Oleh pada 12 Aug 2017 kategori

Era zaman moden ini, kebanyakan ibu bapa mengamalkan pemakaian lampin pakai buang pada anak mereka. Walaupun harganya agak mahal, kemudahan yang ditawarkan membuatkan lampin pakai buang tetap menjadi pilihan ramai berbanding ibu bapa tahun 80-an dan 90-an yang majoritinya masih ramai mengamalkan lampin kain pada bayi.

Teknologi yang menghasilkan lampin pakai buang ini walaupun berfaedah besar tetapi sebenarnya mempunyai satu kesan negatif yang cukup besar - masalah timbunan sampah yang tidak akan berhenti. Zaman ini pula bukan hanya sekadar bayi yang memakai lampin pakai buang, orang dewasa pun ada yang terpaksa bergantung hidup dengan lampin pakai buang.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pernahkah anda terfikir apa berlaku pada lampin bayi yang telah anda buang?

Kesan lampin terhadap bumi

Dianggarkan oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) 12% daripada sampah yang dikutip adalah lampin pakai buang, sama banyak dengan jumlah plastik yang memenuhi tempat pelupusan sampah. Sehingga sekarang tiada siapa tahu berapa lama lampin pakai buang akan mereput dalam tanah dan penyelidik menganggarkan setiap satu lampin pakai buang akan mereput dalam jangka masa 200 tahun.

iluminasi masalah lampin bayi sampah3

Isunya, jumlah lampin yang dibuang akan semakin meningkat hari ke hari dan akan mengekalkan berat, saiz dan rupa semasa dibuang. Masalah paling besar, gel yang menampung cecair dalam lampin itu pula dianggarkan hanya akan reput selepas 500 tahun! Bayangkan lampin yang anak anda pakai sekarang ini akan masih terpelihara ketika zaman cucu cicit dia hidup.

Dengan statistik sebanyak 9.72 jutra lampin di guna dalam sehari di negara kita sahaja, bukankah itu menunjukkan perlunya kesedaran kepada masyarakat mengenai risiko amalan yang kita jalankan hari ini?

Masalahnya, tidak ada cara lain selain daripada menanam lampin-lampin ini dalam pusat pelupusan sampah. Lampin pakai buang pula dikategorikan sebagai objek yang tidak boleh dikitar semula dan sehingga kini, tidak ada akta daripada kerajaan yang mampu meringankan beban yang bakal kita tanggung.

Persoalannya, adakah lampin pakai buang boleh dikitar semula? Tidak. Kebanyakan lampin pakai buang yang dijual di negara kita bukanlah diperbuat daripada jenis yang boleh dikitar semula, kecuali jenis yang diklasifikasikan sebagai bio-degradable yang harganya lebih tinggi dan sukar dijumpai di negara kita.

Kajian dan cubaan untuk mengitar semula lampin

iluminasi masalah lampin bayi sampah4

Beberapa usaha telah pun dijalankan namun belum berjaya dijadikan solusi penuh kepada masalah ini. Sebuah projek percubaan Knowaste di Scotland pada tahun 2014 telah berjaya menjadikan lampin pakai buang dan tuala wanita yang dikumpul, dicuci, dikisar dan dijadikan pulpa sebagai bahan kitar semula untuk dijadikan bahan membuat atap dan tong sampah.

Pada tahun yang sama, sebuah lagi syarikat bernama Envirocomp di Scotland juga mengumumkan kejayaan mereka membina sebuah sistem yang menggunakan sisa najis manusia untuk dijadikan bahan bakar.

Pada tahun 2016, sebuah syarikat bernama Waste2Aromatics dari Belanda bekerjasama dengan Knowaste untuk menghasilkan apa yang digelarkan bio-aromatics, sejenis bahan yang banyak digunakan dalam industri kimia. Knowaste akan membekalkan fiber-fiber yang dikitar daripada lampin pakai buang dan dihantar kepada Waste2Aromatics untuk dijadikan bio-aromatics.

Projek mereka bermula dalam skala kecil-kecilan dahulu dalam tempoh 2016-2018 dan dijangkakan, pada tahun 2019 nanti sistem tersebut akan berfungsi pada keupayaan sebenar.

iluminasi masalah lampin bayi sampah2

Syarikat-syarikat permulaan seperti DYCLE pula telah berjaya menukarkan sisa-sisa lampin menjadi sejenis baja berdasarkan penyelidikan mereka dan pada projek percubaan dengan menggunakan sisa dari 20 orang bayi. Setakat ini, projek tersebut nampaknya sedang berada dalam landasan yang tepat dan baja yang terhasil mampu mempercepatkan pertumbuhan pokok sehingga mampu menghasilkan 50kg buah setiap tahun.

Sebuah syarikat permulaan lain iaitu GDiapers pula cuba mengambil langkah berbeza dengan memperkenalkan sejenis lapisan yang perlu dipasangkan dalam lampin yang boleh dilupuskan dengan mengepamnya ke tandas atau dibuang dengan selamat. Namun oleh kerana penggunaannya yang belum meluas, kos yang akan dikenakan pada pelanggan mungkin meningkat 10-15% berbanding lampin pakai buang biasa. Setakat ini masyarakat Eropah mewakili majoriti pengguna GDIapers dan 50% daripadanya adalah dari United Kingdom.

Malaysia belum mengambil apa-apa langkah dalam masalah ini

iluminasi lampin dewasa

Berbalik semula di Malaysia - negara kita masih lagi belum menemui sebarang hala tuju walaupun sudah banyak pihak menyuarakan kebimbangan mereka berkenaan isu ini. Jika tidak dikawal, selain masalah timbunan masalah, besar kemungkinan akan berlaku pencemaran udara menerusi gas methane yang terhasil dan juga pencemaran air jika berlaku kemasukan sisa-sisa lampin ke sumber air.

Perlukah kita menunggu lebih lama atau cuba mencari solusi ke atas masalah ini? Penduduk Malaysia akan bertambah sementara jumlah tanah semakin lama semakin berkurangan.

Sudah sampai masanya masyarakat Malaysia sedar tentang masalah ini yang akan kita tanggung sehingga 500 tahun lagi.

Rujukan

Scotland sustainable solution for recycling disposable nappies

Billions of dirty nappies can be turned into pet litter

Soiled diapers stuck in landfills




Hakcipta iluminasi.com (2017)