Oleh pada 22 Jul 2019 kategori

Negara kita amat terkenal sebagai negara yang mempunyai kepelbagaian budaya dan agama masyarakatnya, mampu hidup saling harmoni antara satu sama lain tanpa berlaku banyak insiden buruk melibatkan masalah kaum - seperti yang berlaku di negara-negara lain.

Bagaimanapun, kritikan-kritikan terhadap kemampuan berbahasa kebangsaan sebilangan besar penduduk negara kita tetap kedengaran serta tidak akan berhenti, selagi polemik bahasa terus menjadi duri dalam daging masyarakat kita. Mengapakah perkara ini terus dibiarkan berlaku?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sedangkan negara kita sudah mempunyai ramai tokoh bukan Melayu yang menunjukkan penguasaan Bahasa Melayu yang tinggi, ada kalanya melebihi orang Melayu sendiri. Siapakah mereka ini? Berikut adalah 5 tokoh negara kita yang penulis rasakan layak dijadikan ikutan dalam perihal penguasaan bahasa kebangsaan oleh setiap rakyat negara kita, sama ada daripada aspek perturuan mahupun penulisan.

1. Mendiang Prof. Khoo Kay Kim

khoo kay kim

Siapa tidak kenal Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim? Beliau adalah salah seorang tokoh berbangsa Cina yang sangat terbuka dalam menerima asimilasi budaya masyarakat Melayu dalam hidupnya, sehinggakan apabila kita mendengar dia bercakap, mampu mengalahkan orang Melayu sendiri daripada kemampuan berbahasanya.

Dr. Khoo adalah seorang berbangsa Cina Peranakan atau lebih popular digelar keturunan Baba dan Nyonya. Lahir pada 28 Mac 1937 di Kampar, Perak beliau menjadikan pendidikan sebagai satu elemen yang sangat penting dalam hidupnya. Apa yang menarik tentang latar belakang beliau - daripada ijazah sehinggalah ke peringkat sarjana di buat di Universiti Malaya sahaja. Setia betul mendiang dengan UM.

Amat menyedihkan pada 28 Mei 2019, negara kita dikejutkan dengan berita kematian beliau akibat kegagalan paru-paru. Kehilangannya menyebabkan negara kita kehilangan salah seorang paling berpengaruh dalam usaha mempopularkan budaya dan bangsa Melayu, sebagai elemen penyatu negara kita.

2. Dr. Tan Seng Giaw

tan seng giaw

Anak jati Kota Bharu, Kelantan yang lahir pada 26 Mei 1942, Dr. Tan Seng Giaw merupakan nama yang tidak asing bagi pengikut politik negara kita. Merupakan salah seorang yang paling lantang bersuara sebelum karier politiknya dijatuhkan partinya sendiri iaitu DAP, Dr. Tan terkenal sebagai pemimpin berbangsa Cina yang bukan saja fasih berbahasa Melayu - malahan mampu menulis jawi dengan baik.

Menjadi wakil rakyat Kepong selama 8 penggal berturut-turut sejak pilihanraya umum ke 6 hinggalah ke 13, karier politik Dr. Tan berakhir setelah namanya tidak lagi disenaraikan ekoran beberapa kontroversi yang melanda dirinya.

Bagaimanapun, sebelum menyepi daripada politik (walaupun masih seorang ahli DAP) Dr. Tan banyak menulis pantun-pantun berbahasa Melayu membidas keputusan yang diambil kepimpinan parti. Nak kritik pun, berkias-kias - memang macam orang Melayu tulen. Kini, Dr. Tan lebih menumpukan bidang perubatan, terus memberikan khidmat di klinik kulitnya yang terletak di Petaling Jaya.

3. Dr. Wee Ka Siong

wee ka siong

Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong ketika ini merupakan satu-satunya wakil kaum Cina yang terus berjuang sebagai pembangkang di Parlimen. Pada pilihanraya 2018, beliau adalah satu-satunya pemimpin parti MCA yang menang di peringkat parlimen - walaupun hanya dengan majoriti 303 undi sahaja.

Karier politiknya dilihat mula melonjak naik selepas pertukaran kerajaan dan dia kini semakin dikenali ramai, berikutan kepetahannya bertutur dalam bahasa Melayu yang kerap membuatkan pemimpin lain kesipuan. Seorang berketurunan Hakka, Dr. Wee lahir pada 20 Oktober 1968, di Jasin, Melaka sebelum dibesarkan di Tampin, Negeri Sembilan yang banyak membentuk peribadi beliau sehingga kini.

Semenjak kecil, dia ditugaskan untuk membantu datuknya menguruskan kedai runcit milik datuknya, jadi dia dikenali penduduk kampung sebagai budak yang merekodkan semua hutang orang kampung dalam buku 555. Dr. Wee juga membesar dalam keluarga yang mahir berbahasa. Ibunya mampu berbahasa Telugu dan Tamil, sementara ayahnya juga fasih berbahasa Melayu.

4. YB Liew Chin Tong

senator liew chin tong

Salah seorang individu yang dikatakan menjadi tulang belakang utama kejayaan Pakatan Harapan mengalahkan Barisan Nasional dalam pilihanraya tahun 2018, Liew Chin Tong bagaimanapun tewas dalam pilihanraya kerusi parlimen kepada Dr. Wee Ka Siong dalam persaingan sengit.

Bagaimanapun, jelas sekali strategi kenapa dia diletakkan sebagai seteru kepada Dr. Wee; ini kerana secara luarannya, kedua-duanya mempunyai kemahiran berbahasa Melayu yang sangat baik serta mampu menarik pengundi berbilang kaum. Ketika ini, Liew dibawa masuk ke Kabinet sebagai Timbalan Menteri Pertahanan, bagi membantu urus tadbir kementerian itu dengan pangkat sebagai seorang senator.

Lahir pada 27 November 1977 di Subang Jaya, Selangor, Liew memperolehi kelulusan dalam bidang sains politik di Australia sebelum kembali menyambung pendidikan di Universiti Malaya dalam bidang perhubungan serantau. Menjadi salah seorang tokoh akademik dalam parti DAP, Liew diberikan tanggungjawab menguruskan Institut Pulau Pinang serta bertugas menyelia pembangunan modul bidang pendidikan politik parti DAP.

5. Prof. Dato Dr. Teo Kok Seong

teoh kok seong

Satu lagi nama yang sebaris dengan nama mendiang Dr. Khoo Kay Kim, Dr. Teo Kok Seong merupakan pakar rujukan negara kita dalam bidang linguistik, ketika ini berkhidmat sebagai Felo Utama di Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia.

Kelulusan beliau dalam bidang bahasa tidak boleh disangkal lagi, kerana dia mempunyai empat kelulusan yang melibatkan bidang serupa iaitu linguistik dan falsafah, menjadikan beliau antara orang yang layak bergelar pakar bahasa. Lahir pada 22 Mei 1953 di Kota Bharu, Kelantan beliau mendapat kelulusan sarjana muda dalam pengajian bahasa pada tahun 1982 sebelum menyambung dalam bidang persuratan dan falsafah pada peringkat seterusnya.

Selepas tamat pengajian, Dr. Teo berkhidmat sebagai guru bahasa Inggeris dan sejarah di Raub, Pahang sebelum dilantik sebagai tutor di UKM pada tahun 1982. Berikutan sumbangannya pada usaha memartabatkan bahasa Melayu, Dr. Teo dianugerahkan Tokoh Pemartabat Bahasa Melayu Wilayah Persekutuan pada tahun 2012 dan anugerah Tokoh Pejuang Bahasa pada tahun 2015.




Hakcipta iluminasi.com (2017)