Kredit foto: buletin.my
"Abang nampak murung. Dia rindukan anak-anak".
Krisis yang melanda aktor dan pengarah Datuk Farid Kamil seakan terjawab apabila adiknya, Fadzil Zahari, menyuarakan tentang keadaan beliau sewaktu kali terakhir ditemui, empat hari lalu.
Fadzil dan adiknya, Dr Anis Anwar kini dalam perancangan untuk membawa Farid menjalani pemeriksaan tekanan perasaan.
Kredit foto: Instagram Farid Kamil
"Ibu bapa kami masih di kampung di Jitra, Kedah. Saya dan adik (Dr Anis) mewakili keluarga kami sedang berusaha supaya abang dirujuk kepada pakar kesihatan," katanya dalam laporan BH Online.
Dalam pada itu, Fadzil tidak menepis kemungkinan abangnya itu murung kerana terlalu rindukan anak-anak.
"Ketika kami bertemu, abang beritahu dia rindukan kedua-dua anaknya. Mungkin perkara itu yang membebani fikirannya," katanya.
Sementara itu, Fadzil berkata, mereka sekeluarga mahu aktor itu bersedia melakukan pemeriksaan kesihatan membabitkan masalah tekanan dalam tempoh terdekat.
Sejak pagi semalam Farid ditahan reman hingga Isnin ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis, Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan.
Fadzil antara yang menunggu sebutan kes abang sulungnya itu di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya.
Sumber berita: BH Online