Terdapat pelbagai jenis bentuk permainan dan sukan yang wujud di serata dunia. Aktiviti bersukan pun telah pun mempunyai sejarah panjang beribu-ribu tahun lamanya.

Sukan-sukan popular seperti bola sepak, tenis, olahraga, badminton dan bermacam acara lain selalu kita dengari kerana popularitinya.

Bagaimana pula dengan beberapa jenis sukan yang kurang popular, tetapi tak kurang hebatnya? Berikut adalah lima jenis sukan unik yang perlu mendapat publisiti lebih lagi masyarakat dunia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Headis

headis sukan rare

Headis merupakan antara sukan terbaru yang diperkenalkan, bermula sejak tahun 2006 di Jerman. Seorang lelaki bernama Rene Wagner secara tak sengaja menciptanya, ekoran ketiadaan padan kosong untuk bermain bola. Mendapati ada sebuah meja ping pong kosong, Wagner dan rakannya mengambil sebiji bola getah lalu bermain ping-pong, hanya dengan menggunakan kepala sahaja.

Bola yang kecil digantikan dengan bola sepak bersaiz sebenar dan sukan yang menggabungkan bola sepak dan ping-pong mula dimainkan lebih ramai pelajar universiti. Publisiti yang diberikan tahun demi tahun menyebabkan Headis semakin mendapat sambutan, sehingga mula membuka penganjuran Piala Dunia dan Piala Eropah serta pertandingan peringkat antarabangsa.

2. Tinju catur

chessboxing tinju catur

Catur menggabungkan pemain yang kelihatan nerd. Sukan tinju pula memerlukan seseorang berbadan sasa saling bertumbuk di gelanggang.

Bagaimana pula seandainya kedua-duanya digabungkan? Itulah 'tinju catur' atau namanya 'chessboxing'!

Dicipta pada mulanya hanya sebagai sebuah persembahan, peserta 'chessboxing' akan memulakan pertarungan mereka dengan bermain catur selama 3 minit, sebelum bersedia bertumbuk selama 3 minit.

Aturan itu akan diulang sehinggalah mana-mana peserta tewas kena 'checkmate' dalam catur atau KO di gelanggang tinju.

Sangat popular di negara seperti India, Jerman dan Rusia, peserta yang dibenarkan bertanding perlu melepasi kelayakan minima yang ditetapkan dalam permainan catur serta pernah bertarung sekurang-kurangnya 50 perlawanan peringkat amatur dalam sukan tinju.

3. Jombola

sukan jombola ciptaan malaysia

Jombola merupakan sebuah sukan yang dicipta oleh rakyat kita sendiri, ciptaan seorang guru bernama Sukdev Singh.

Meminati sukan tenis, kesukaran untuk mendapatkan gelanggang menyebabkan Sukdev mencari jalan menambah baik aktiviti memukul bola tenis ke dinding yang diamalkannya sebagai latihan.

Sukdev melakukan banyak kajian akibat banyak bola tenis yang dipukulnya hilang kerana melantun terlalu kuat, jadi dia mencipta bola khas untuk digunakan disamping raket yang unik ciptaannya sendiri.

Melihat sendiri bagaimana banyak gelanggang badminton terbiar disebabkan kos bulu tangkis yang tinggi, Sukdev mencipta peraturan permainan yang dinamakan Jombola, hibrid kepada sukan tenis dan badminton yang lebih mesra poket pemain.

Jombola kini sudah mula diperkenalkan di sekolah-sekolah di beberapa daerah dan kejohanan pertamanya berjaya dilangsungkan pada tahun 2017. (rujukan)

4. Tejo

tejo colombia

Colombia merupakan antara negara gergasi bola sepak di benua Amerika Selatan.

Bagaimanapun, sukan bola sepak bukanlah sukan nombor 1 negara tersebut kerana sukan rasmi negara mereka adalah 'tejo.'

Menggabungkan kemahiran balingan sejenis cakera yang mempunyai berat melebihi 500g, pemain perlu mengenakan cakera itu pada sasaran yang terletak di papan yang diisi tanah liat dari jarak sejauh 18 meter.

Apa yang menjadikan sukan ini menarik, di atas papan itu juga diletakkan karung-karung kertas berisi belerang yang akan meletup apabila berlaga dengan cakera.

Markah akan diberikan pada mereka yang membaling tepat ke sasaran atau berjaya meletupkan belerang yang ada.

Tejo dimainkan oleh setiap lapisan masyarakat Colombia sebagai aktiviti harian sehinggalah ke peringkat kejohanan berstatus kebangsaan setiap bulan Oktober. (rujukan)

5. Calcio Fiorentino

calcio florentino

Tidak ramai yang menyedari Calcio Fiorentino merupakan antara nenek moyang awal kepada sukan bola sepak dan ragbi, yang masih dimainkan sehingga ke hari ini sejak abad ke 16 di Itali.

Popularitinya mula menjunam sebelum diktator Benito Mussolini bertanggungjawab menaikkannya semula semasa zaman pemerintahannya pada era 1930-an.

Tradisi permainan ini kekal sehingga ke hari ini, dimainkan oleh empat pasukan yang berentap sebelum dua pasukan beraksi dalam perlawanan akhir.

Setiap perlawanan Calcio Fiorentino melibatkan 54 orang pemain yang dibahagikan kepada dua pasukan yang akan cuba melakukan jaringan. Pasukan yang bertahan pula dibenarkan menggunakan apa saja cara untuk menghalang pasukan lawan.

Bila kami tulis di situ apa saja cara, maknanya apa saja cara!

Menumbuk, menendang, menjatuhkan, menggusti atau mencekik dibenarkan. Hanya tendangan ke kepala dan mencederakan kemaluan lawan dilarang.

Selain itu, semua pertarungan mestilah berlangsung 1 lawan 1, tidak dibenarkan beramai-ramai membelasah seorang.

Selepas mana-mana pihak cedera atau tidak bermaya lagi, pemain yang masih kekal boleh cuba menjaringkan gol di kawasan pihak lawan.

Inilah yang berlangsung selama 50 minit tanpa henti. Persoalannya - anda berani atau tidak turun ke gelanggang?




Hakcipta iluminasi.com (2017)