Di mana-mana sahaja seluruh dunia, kebarangkalian untuk berlakunya jenayah tetap ada. Disebabkan itulah kebiasaanya polis atau badan unit beruniform seumpamanya akan dikerahkan bertugas untuk mengekalkan keamanan dalam kalangan penduduk setempat.
Namun, berlainan pula halnya di Nigeria. Disebabkan penduduk setempat merasakan pihak polis disana tidak boleh diharapkan untuk menjaga mereka daripada kegiatan penjenayah, maka mereka mengharapkan "Zangbeto" bagi menjaga keselamatan mereka.
BESARKAN TEKS A- A+
Mereka percaya Zangbeto adalah dewa penjaga mereka pada waktu malam di kalangan orang Ogu atau Egun di Benin, Togo dan Nigeria. Sebagai institusi polis dan keamanan tradisional, kultus Zangbeto ditugaskan untuk menjaga undang-undang dan adat serta memastikan keselamatan dan keamanan dalam masyarakat Ogu.
Mereka sangat dihormati dan bertindak sebagai pasukan polis tidak rasmi yang melakukan rondaan di jalanan terutama pada waktu malam, mengawasi orang dan harta benda, mengesan penjenayah dan menangkap dan menghantar mereka kepada masyarakat untuk dihukum.
Asal-usul Zangbeto
Awalnya diciptakan untuk menakut-nakutkan musuh, Zangbeto akan berkeliaran di jalanan untuk mengesan pencuri dan penyihir dan untuk melindungi undang-undang dan adat masyarakat setempat. Zangbeto adalah istilah dalam bahasa Gun yang bermaksud "Lelaki malam" atau "Penjaga malam".
Zangbeto memakai kostum khas yang diperbuat dari jerami, rafia atau bahan benang kecil yang diikat dan yang kadang-kadang dicelup dengan warna yang sangat cerah. Mengikut kepercayaan tradisi, berpakaian begini memungkinkan tubuh mereka dihuni oleh roh yang memiliki pengetahuan khusus tentang tindak-tanduk masyarakat setempat.
Walau bagaimanapun, mengikut kisah legenda Ogu mereka mendakwa mengatakan bahawa tidak ada manusia di bawah kostum itu, hanya roh malam. Zangbeto dikatakan membangkitkan kekuatan yang menghuni bumi jauh sebelum munculnya manusia dan memberikan sumber kebijaksanaan dan kesinambungan bagi orang-orang Ogu.
Dalam budaya Ogu, Zangbeto adalah pengawal keselamatan tradisional atau anggota polis masyarakat mereka. Mereka dikatakan membentuk sebuah masyarakat rahsia yang hanya dapat dihadiri oleh para pengikut dan penyembah Zangbeto atau voodoo. Zangbeto dianggap memiliki kemampuan spiritual dan magis, seperti menelan serpihan kaca tanpa membahayakan diri dan menakutkan bahkan menyihir.
Festival Zangbeto
Zangbeto juga diraikan dalam satu festival yang dihadiri oleh ramai pengikutnya. Kaum lelaki dan wanita dengan pakaian istiadat putih menyanyi dan menari dengan pukulan gendang dan para pengikut akan menyapu Zangbeto dengan minyak tanah sebelum membakarnya.
Sebilangan warga Nigeria yang kecewa dengan jenayah dan rasuah menyatakan bahawa menghidupkan semula tradisi ini dapat menjadi penghalang kegiatan jenayah. Persembahan sempena festival ini dipercayai akan membantu menimbulkan "ketakutan dan rasa hormat".
Festival seperti ini biasanya dihadiri kira-kira 2,000 orang di wilayah Ajido pesisir di daerah Lagos yang diadakan setiap tiga tahun. Bagi penduduk setempat festival sebegini adalah salah satu acara terpenting dalam kalendar keagamaan tempatan.
Pemimpin Kerajaan Ajido, Aholu Saheed Adamson, menggambarkan Zangbeto sebagai simbol kewibawaan etnik Ogu dan "simbolik keselamatan seluruh masyarakat." Orang Ogu mendiami kawasan pesisir Nigeria, Benin dan Togo. Wilayah Afrika Barat pernah dikenali sebagai Slave Coast satu ketika kerana selama berabad-abad lamanya, sejumlah penduduk diambil dari sana untuk dijadikan hamba.
Selain perdagangan hamba, tanah orang Ogu juga terkenal dengan voodoo yang banyak diamalkan di sana. Penggunaan Zangbeto dikatakan wujud sejak abad ke-17. Bagi orang Ogu, Zangbeto berfungsi sebagai polis tradisional dan mahkamah seperti menangani kes-kes seperti kecurian.
Penerimaan dan toleransi kerajaan
Semua orang tempatan takut akan Zangbeto dan mereka percaya boleh mendapat masalah sekiranya melanggar peraturan. Kepercayaan tersebut mengatakan bahawa hukuman Zangbeto boleh berkisar daripada bayaran denda hingga pembuangan seseorang daripada sesuatu kampung itu.
Pihak berkuasa Nigeria semakin bertoleransi dengan perayaan festival Zangbeto dan kepercayaan asasnya selagi tidak bersifat jenayah. Festival Zangbeto Voodoo mendapat sokongan kerajaan tempatan dan kebiasaannya turut mendapat kehadiran pegawai kerajaan.
Peralihan ke Zangbeto dan tokoh-tokoh tradisional lain untuk mengurangi beban pihak berwajib, ianya secara meluas menggambarkan rakyat Nigeria mula hilang kepercayaan terhadap sistem kepolisian dan keadilan. Ketika jenayah meningkat, beberapa orang mengatakan institusi tradisional seperti Zangbeto harus dihidupkan kembali.
Walaupun majoriti orang Nigeria beragama Kristian atau Islam, kepercayaan tradisional tetap kuat. Ada juga yang mengatakan bahawa dalam menghadapi korupsi yang meluas, pihak berwajib harus mengangkat sumpah jawatan dengan bersumpah kepada dewa-dewa tradisional dan bukan dengan Bible atau Qur’an.
Kredit: