Sekiranya ditanya syarikat manakah pengeluar permainan video nombor satu di dunia, besar kemungkinan anda akan menjawab EA (Electronics Arts), Sony ataupun Activision Blizzard, pengeluar permainan popular Overwatch, yang mencetuskan fenomena pada industri permainan video dunia.
Bagaimanapun, semua persepsi kita tidak benar kerana pada ketika ini - Tencent, syarikat gergasi China adalah syarikat permainan video terbesar dunia.
BESARKAN TEKS A- A+
Selain itu - Tencent juga kini sudah berjaya menempatkan diri mereka, bukan hanya sekadar pesaing, malahan mendahului nama-nama besar teknologi.
Sejarah permulaan Tencent
Tencent ditubuhkan pada tahun 1998 oleh pengasasnya, Ma Hua Teng atau lebih dikenali dengan nama Pony Ma, seorang bekas jurutera perisian. Nama Tencent dipilih bukan kerana maksudnya 'sepuluh sen.' Tencent bermaksud 'informasi yang luas.'
Tencent bermula sebagai sebuah syarikat kecil membina sistem komunikasi sendiri bernama bernama OICQ, yang diinspirasi oleh ICQ Instant Messenger. Bagaimanapun, selepas berdepan tindakan saman oleh ICQ, OICQ menukar namanya kepada QQ.
Pada akhir tahun pertamanya QQ berjaya mendapat lebih 1 juta pengguna dan angka ini meningkat mendadak pada tahun ketiga dengan 100 juta orang pengguna aplikasi mereka. Ekoran kejayaan yang dicapai, Tencent memperkembangkan perniagaan dan mula melebarkan sayap mereka. Melihat potensi dalam permintaan permainan video yang meluas serta wujud generasi muda China yang dilihat gemarkan permainan video, Tencent mula mengorak langkah melabur dalam pembikinan permainan video berbentuk mobil dan komputer.
Meneruskan legasi QQ, aplikasi popular WeChat dibangunkan dengan sasaran untuk menjadikan WeChat sebagai satu-satunya aplikasi yang diperlukan warganegara China. WeChat direka untuk mempunyai keupayaan media sosial, sistem komunikasi dan juga kebolehan untuk melakukan transaksi pembayaran digital. Setakat Februari 2018, WeChat mempunyai lebih 1 billion pengguna, jauh meninggalkan banyak aplikasi media sosial lain kecuali Facebook.
Kebangkitan Tencent di Barat
Nama Tencent belum terkenal di luar China terutamanya di barat.
Bagi kita yang duduk di Asia, mungkin kita dah biasa dengan WeChat. Semua itu berubah pada tahun 2011 selepas Tencent mengumumkan mereka kini telah menjadi pemegang majoriti saham syarikat Riot Games, pengeluar permainan video terkenal League of Legends.
Dengan hampir 15 juta pemain dan 1.5 juta pemain aktif setiap hari, League of Legends (LOL) merupakan antara permainan video paling popular di dunia sehingga kini. Dengan pengaruh Tencent membawa masuk permainan tersebut ke China, mudah angka pemain LOL digandakan menjadi 32 juta jumlah pemain dengan 3 juta pemain aktif harian.
Berikutan prestasi memberangsangkan, keuntungan Tencent mencatatkan pertumbuhan yang pantas sehingga mampu mencabar syarikat gergasi seperti Amazon, Facebook dan Google. Pelaburan untuk saham Tencent pada tahun 2004 yang bernilai RM6600 kini mencecah nilai RM4 juta selepas hampir 15 tahun.
Persoalannya, mengapa Tencent berkembang begitu pesat?
Hubungan Tencent dan kerajaan China
Perbezaan Tencent dengan majoriti syarikat teknologi lain yang datang dari barat adalah kebebasan yang diberikan oleh kerajaan China kepada Tencent, untuk memungut data bagi mendapatkan maklumat berkenaan penggunaan.
Penggunaan sistem data besar (big data) dan kepintaran buatan (artifical intelligence) merupakan sesuatu yang dibuka dan digalakkan oleh kerajaan China kepada syarikat-syarikat milik rakyat mereka.
Jika dibandingkan dengan Alphabet, Facebook atau Amazon yang masih lagi dikawal selia bagaimana mereka menggunakan data serta maklumat dengan kepentingan tetap diletakkan pada pengguna, syarikat China diletakkan dalam kawalan lebih longgar. Ini membolehkan syarikat seperti Tencent, Alibaba dan Baidu berkembang lebih cepat kerana mereka mampu mensasarkan data yang telah dikumpul secara lebih terbuka dan tepat tanpa halangan.
Atas keupayaan itu, Tencent ketika ini adalah syarikat paling cepat berkembang sehingga mampu mendahului bukan saja pesaing-pesaing dari barat seperti Amazon, malahan pesaing yang datang dari China seperti gergasi awal di China, Baidu.
Bila kita sibuk berbincang tentang kebocoran data Facebook melibatkan Cambridge Analytica, kita tidak menyedari Tencent adalah pengumpul data pengguna terbesar dunia. Keupayaan ini membolehkan mereka membangunkan sistem bagi mengenalpasti dan meramal ragam serta trend dunia dengan lebih tepat.
Taktik Tencent membeli saham syarikat terkenal sebagai jaminan masa depan
Tencent dipacu oleh tiga teras syarikat mereka. Dua yang sudah disebutkan adalah WeChat serta gabungan syarikat permainan video di serata dunia. Selain itu, Tencent juga dipacu oleh servis strim video mereka, Tencent Video - servis mirip Netflix yang mempunyai 40 juta orang pengguna hanya di China.
Teras ketiga Tencent adalah melalui pembeli saham-saham syarikat terkenal yang selalu menjadi sebutan. Hendak kami senaraikan satu per satu memang akan mengambil masa yang lama, jadi kami sebutkan beberapa nama besar sebagai contoh.
Tencent memiliki 5 peratus saham dalam Tesla, 12 peratus saham dalam Snapchat dan 10 peratus saham dalam Spotify.
Dalam bidang teras mereka iaitu permainan video; Tencent memiliki beberapa buah studio sendiri dengan Riot Games adalah yang paling terkenal. Selain itu Tencent juga memegang saham berjumlah 48.4 peratus dalam Epic Games, pengeluar permainan popular Fortnite dan juga menjadi penerbit kepada permainan video 'PlayerUnknown Battlegrounds' yang menjadi kegilaan pemain video.
Activision Blizzard, pengeluar permainan legenda seperti Overwatch, Destiny, Call of Duty, Diablo, World of Warcraft dan Starcraft juga dimiliki 25 peratus oleh Tencent. Tencent juga menjadi pemegang saham majoriti kepada pengeluar permainan video Clash of Clans serta baru saha diumumkan sebagai salah sebuah pemegang saham syarikat permainan video Perancis, Ubisoft yang popular dengan judul Assasins Creed dan Far Cry.
Tencent di Malaysia
Negara kita juga tidak terlepas daripada pengaruh gergasi Tencent.
Pada hujung tahun 2017, Tencent mengumumkan yang mereka telah berjaya mendapatkan lesen untuk mengoperasikan sistem pembayaran digital melalui WeChat di negara kita. menjadikan Malaysia negara pertama di luar China yang akan menggunakan WeChat sebagai salah satu mod pilihan pembayaran digital. Dijangkakan sistem itu akan mula beroperasi pada awal 2018.
Malaysia dipilih kerana daripada 980 juta pengguna WeChat di seluruh dunia, 20 juta daripadanya datang daripada negara kita menjadikan Malaysia salah sebuah negara paling ramai pengguna WeChat di dunia.
Rujukan