Kisah bagaimana syarikat-syarikat gergasi dunia bermula kebiasaannya penuh dengan anekdot dan perkara yang tidak kita sangkakan benar-benar terjadi.
Di zaman kita, kita mengenali sesuatu jenama yang sudah terkenal dengan produk mereka. Sebut saja satu-satu jenama, tak ada masalah untuk kita cam dan tahu produk-produk keluaran mereka serta industri apa mereka ceburi.
BESARKAN TEKS A- A+
Namun satu masa dulu, jenama-jenama ini sebenarnya memulakan langkah mereka dengan cara yang sangat berbeza, sebelum berjaya memenuhi visi sebenar pengasasnya. Berikut adalah lima jenama terkenal yang memulakan perniagaan terkenal mereka yang jauh berbeza dengan apa yang kita kenali sekarang.
1. Nokia
Syarikat Finland yang telah mengalami jatuh bangun sebelum kembali menjadi salah satu pemain industri telefon pintar paling berjaya dunia, mempunyai sejarah yang mengimbau 1001 kenangan. Produk mereka yang pertama dalam bidang telekomunikasi adalah sebuah telefon 'mudah alih' dinamakan Mobira Senator, menggunakan jenama awal mereka 'Mobira' sebelum nama 'Nokia' digunakan.
Bagaimanapun berat telefon itu sekitar 9kg, jadi biasanya Senator hanya diletakkan dalam kereta. Walaupun begitu, sekiranya kita pergi jauh ke belakang lagi sekitar tahun 1865, semasa penubuhan terawal syarikat Nokia - Nokia sebenarnya mengeluarkan produk berasaskan kapas dan getah. Salah satu produk mereka, adalah tisu tandas berjenama 'Nokia.' Dari tisu tandas ke gergasi telefon, respek!
2. Sony
Gergasi elektronik Jepun ini terkenal dengan peranti elektronik mereka yang satu masa dulu kerap mendahului zaman, selain daripada konsol elektronik Playstation yang menjadi kegilaan ramai di seluruh dunia. Walaupun begitu, jika kita amati sekarang ini tidak ada lagi kan perkakasan dapur jenama Sony.
Malang sekali kerana Sony sebenarnya memulakan perniagaan mereka dengan mengeluarkan produk periuk nasi pada tahun 1940. Dilancarkan dengan nama syarikat Sony ketika itu 'Tokyo Telecommunications Research Institute', periuk nasi itu malangnya gagal dalam fungsi asasnya iaitu memasak nasi; nasi yang terhasil sama ada terlalu keras atau terlalu lembik untuk dimakan.
3. IKEA
Pengasas IKEA, Ingvar Kamprad memulakan perniagaannya secara kecil-kecilan menjual bunga, kad, pen, stoking dan perhiasan rumah melalui surat-menyurat. Hasratnya sejak mula adalah untuk menjual terus pada pelanggan tanpa adanya orang tengah yang meningkatkan harga.
Jadi dia menubuhkan syarikat IKEA yang bermakna 'Ingvar Kamprad Elmtaryd and Agunnaryd' (namanya dan nama kampung serta bandar dia tinggal) untuk memulakan hasratnya terus menjual barangan-barangan itu secara penghantaran.
Hanya selepas mula menerima permintaan pesanan perabot, Ingvar menjual perabot yang dipekkan ke dalam kotak buatan pengeluar tempatan. Pesanan dan penghantaran dilakukan menerusi van pejabat pos, sebelum Ingvar membuka pusat perabot pertama dibuka pada tahun 1953, selepas lebih lima tahun menjual perabot melalui surat menyurat.
4. Nintendo
Nintendo kini bukan lagi gergasi permainan video selepas dipintas oleh Sony dan Microsoft, namun syarikat itu berjaya mengekalkan identiti dan pengaruh mereka setelah sekian lama. Berani membawa perubahan serta idea-idea yang luar biasa dalam industri permainan video, semangat itu sebenarnya datang daripada sejarah panjang syarikat mereka.
Pengasas Nintendo, Fusajiro Yamauchi memulakan syarikat beliau Nintendo pada tahun 1889 selepas larangan kerajaan Jepun ke atas permainan kad ditarik balik. Melihat hobinya itu yang sebelum itu dilakukan secara senyap-senyap mampu mendatangkan keuntungan, Fusajiro menjual kad permainan 'hanafuda' yang unik serta menjadi minat masyarakat Jepun khasnya kelompok Yakuza ketika itu. Kad 'hanafuda' tetap dikeluarkan Nintendo sehingga kini.
5. Toyota
Terkenal sebagai gergasi automotif dunia, sejarah Toyota sangat panjang, bermula sejak abad ke 19 selepas Sakichi Toyoda menukarkan minatnya yang mendalam terhadap mesin, kepada kerjaya. Takjub dengan keupayaan mesin yang dibina oleh pengeluar Eropah ketika itu, Toyoda merasakan perlunya dia menyumbang kepada masyarakat untuk memudahkan urusan mereka.
Dalam kebanyakan alat yang digunakan masyarakat Jepun ketika itu, salah satu alat paling sukar untuk digunakan adalah mesin tenunan. Jadi Toyoda mengambil keputusan menambah baik mesin tenunan sedia ada dengan beberapa inovasi baru dan mesin tenunan itulah menjadi produk pertama beliau.
Legasi ini tidak terhenti selepas Toyota mula memasuki industri automotif. Toyota terus mengeluarkan mesin jahit sehingga kini. Divisyen automotif Toyota mengubah logo mereka pada tahun 1989 kepada logo yang anda dapat lihat sekarang di mana-mana kenderaan mereka. Kenapa logo itu digunakan? Kerana logo itu sebenarnya menyerupai kepala jarum yang sudah dimasukkan benangnya.