangan strok haba dan ruam pada badan. Walaupun ketika dimandikan bayi kebiasaannya akan menangis, mereka percaya ini merupakan cara terbaik dan kebiasaannya bayi akan tidur nyenyak selepas dimandikan.
3. Memakan plasenta bayi
Plasenta adalah organ yang mengandungi pelbagai nutrien yang akan disalurkan daripada ibu kepada janin melalui tali pusat. Bagi haiwan, ibu yang baru melahirkan anak mereka biasanya akan memakan plasenta ini untuk mendapatkan segala nutrien dan hormon yang ada padanya.
Namun, bagi segelintir pengamal amalan tradisional di China, Jamaica dan sesetengah tempat di India, mereka akan memakan plasenta ini kerana percaya akan kebaikan dan nutrien yang diperoleh dengan memakannya. Namun, para saintis sangat skeptikal akan amalan ini.
Sekiranya plasenta ini dimasak terlebih dahulu, ianya akan memusnahkan segala nutrien yang ada padanya. Sementara itu, sekiranya plasenta ini dimakan mentah, terdapat risiko besar si ibu akan mendapat jangkitan bakteria daripada plasenta tersebut.
4. Membiarkan si ibu melahirkan anak sendiri tanpa sebarang bantuan
Segelintir masyarakat di Nigeria mengamalkan amalan menyambut kelahiran yang sangat berisiko tinggi iaitu membiarkan si ibu melakukan proses kelahiran seorang diri. Bidan atau jururawat hanya akan menghulurkan bantuan sebaik sahaja si ibu tersebut selesai melahirkan bayinya.
Amalan ini dipercayai berkait rapat dengan kemisikinan dan taraf sosial wanita tersebut. Mengikut amalan ini, ahli keluarga akan berkeras untuk membiarkan si ibu melahirkan anak tanpa sebarang bantuan walaupun si ibu sangat memerlukan bantuan. Menurut rekod, segelintir ibu ini akan mengalami keguguran atau pelbagai komplikasi akibat amalan pelik ini.
5. Mengasingkan ibu yang ingin bersalin
Etnik Kalash di Pakistan juga mempunyai amalan membiarkan si ibu bersalin tanpa ahli keluarga disisi. Namun, mereka mempunyai alasan yang bebeza. Masyarakat Kalash percaya si ibu yang bersalin berada dalam keadaan kotor atau tidak suci. Oleh itu, mereka mesti diasingkan dan dibiarkan bersalin di sebuah bangunan atau tempat khas yang dikenali sebagai Bashleni.
Dengan pengasingan seperti ini, mereka mahu mengelakkan ahli keluarga daripada terkena pelbagai cairan seperti darah dan air ketuban yang keluar daripada si ibu yang dianggap kotor. Selain itu, satu-satunya individu yang boleh membantu mereka sewaktu proses kelahiran adalah wanita yang berada dalam keadaan uzur (haid) kerena mereka ini juga dianggap tidak suci.
Kredit: