Kembalinya warga Malaysia yang terperangkap di Singapura sejak penutupan sempadan 2 tahun lepas akibat pandemik, pasti melegakan banyak pihak.

Di tengah-tengah semua hubungan Malaysia-Singapura, Tambak Johor menjadi simbol bagaimana dua masyarakat dalam dua negara berbeza masih memerlukan antara satu sama lain. Walaupun sering sesak, tambak tersebut jelas memainkan peranan yang sangat besar.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Selain kita dan Singapura, Arab Saudi dan Bahrain juga mempunyai sistem sempadan yang hampir serupa, ekoran kedudukan Bahrain sebagai pulau yang dihubungkan dengan jirannya.

Jika kita ada Tambak Johor, bagi masyarakat di sana - pulau yang dikenali sebagai Pulau Paspot membawa 1001 kisah masyarakat mereka.

Pulau Paspot - pulau yang menghubungkan dua negara

pulau paspot bahrain saudi

Kedudukan Pulau Paspot di antara Bahrain (kanan) dan Arab Saudi (kiri)

Dikenali diperingkat antarabangsa sebagai Pulau Paspot RajaFahd (King Fahd Passport Island), pulau buatan manusia ini secara rasminya dinamakan sebagai Pulau Tengah Tambakan Keempat atau 'Middle Island.'

Projek mega dimulakan perancangannya sejak tahun 1981, selamat dibuka kepada orang ramai pada tahun 1986 memakan bajet sekitar RM5.4 billion dengan anggaran sekitar 45,000 pengguna setiap hari.

Menyambung dua lokasi di dua negara iaitu Al-Aziziyah di bahagian Arab Saudi dan Al-Jasra yang terletak di Bahrain, laluan sepanjang 25km dengan lebar 0.6km dibuka sebagai penghubung utama kedua-dua negara itu. 

Keseluruhan laluan, jambatan dan pulau direkabentuk firma arkitek dan pembinaan Ballast Nedam dari Belanda, menggunakan peruntukan kerajaan Arab Saudi sepenuhnya.

Bagi mengendalikannya, syarikat pengendali KFCA atau Pengendali Tambakan King Fahd dilantik sebagai operator, yang mempunyai wakil dari Arab Saudi dan Bahrain menyelia kawasan pulau di bawah kawalan mereka.

Visi 3 dekad yang berjaya dilaksana

king fahd causeway

Idea asal penubuhan laluan jambatan penyambung di antara kedua-dua negara sebenarnya telah pun disuarakan ketika dekad 1950-an oleh kerajaan Arab Saudi. 

Percaya dengan potensi yang bakal diwujudkan hasil cetusan idea tersebut, kerajaan Bahrain mengambil langkah drastik mengubah sistem jalanraya mereka agar semua pemandu perlu memandu di bahagian lorong kanan - sama seperti di Arab Saudi.

Matlamat perubahan ini jelas untuk menunjukkan keseriusan Bahrain dalam membantu merealisasikan idea tersebut yang pasti memberi faedah besar kepada ekonomi mereka dalam jangka masa panjang.

Laluan panjang itu diusahakan kedua-dua negara untuk memperkembangkan perkembangan ekonomi serta menggalakkan pertukaran budaya.

Seiring dengan hasrat itu, sebuah pulau buatan bakal dibangunkan menjadi simbol utama kerjasama yang terjalin - di mana pulau tersebut akan diuruskan bersama, di sebelah barat Arab Saudi dan di timur Bahrain.

Rekaan pulau itu dibentuk agar sesuai untuk kegunaan utamanya sebagai sempadan, selain turut sama mampu menjadi pusat aktiviti ekonomi, kediaman dan juga pusat keagamaan yang teratur.

Pulau Paspot dibahagikan satu genting di tengah-tengahnya, yang menjadi penanda pembahagian kawasan kedua-dua negara di tengah pulau itu. Oleh kerana diurus dua buah negara berbeza, kemudahan yang ditawarkan juga mengikut citarasa yang tidak serupa.

Di bahagian Arab Saudi ketika ini terdapat kafe Starbucks, sebuah restoran, sebuah taman kecil dan kompleks penyeliaan milik KFCA bahagian Arab Saudi yang turut sama menempatkan rumah pekerja.

Di bahagian Bahrain pula terdapat sebuah McDonalds, sebuah restoran dan juga pejabat KFCA bahagian Bahrain.

king fahd causeway pulau paspot

Kedua-dua kawasan ini mempunyai sebuah masjid di bahagian masing-masing untuk kemudahan masyarakat setempat, selain sebuah menara tinjau yang didirikan.

Diangarkan setakat ini ada lebih 10 orang penduduk yang dikategorikan sebagai penduduk beralamat tetap, yang bermukim di sana. Kesemua mereka adalah pekerja di bawah KFCA.

Kesibukan laluan yang semakin ketara

pulau paspot bahrain saudi 02

Ekoran daripada tahap penggunaan yang agak tinggi, pada tahun 2020 KFCA telah pun mengumumkan perancangan bagi menambah kemampuan kapasiti laluan panjang ini sehingga 45% penambahan.

Peningkatan ini bakal dilakukan dengan penukaran sistem pembayaran tol dan sistem bayaran secara nir-tunai, yang diharap dapat mempercepatkan lagi urusan keluar masuk orang ramai melalui sempadan masing-masing.

Walaupun di atas kertas Pulau Paspot ini seolah-olah menarik untuk dikunjungi untuk kita yang belum pernah mengunjunginya, realitinya bagi penduduk tempatan yang kerap melaluinya - situasi Pulau Paspot hanyalah sama dengan pintu sempadan negara-negara lain.

Kenderaan perlu bersusun panjang menantikan giliran melepasi sempadan. Di waktu puncak, tempoh menunggu dikatakan boleh mencecah 3 jam untuk sebuah kenderaan selamat dibenarkan masuk menyeberangi sempadan - khasnya laluan Arab Saudi ke Bahrain.

laluan raja fahd tambak

Pada bulan Januari tahun 2020, kerajaan Arab Saudi merekodkan lebih 131,000 pengguna sempadan ini dalam sehari; menjadi rekod tertinggi penggunaan laluan ini sejak dilancarkan.

Walaupun angka ini nampak tinggi, rekod yang dicatatkan sebenarnya masih jauh di belakang angka pengguna sempadan Malaysia-Singapura yang pada hari tenang pun mampu mencecah lebih 300,000 orang setiap hari.

Sayangnya dua laluan jambatan penghubung di antara Johor dan Singapura agak pendek jaraknya, hanyalah sekitar 1.056km dan 1.92km jambatannya.

Tidak ada jarak yang cukup untuk kita dan Singapura mencipta alasan untuk membina sebuah pulau yang dapat kita kongsi bersama-sama, seperti apa yang Bahrain dan Arab Saudi lakukan.

Tetapi idea untuk menghubungkan Semenanjung Malaysia dengan Sumatra di Indonesia melalui laluan jambatan sepanjang 127.92 km sering dibangkitkan, walaupun mendapat tentangan pihak yang melihat tiada faedahnya laluan itu dibina kepada kedua-dua negara.

Jika terjadi, adakah impak laluan itu mampu memberi kesan positif seperti apa yang telah berjaya dilakukan di Arab Saudi dan Bahrain? Berapa agaknya pulau buatan perlu dibina sepanjang laluan itu?

Lima pulau cukup tak, untuk setiap 25 km?




Hakcipta iluminasi.com (2017)