Kita gemar sekali bercerita berkenaan Bitcoin, matawang digital yang menjadi kegilaan pengumpul-pengumpul matawang tersebut yang sanggup melaburkan puluhan ribu ringgit bagi menjananya.

Salah satu kisah paling popular berkenaan Bitcoin merupakan kisah yang melibatkan pencipta sistem Bitcoin itu sendiri, seorang individu yang bernama Satoshi Nakamoto.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Mula muncul sekitar tahun 2008, Satoshi menjadi tulang belakang kepada gerakan mempopularkan penggunaan Bitcoin serta memainkan peranan besar membetulkan sebarang masalah yang timbul berkaitan sistem tersebut.

Bagaimanapun, pelbagai persoalan mula timbul berkenaan identiti sebenar Satoshi. Sedikit demi sedikit informasi berjaya dikorek menunjukkan bahawa 'Satoshi Nakamoto' sebenarnya tidak wujud. 

Ini adalah kisahnya.

Satoshi memperkenalkan sistem Bitcoin

bitcoin siapa pengasas

Tidak ada sesiapa yang dapat mengesahkan siapa sebenarnya Satoshi Nakamoto, walaupun ciptaannya Bitcoin menjadikan dia orang ke 44 terkaya dunia dengan nilai harta sebanyak RM88 billion.

Dianggarkan memiliki hampir 1 juta unit Bitcoin, identitinya kekal menjadi misteri sehingga kini.

Satoshi mula mendedahkan hasil ciptaannya sekitar tahun 2008 dengan menerbitkan laporan berkenaan sistem matawang digital yang dinamakan Bitcoin. Melihat sambutan orang ramai, pada bulan 9 Januari tahun 2009, Satoshi melancarkan perisian pertama penjana Bitcoin dan seterusnya mewujudkan jaringan komunikasi di antara pengguna-pengguna perisian itu.

Bagi membantu menjawab persoalan-persoalan yang dihadapi pengguna yang baru cuba berjinak dengan matawang digital baru ini, Satoshi membuka sebuah laman forum yang dinamakan Bitcointalk dan menjawab pertanyaan mereka yang berminat menggunakan alias 'Satoshi.'

Bitcoin pertama dalam dunia dihasilkan sebagai blok asas (genesis block) pada 3 Januari 2009 hasil janaan sendiri Satoshi. 50 unit asas itu menjadi unit permulaan kepada penjanaan sistem Bitcoin yang terus dipegang oleh Satoshi.

Penyerahan sistem pada kumpulan lain

gavin andresen

Dalam tempoh setahun selepas sistem Bitcoin dimulakan dan dunia masih lagi sedang belajar tentang sistem matawang itu, Satoshi dipercayai bertindak sendirian membetulkan ralat serta menambahbaik keupayaan perisian yang dibangunkannya.

Tidak lama selepas itu, Satoshi mula membenarkan pembangun-pembangun perisian luar membantu pembangunan perisian itu. Sehinggalah pertengahan tahun 2010, Satoshi menyerahkan semua kod asas dan kod keselamatan sistem itu kepada Gavin Anderssen, seorang pengaturcara lejen yang banyak mencipta kod-kod pengaturcaraan komputer sejak dulu lagi.

Gavin dinamakan oleh Satoshi sendiri sebagai ketua perekabentuk perisian Bitcoin. Ini berikutan minat Gavin yang mendalam terhadap sistem Bitcoin serta usaha Gavin membantu orang ramai menjana sendiri Bitcoin dengan pembangunan laman web beliau yang dinamakan The Bitcoin Faucet.

Satoshi mula menghilangkan diri, tidak lagi melibatkan diri dalam pembangunan sistem Bitcoin serta menyerahkan sepenuhnya tugas memperkembangkan sistem Bitcoin itu pada Gavin Anderssen.

Usaha mengenal pasti identiti Satoshi

dorian satoshi nakamoto

Dalam biodata yang dikongsikan secara rasmi, Satoshi mengakui dirinya adalah seorang lelaki dari Jepun yang lahir pada 5 April 1975. Bagaimanapun, siasatan oleh peminat-peminat Bitcoin mendapati waktu Satoshi kerap aktif dalam forum Bitcointalk sebelum menghilangkan diri menunjukkan mustahil dia berada di Jepun.

Selain itu penggunaan slanga bahasa Inggeris yang digunakan dalam kod pengaturcaraan rasmi Bitcoin serta respon-respon yang ditulis Satoshi menunjukkan besar kemungkinan dia bukan warga Jepun.

Mistrri ini ddisulitkan lagi dengan penemuanpenemuan lelaki bernama Dorian Satoshi Nakamoto yang pada tahun 2014. Seorang ahli fizik, Dorian adalah seorang jurutera perisian yang mempunyai latar belakang yang luas dalam bidang ketenteraan, pernah bekerja membangunkan banyak projek-projek rahsia milik kerajaan Amerika Syarikat.

Dalam satu temuramah, Dorian didapati mengeluarkan kenyataan menyebut memang dia telah membangunkan satu sistem namun sudah menyerahkannya pada orang lain. Kenyataan ini diambil sebagai pengakuan dia adalah pencipta Bitcoin dan pengikut setia sistem Bitcoin mula berkampung di sekeliling rumahnya.

Bagaimanapun, Dorian memperbetulkan kenyataannya dan menjawab kenyataan asal beliau adalah berkenaan sistem-sistem militari yang telah dibangunkannya, bukan berkenaan Bitcoin.

Walaupun pembetulan sudah diumumkan, sehingga kini masih ramai pihak meragui 'kebenaran' kata-kata Dorian dan menyimpan syak yang Dorian adalah pencipta sebenar Bitcoin.

Hal Finney - penerima pertama transaksi Bitcoin

adakah hal finney satoshi nakamoto

Tidak jauh daripada kediaman Dorian Satoshi Nakamoto, tinggal seorang lagi pengaturcara hebat bernama Hal Finney. Hal adalah seorang saintis komputer yang memainkan peranan besar dalam membangunkan sistem matawang digital sebelum Bitcoin wujud lagi.

Hal lahir pada tahun 1956 di California. Dia mempunyai karier yang panjang, dikreditkan dengan penciptaan pelbagai jenis konsol permainan video serta menjadi seorang aktivis siber yang berpengaruh besar. Pada tahun 2004, Hal menjadi individu pertama di dunia yang berjaya membangunkan sistem prototaip matawang digital yang dinamakan Reusable Proof of Work System atau RPOW.

RPOW dibangunkan untuk membenarkan pengguna mencipta token yang mengandungi nilai berdasarkan kepada rantaian kod yang eksklusif pada kunci peribadi pengguna itu sahaja. Dengan menggunakan sistem pelayan server, pelayan akan mendaftarkan token-token yang baru dicipta dengan kunci peribadi pengguna dan pengguna bebas menghantar token itu pada pengguna lain, bila mereka mahu.

Semua rekod transaksi yang dilakukan oleh pengguna menggunakan token akan dipantau oleh pelayan dan bertindak menguruskan pertukaran kunci semasa transaksi dilakukan. Sistem prototaip ini yang dibangunkan hanya sebagai ujikaji, dikatakan memberikan pengaruh yang besar pada pembangunan sistem Bitcoin kerana mod operasinya serupa.

Tidak diketahui apa sebabnya, pada 3 Januari 2009, Hal terpilih menjadi penerima pertama transaksi Bitcoin milik Satoshi Nakamoto.

Misteri penerima pertama transaksi Bitcoin

hal finney sebelum meninggal dunia

Berikutan kemahirannya serta pengalamannya yang luas dalam usaha membebaskan sistem matawang daripada kawalan mana-mana pihak, ramai menganggap Hal adalah Satoshi, pengasas sebenar Bitcoin.

9 bulan selepas menerima transaksi pertama Bitcoin pertama dunia, Hal yang memainkan peranan besar membangunkan RWOP dan seterusnya mempengaruhi pembangunan Bitcoin, mengumumkan dia menghidapi penyakit amyotrophic lateral sclerosis atau ALS.

Bagaimanapun itu tidak menghalang dirinya daripada terus membantu membangunkan Bitcoin sehinggalah tubuhnya mula lumpuh. Hal hilang keupayaan untuk bergerak sekitar tahun 2013.

Misteri moden Satoshi Nakamoto

hal dan fran finney

Hanya pada awal tahun 2014, Hal mengambil keputusan mendedahkan kepada media berkenaan komunikasi di antara dia dengan Satoshi Nakamoto pada tahun 2009, saling bertukar buah fikiran dalam memajukan sistem matawang digital sedia ada ketika itu; melayakkan Hal menerima 10 Bitcoin dalam transaksi cubaan pertama yang berjaya dilakukan bagi mengkaji kejayaan sistem mereka.

Ini menjawab persoalan mengapa Hal dipilih sebagai penerima pertama Bitcoin dalam dunia berikutan bantuannya kepada Satoshi, tetapi tetap tidak menjawab persoalan yang lebih besar - siapakah Satoshi?

Hal Finney meninggal dunia pada 28 Ogos 2014.

Dalam permintaan terakhirnya, Hal memilih untuk dikebumikan secara berbeza. Tubuh Hal disejuk bekukan dan disimpan di Alcor Life Extension Foundation dengan harapan satu hari nanti dia dapat dikejutkan semula, semasa penawar kepada penyakit ALS telah ditemui.

Sehingga kini tidak dapat dipastikan siapakah Satoshi Nakamoto yang sebenar; individu yang bertanggungjawab membangunkan sistem Bitcoin sehingga mampu mengubah sistem matawang dunia.




Hakcipta iluminasi.com (2017)