Wang atau duit adalah medium yang digunakan manusia sejak zaman dahulu lagi selain sistem barter (perdagangan dengan bertukar barang). Walaupun wang bukanlah segala-galanya tetapi ekonomi sesuatu negara itu bergantung kepada pertukaran wang untuk produk dan perkhidmatan. 

Seperti yang anda tahu, setiap negara di dunia mempunyai mata wang tersendiri dengan nilai dan nama yang berbeza. Namun, tahukah anda berapa jumlah wang yang ada dalam dunia pada hari ini? 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Data bekalan wang biasanya dianalisis dan diterbitkan oleh pihak kerajaan atau bank pusat sesuatu negara itu. Disebabkan wang terdapat dalam pelbagai bentuk (maya dan fizikal) serta nilainya yang berbeza, maka sangat sukar untuk menentukan jumlah keseluruhan wang dengan tepat.

Untuk memudahkan anda memahaminya, kami menukarkan nilai matawang dunia kepada Ringgit Malaysia. 

Pelbagai jenis duit

bursa saham 86

Credit : theedgemarket

Biasanya, kepelbagaian jenis wang dikelaskan sebagai "M". Jenis ini dikelaskan dari M0 (paling sempit) hingga M3 (paling luas) dan bergantung pada perumusan dasar bank pusat sesebuah negara. Berikut adalah beberapa jenis wang yang ada

  • M0 - Semua mata wang fizikal yang beredar dalam pasaran termasuk duit syiling dan wang kertas.
  • M1 - M0 + semua wang dan aset yang mudah ditukar kepada wang tunai seperti akaun bank (termasuk pembayaran kad debit, pembayaran atas talian, pengeluaran wang atau buku cek).
  • M2 M1 + simpanan tetap, dana bersama atau sekutiri pasaran wang. Biasanya, aset ini digunakan sebagai medium pertukaran dan kurang cair (liquidity) berbanding M1
  • M3 - M2 + sijil deposit yang besar, dana pasaran wang institusi dan perjanjian pembelian balik jangka pendek. Aset ini paling kurang cair berbanding semua elemen bekalan wang lain.

Namun, Sistem Rizab Persekutuan Amerika Syarikat tidak lagi menjejaki wang M3 sejak tahun 2006 kerana semua maklumat berharga mengenai aktiviti ekonomi sudah tersedia dalam pembekalan wang M2.

Siapa yang menentukan jumlah wang dalam dunia?

bank negara malaysia 75

Badan utama bagi pengeluaran wang adalah bank pusat setiap negara. Bank pusat seperti Bank Negara Malaysia boleh meningkatkan atau menurunkan bahagian deposit yang harus disimpan oleh bank perdagangan.

Bank pusat juga boleh menyuntik wang ke dalam pasaran selain meningkatkan atau menurunkan kadar faedah bagi pinjaman yang diberikan kepada bank komersial. Kadar faedah rendah akan mendorong orang untuk meminjam dan membelanjakan wang manakala kadar faedah tinggi pula menyebabkan orang kurang meminjam atau berbelanja.

Jumlah wang yang berada dalam pasaran biasanya berubah mengikut permintaan orang ramai. Sebagai contoh, lebih banyak wang diperlukan di United Kingdom ketika perayaan Krismas kerana orang ramai akan mengeluarkan wang tunai dari akaun bank mereka.

Jumlah wang fizikal yang ada dalam dunia sekarang hanyalah 10 peratus daripada semua wang yang ada. Ini disebabkan teknologi canggih pada hari ini membolehkan seseorang itu berbelanja tanpa membawa wang  fizikal kerana pembayaran boleh dibuat menggunakan kad bank atau telefon pintar.

Penggunaan sistem pembayaran tanpa tunai ini semakin meluas sejak beberapa tahun kebelakangan dan mungkin akan menggantikan penggunaan wang fizikal pada masa hadapan.

Jumlah wang dalam dunia

duit syiling 385

Jika kita mengambil kira KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) atau GDP (Gross Domestic Product) semua negara dalam dunia, kita akan mendapat idea ringkas tentang berapa banyak wang yang ada sekarang.

Sehingga Disember 2020, dianggarkan terdapat sebanyak:

  • M0 - RM 6.89 trilion atau RM 6,890,000,000,000 wang fizikal seperti wang kertas, syiling dan mata wang yang tidak lagi diterbitkan di seluruh dunia.
  • M1 - RM 150 trilion atau RM 150,000,000,000,000 wang fizikal, simpanan dalam akaun bank atau cek. Angka ini mewakili jumlah wang yang mudah dicairkan.
  • M2 - Berdasarkan KDNK nominal semua negara dari data terbaru IMF, jumlah wang dalam kelas M2 adalah sekitar RM 366.53 trilion atau RM 366,530,000,000,000. Jumlah ini tidak termasuk mata wang kripto seperti bitcoin.

Jumlah wang dalam dunia akan meningkat lebih tinggi jika kita mengambil kira semua bentuk pelaburan, pasaran derivatif (saham, bon, komoditi, nilai mata wang atau kadar indeks), mata wang kripto, nilai hartanah dan lain-lain.

Walaupun sukar mendapat jumlah yang tepat, pakar kewangan menganggarkan semua nilai wang dalam dunia ini antara RM 2.554 kuadrilion sehingga RM 4.87 kuadrilion atau RM 4,870,000,000,000,000.

Jika setiap orang di dunia diberikan bahagian yang sama banyak dari jumlah mengejutkan itu, setiap orang akan menerima sekitar RM 624,000.

Masa hadapan wang

berapa jumlah wang dalam dunia

Jumlah wang dalam dunia akan lebih banyak pada masa hadapan seiring dengan peningkatan pelaburan serta kestabilan ekonomi negara-negara membangun lain.

Manakala penggunaan wang fizikal pula dijangka akan semakin berkurangan dari tahun ke tahun apabila urus niaga secara digital menjadi semakin popular.

Sebagai contoh, hanya 20% sahaja transaksi urus niaga dibuat secara tunai di Sweden. Bank Negara Sweden menjangkakan jumlah wang fizikal akan menurun kepada 10% sahaja menjelang 2050.

Adalah mustahil sebenarnya untuk kita hitung jumlah semua jenis wang yang ada dalam dunia dengan tepat. Ini kerana ekonomi dan keadaan dunia yang sering berubah dan memberi impak kepada nilai wang itu sendiri. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)