Tidak semua manusia itu dilahirkan dengan cukup sifat. Ada juga yang dilahirkan sempurna namun mengalami masalah ketika membesar. Di antara masalah kesihatan yang kami ingin bincangkan adalah berkenaan tumbesaran.
Kita sedia maklum ada orang yang mengalami simptom tumbesaran terlebih kecil yang dipanggil kerdil atau terlebih besar yang dipanggil gergasi. Namun, tahukah anda ada seorang lelaki bernama Adam Rainer mengalami kedua-duanya sekali dalam hidupnya. Berikut adalah kisah menarik dan menyayat hati mengenainya.
BESARKAN TEKS A- A+
Tidak banyak yang diketahui mengenai kisah hidup peribadi lelaki bernama Adam Rainer ini. Apa yang diketahui hanyalah kisah menarik mengenai keadaan kesihatannya yang dianggap begitu unik.
Tidak layak menyertai tentera
Dia dilahirkan di Graz, Australia pada tahun 1899. Dia merupakan anak kepada pasangan normal yang mempunyai ketinggian biasa sahaja. Apabila Perang Dunia Pertama meletus, Adam telah tersenarai untuk menyertai tentera bagi berkhidmat untuk negaranya.
Oleh kerana ketinggiannya cuma 4 kaki 6 inci, doktor telah menjalani beberapa ujian yang diperlukan. Akhirnya doktor telah mengklasifikasikan Adam sebagai kerdil dan memutuskan bahawa dia terlalu kecil dan lemah untuk menjadi tentera yang bagus.
Walaupun begitu, doktor menjadi sedikit kehairanan apabila mendapati tangan dan kakinya adalah agak besar untuk badan sekecil itu. Setahun selepas ujian itu, dia telah membesar sebanyak 2 inci tinggi. Ini merupakan peningkatan yang baik baginya.
Pada tahun 1920, Adam masih lagi kecil dan rekod menunjukkan dia juga sangat kurus. Pada usia 21 tahun, biasanya proses tumbesaran seorang lelaki akan berhenti membesar. Begitu juga dengan Adam yang menyangka setakat itu sahaja ketinggiannya pada usia itu.
Dari kerdil kepada gergasi
Akan tetapi, sesuatu telah berlaku di mana Adam Rainer bukan sahaja membesar 2 inci tinggi, malah dia terus membesar pada kadar yang agak cepat tanpa menunjukkan tanda simptom itu akan berhenti.
Satu dekad kemudian, Adam Rainer telah membesar lebih dari 2 kaki. Pada ketika itu ketinggiannya mencapai 7 kaki 1 inci. Perkara ini membuatkan para doktor menjadi bingung. Pada tahun 1930, dua doktor iaitu Dr. Mandl dan Dr. Windholz mula memeriksa perubahan yang berlaku kepada Adam itu.
Mereka mula mengesyaki bahawa Adam telah mengalami satu ketumbuhan tertentu yang mengakibatkan berlakunya kes ekstrem akromegali, iaitu keadaan yang berlaku akibat perembesan hormon pertumbuhan secara berlebihan daripada kelenjar pituitari orang dewasa, iaitu selepas kematangan tulang, yang dicirikan oleh pembesaran tangan, kaki, rahang dan hidung.
Masalah kesihatan seperti yang terjadi kepada Adam Rainer ini juga pernah berlaku kepada Andre the Giant, seorang penggusti kelahiran Perancis yang terkenal pada tahun 70-an dan 80-an. Sama seperti Adam, Andre juga mengalami tumbesaran yang abnormal pada bahagian kepala selain badannya.
Pembedahan membuang tumor
Kondisi ini juga menyebabkan beberapa masalah kepada tulang belakang Adam di mana ia telah membengkok ke tepi semasa tumbesaran berlaku dengan pesat. Pada tahun 1931, doktor berjaya membuktikan kajian dan sangkaan mereka adalah tepat.
Doktor telah mencadangkan satu penyelesaian iaitu dengan melakukan pembedahan. Namun, pembedahan membuang tumor itu sangat berisiko dan mempunyai peluang yang sangat tipis untuk berjaya.
Ini setelah doktor mengambil kira tumor yang telah membesar di dalam tubuh Adam selama lebih dari 10 tahun. Walaupun begitu, doktor telah berjaya dalam melakukan pembedahan membuang tumor dalam badan Adam itu.
Selang beberapa bulan selepas pembedahan itu, Adam Rainer telah kembali untuk pemeriksaan doktor. Mereka gembira apabila melihat ketinggian Adam kekal pada tahap yang sama.
Nasib gergasi yang tragis
Akan tetapi, masalah tulang belakangnya Adam yang membengkok sebelum ini semakin serius. Ini menunjukkan bahawa tumbesaran ada tidaklah terhenti terus tetapi tetap membesar, cuma dalam kadar yang lebih perlahan.
Kesihatan Adam Rainer semakin lama semakin teruk. Dia kemudian hilang pendengaran dah buta sebelah mata. Sementara itu, bengkok pada tulang belakangnya menjadi semakin teruk sehingga dia perlu berbaring di atas katil sahaja sepanjang masa.
Adam Rainer akhirnya menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 51 tahun. Ketika itu ketinggiannya mencecah sehingga 7 kaki 8 inci. Adam Rainer merupakan satu-satunya manusia dalam sejarah yang telah mengalami masalah kerdil dan juga gergasi pada masa hidupnya.