Satu ketika dahulu, Forever 21 pernah menjadi peruncit fesyen paling cepat berkembang di Amerika.
Ia telah mengubah pengasasnya yang satu ketika dahulu langsung tidak mempunyai wang menjadi jutawan, mengukuhkan kedudukannya sebagai kuasa besar dalam dunia fesyen dan pada kemunc kegemilangannya, Forever 21 menjana pendapatan sebanyak RM18.4 bilion.
Namun syarikat ini sedang bersedia untuk memfailkan untuk muflis. Apa yang sebenarnya berlaku?
BESARKAN TEKS A- A+
Suatu ketika dahulu, Forever 21 menggambarkan impian setiap orang di Amerika.
Pada tahun 1981, Jin Sook dan Do Won Chang berpindah ke Los Angeles dari Korea Selatan tanpa wang, tiada ijazah kolej dan tidak fasih berbahasa Inggeris.
Untuk memenuhi keperluan asas hidup, Jin Sook bekerja sebagai pendandan rambut manakala Chang bekerja sebagai tukang cuci, mengepam gas dan pelayan kafe.
Namun, Chang menyedari bahawa mereka yang memandu kereta mewah semuanya berada dalam perniagaan pakaian.
(Jin Sook dan Do Won "Don" Chang, pengasas Forever 21)
Jadi, 3 tahun kemudian dengan bermodalkan RM46,000 dari wang simpanannya, pasangan ini membuka kedai pakaian bersaiz 900 kaki persegi yang dikenali sebagai Fashion 21.
Mereka mengambil kesempatan daripada penutupan borong untuk membeli barangan dari pengeluar pada harga diskaun. Sistem yang mereka laksanakan ini berhasil dan Fashion 21 menjana jualan hampir RM3 juta pada tahun pertama beroperasi.
Pada mulanya, Fashion 21 hanya terkenal dalam kalangan masyarakat Korea Selatan yang tinggal di Los Angeles, California.
Tetapi pasangan ini memanfaatkan kejayaan mereka, membuka kedai-kedai baru setiap enam bulan yang mana meluaskan pangkalan pelanggan syarikat pada masa yang sama.
Mereka juga menukar nama Fashion 21 kepada "Forever 21" untuk menekankan idea bahawa ia adalah "untuk sesiapa yang mahu menjadi bergaya, segar dan muda"
Kunci kejayaan Fashion 21 adalah sangat mudah iaitu mendapatkan pengikut yang besar dengan menjual pakaian yang trendy dengan harga yang rendah.
Walaupun ini adalah sesuatu yang pengguna pada hari ini jangkakan, namun Forever 21 adalah antara salah satu syarikat yang terawal melakukannya, dan mereka juga adalah yang terpantas.
Jin Sook akhirnya meluluskan lebih 400 rekaan pakaian setiap hari, yang bermaksud bahawa syarikat itu boleh menjual trend kerana ia mendapat sambutan walaupun sesetengah rekaan tersebut boleh membawa masalah kepada Forever 21.
Tetapi sementara jenama dan pereka lain mungkin tidak begitu menyukai Forever 21, para pelanggan sangat menggilai stail pakaian mereka yang sangat berpatutan.
Hasilnya, Forever 21 menjadi salah satu penyewa terbesar gedung-gedung di Amerika Syarikat, dengan 480 lokasi di seluruh negara.
Dan menjelang tahun 2015, perniagaan mereka semakin berkembang di mana jualan Forever 21 meningkat, dengan jualan global mencecah RM18.4 bilion pada tahun tersebut.
Dan bagi Jin Sook dan Do Won Chang, mereka menjadi salah satu pasangan terkaya di Amerika Syarikat, dengan gabungan nilai bersih kekayaan mereka dianggarkan sebanyak RM24.6 bilion pada Mac 2015.
Matlamat Forever 21 adalah untuk menjadi sebuah syarikat bernilai RM33.4 bilion menjelang 2017 dan membuka 600 kedai baru dalam tempoh tiga tahun.
Tetapi pengembangan agresif syarikat ini juga akan menjadi penyebab kepada kejatuhannya.
Sebahagian daripada apa yang membuatkan Forever 21 popular adalah model fesyennya yang cepat.
Walaupun produknya selalu dihasilkan secara besar-besaran, ia masih terasa unik kerana kedai-kedainya hanya menjual stail terpilih untuk tempoh yang terhad.
Walau bagaimanapun, ketika syarikat ini menumpukan perhatian untuk berkembang, gaya mereka menjadi lebih kepada tiada keunikan.
Akibatnya, Forever 21 mula hilang sentuhan dengan pelanggan tegarnya, sementara populariti pesaing seperti H&M dan Zara semakin meningkat.
Tidak lagi menjadi pendahulu trend fesyen, Forever 21 menjadi bahan jenaka. Ia tidak lagi yang terpantas dalam industri pakaian.
Jenama-jenama internet seperti Fashion Nova mengeluarkan gaya yang diinspirasikan oleh selebriti dan influencer dengan kadar yang begitu pantas.
Dan ketika e-dagang terus melonjak, peruncit tradisional seperti Forever 21 bergelut untuk menyesuaikan diri dengan perubahan tingkah laku pengguna.
Menurut kaji selidik Mac 2019, golongan milenia membuat 60% daripada pembelian mereka secara dalam talian dan secara keseluruhan lebih suka membeli-belah dalam talian berbanding pergi ke kedai fizikal.
Walau bagaimanapun, Forever 21 terus membuka kedai-kedai baru dan yang terbaru adalah pada tahun 2016, malah memperluaskan kedai sedia ada dengan bahagian lelaki, kanak-kanak, dan barangan rumah.
Ini menjelaskan mengapa jualan Forever 21 dianggarkan telah menurun sebanyak 20% hingga 25% pada tahun 2018.
Bukan itu sahaja, pasangan yang masih memiliki syarikat ini telah kehilangan lebih daripada RM16.7 bilion, hampir 70% daripada kekayaan peribadi mereka.
Secara keseluruhannya, Forever 21 kini berhutang RM2.1 bilion dan mempertimbangkan untuk memfailkan muflis.
Sebagai langkah keselamatan, Forever 21 telah mula mengecilkan kedai-kedainya.
Dan sebagai salah satu penyewa terbesar di pusat membeli-belah di Amerika Syarikat serta seluruh dunia, penutupan Forever 21 secara besar-besaran memburukkan lagi apa yang telah disebut sebagai "keruntuhan runcit".
Fenomena ini telah meranapkan lebih daripada 15,000 peruncit di seluruh Amerika Syarikat dan mungkin menutup lagi 75,000 buah kedai, menurut firma pelaburan UBS.
Tetapi kebankrapan bukanlah bermakna satu pengakhiran bagi sesebuah syarikat. Malah, ia mungkin dapat memberikan masa kepada Forever 21 untuk melakukan pengstrukturan semula dan kembali bangkit.
Syarikat itu mungkin boleh menutup kedainya yang paling kurang menguntungkan dan cuba melakukan penjenamaan semula.
Tetapi dalam zaman butik internet yang murah dan empayar fesyen yang pantas, ini mungkin tidak mencukupi.
Selepas apa yang terjadi, ia membuatkan Forever 21 kelihatan seolah-olah ia tidak akan kekal selama-lamanya.
Rujukan:
2. VOX
3. BBC