Menjadi seorang diktator yang terkenal dalam sejarah, membolehkan seseorang diingati sebagai tokoh yang mempunyai saiz dan aura yang menggerunkan musuh.

Walau bagaimanapun, bukan semua individu dikurniakan dengan ketinggian yang 'mencukupi' tetapi tetap mempunyai karisma dan pengaruh hebat, membolehkan mereka diangkat sebagai pemimpin yang diingati - bukan saja dalam sejarah negara mereka tetapi juga sejarah antarabangsa.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tahukah anda siapa diktator paling kecil saiznya dalam sejarah dunia? Berikut adalah lima diktator yang membuktikan - saiz bukanlah segala-galanya.

1. Silvio Berlusconi

silvio berlusconi itali skandal

Dikenali diseluruh dunia sebagai Perdana Menteri Itali selama tempoh 9 tahun serta menjadi pemilik kepada kelab bola sepak AC Milan, sebelum beliau menjual pegangannya dalam kelab tersebut pada tahun 2017.

Lahir pada tahun 1936, ketika ini Berlusconi masih lagi aktif dalam bidang politik serta belum nampak bersedia melepaskan pegangannya kepada gergasi media Itali, Mediaset yang dikuasainya sekian lama. Dikenali sebagai seorang diktator berikutan gemar membuat keputusan sesuka hati tanpa mengambil kira nasihat orang, Berlusconi yang gah namanya sebenarnya hanya mempunyai ketinggian 1.65 meter.

Jika dibandingkan dengan ketinggian purata lelaki Itali sekitar 1.75 meter, Berlusconi kekurangan 10 cm tetapi itu tetap tidak menghalang dia terlibat dengan pelbagai skandal politik dan seks yang banyak menjulang namanya.

2. Kim Jong Il

kim jong il bersaiz kecil

Walaupun anaknya Kim Jong-un mewarisi banyak ciri fizikal ayahnya, Kim Jong-il, satu sifat yang tidak diwarisi adalah ketinggian ayahnya. Mendiang Kim Jong Il mempunyai ketinggian hanya 5 kaki 3 inci atau 160 cm.

Bersaiz kecil tidak menjadi penghalang untuk Kim Jong Il naik mewarisi dinasti pemerintahan Korea Utara. Bagaimanapun, berikutan tubuhnya yang agak rendah (dan gempal); bagi meningkatkan karismanya Jong Il dikatakan menggunakan kasut bertumit tinggi dan senantiasa mengenakan gaya rambut yang menambah ketinggiannya.

Oleh kerana sensitiviti mendiang terhadap ketinggiannya, pengikut dan pembantu beliau sentiasa perlu berjaga-jaga agar tidak menyinggung perasaan Jong Il. Pengikutnya juga dipilih agar tidak menampakkan saiz sebenar beliau, dibantu oleh kasut yang menambah ketinggiannya sekitar 4 inci.

3. Vladimir Lenin

lenin beri ucapan

Dikenali sebagai individu yang naik sebagai pemerintah tertinggi Kesatuan Soviet pada awal abad ke 20, legasi revolusi Lenin sehingga ke hari ini diwarisi banyak komuniti di seluruh dunia yang terus berpegang kepada falsafah yang dikenali sebagai 'Leninism.'

Tubuh Lenin tidak setara dengan statusnya sebagai salah seorang tokoh yang menjadi tulang belakang kepada gerakan Revolusi Rusia tahun 1905, bekerjasama dengan ramai tokoh Russia mengepalai gerakan parti Bolsheviks.

Berapakah ketinggian Lenin? 5 kaki 5 inci atau 165 cm sahaja. Walaupun begitu, pada zaman Lenin purata ketinggian lelaki di Kesatuan Soviet hanyalah 167 cm dan hanya selepas era 1970-an, barulah purata di sana naik kepada 177 cm.

4. Deng Xiaoping

pemimpin china deng xiaoping

Nama beliau jarang disebut oleh masyarakat kita, apabila kita berbicara tentang negara China namun Xiaoping sebenarnya adalah pengganti kepada usaha yang telah digerakkan Pengerusi Mao atau Mao Zedong, selepas kematian beliau.

Xiaoping mengalami naik turun dalam politik sebelum berjaya merampas kuasa pada tahun 1976, selepas menewaskan calon pilihan Mao Zedong sendiri Hua Guofeng. Berikutan situasi China yang pada ketika itu agak kucar-kacir, Xiaoping memperkenalkan beberapa dasar bagi mengukuhkan dasar pendidikan dan ekonomi, yang akan menjadi asas kepada revolusi perubahan China yang boleh kita lihat sekarang.

Berkhidmat daripada tahun 1978 sehingga persaraannya pada tahun 1992, Xiaoping mampu mendabik dada menjadi arkitek pembangunan negara China moden - walaupun hanya mempunyai ketinggian badan 1.52 cm atau 4 kaki 11 inci.

5. Joseph Stalin

diktator kerdil joseph stalin

Selepas kematian Lenin, seorang pemimpin dengan pantas bangkit merampas kuasa dan berjaya menguasai parti Bolshevik, meletakkan dirinya sebagai ketua parti. Namanya - Joseph Stalin. Bagaimanapun, Stalin menggunakan cara yang agak agresif untuk memerintah.

Stalin menggunakan kuasanya memansuhkan institusi yang boleh menganggu kuasanya dan mematikan terus pengaruh musuh politiknya, dengan cara keras. Stalin juga memperbesarkan lagi sistem tahanan yang dinamakan Gulag, yang menjadi tempat kurungan mana-mana individu yang dirasakan ancaman.

Hanya mempunyai ketinggi 165 cm, kesan pemerintahan Stalin banyak dikenang dalam tona negatif - sehinggakan Kesatuan Soviet sendiri selepas kematiannya, perlu menjalankan agenda reformasi yang dikenali sebagai 'destalinizatsiya' atau 'nyah-Stalin' bagi membersihkan dan memperbetulkan semua kerosakan yang telah dilakukan, semasa dia memegang kuasa.

Bertubuh kecil tidak menghalang dia didakwa terlibat dalam pembunuhan lebih 20 juta orang keseluruhannya, merangkumi mangsa kekejamannya, musuh politik dan tahanan perang. 7 juta daripadanya pula melibatkan orang ramai, setelah dasar pertanian yang diperkenalkan Stalin menyebabkan masalah kebuluran di kalangan penduduk sana.




Hakcipta iluminasi.com (2017)