Oleh pada 10 Apr 2021 kategori

Bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi atau bahasa kebangsaan negara kita digunakan secara meluas di setiap pelusuk masyarakat kita - dengan penambahan atau pertukaran dialek masing-masing.

Tidak dapat dinafikan bahasa Melayu juga agak senang kaedah ejaannya, berbanding bahasa Inggeris yang cukup mengelirukan cara membina perkataannya.

Bahasa Inggeris mempunyai sistem ejaan yang agak tak sekata serta berubah-ubah bunyi vokal dan konsonannya, sementara dalam bahasa Melayu apa yang kita eja itulah yang akan kita sebut.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tetapi masih banyak perkataan dalam bahasa kita yang sering dieja secara salah dek kekeliruan kita sendiri. Ini 9 contoh perkataan yang cukup mengelirukan.

1. Resepi atau Resipi?

resipi resepi perkataan istilah salah ejaan

Siapa tahu apa ejaan sebenar perkataan ini? Ejaan yang betul untuk merujuk kepada senarai bahan dan tatacara penyediaan sesuatu masakan yang boleh juga diguna untuk merujuk kepada kaedah sesuatu kerja dibuat - adalah 'RESIPI.'

Wujudkah perkataan 'resepi'? Tidak. Sesuatu yang agak memalukan pihak Dewan Bahasa dan Pustaka kita, sekiranya anda cari perkataan 'resepi' dalam kaum dalam talian, terdapat banyak perkataan 'resepi' diguna dalam penerangan berkaitan istilah lain.

Nasib baiklah 'resepi' tidak terkandung secara rasmi dalam kamus rasmi kita.

2. Kuetiao, Kueytiaw atau Kuehtiao?

ejaan kuetiau kueytiao kueytiaw

Jika anda menatap menu di kedai makan, wujud bermacam ejaan masyarakat kita cuba menulis bahan makanan berasaskan tepung popular ini. Ada yang mengejanya sebagai kwetaiu, kuetiaw, kuetiao, kuehtiow dan beberapa ejaan lain.

Ejaan yang betul adalah 'KUETIAU' merujuk kepada makanan yang diperbuat dari tepung beras, biasanya direbus atau dimasak sama seperti mi. Sebut pasal mi...

3. Mi atau Mee?

mee atau mi

Ejaan 'mee' sangat popular digunakan, khasnya di gerai dan restoran yang menyediakan juadah menggunakan 'mi.' Kedua-duanya merupakan perkataan yang benar-benar diiktiraf ada namun 'MI' adalah ejaan bahasa Melayu sementara 'mee' pula merupakan ejaan yang diambil daripada bahasa Inggeris.

Tahukah anda, selain merujuk bahan makanan - 'mi' juga turut merujuk kepada nada ketiga dalam skala major muzik. Ingat tak kita diajar 'do re mi fa so la ti do'?

4. Legenda atau Lagenda?

lagenda legenda

Ramai keliru dengan ejaan perkataan ini dan contoh kekeliruan paling popular, adalah melibatkan nama sebuah model motorsikal terkenal di Malaysia iaitu 'Yamaha Lagenda.'

Kami tidak tahu adakah ejaan itu sengaja dibuat sedemikian rupa atau memang semasa proses penamaan motorsikal tersebut, pereka namanya terlupa nak merujuk kamus bagi mensahihkan ejaan betulnya.

Ejaan yang sebenar adalah 'legenda,' bukan 'lagenda.' Hanya pengeluar jenama Yamaha di Malaysia tahu adakah itu disengajakan atau tidak, tetapi jelas dah terlambat untuk membetulkannya.

5. Garfu atau Garpu

garpu atau garfu

Ini adalah antara kesalahan yang cukup popular, bukan saja dari segi ejaan malahan sebutan kita sendiri. Ramai sudah membiasakan diri menyebut 'garfu' yang bunyinya mirip perkataan asalnya dipinjam dari bahasa Portugis.

Namun sebutan dan ejaan yang betul adalah 'garpu.' Masalahnya, ada ketikanya akan ada beberapa orang yang memandang kita dengan sinis sekiranya kita cuba menyebut istilah yang benar. Bunyinya tak cukup 'glamour' agaknya?

6. Reda atau Redha?

redha reda

Kita selalu terkeliru dengan ejaan perkataan ini, kerana semasa masyarakat kita masih menulis dalam tulisan Jawi - huruf 'dhod' digunakan, memberikan nada sebutan yang lebih keras dalam sebutannya.

Oleh kerana itulah dari segi sebutannya kita sudah terbiasa dengan sebutan 'redha' di mana 'h' ditambah untuk memperkuatkan sebutan, sedangkan secara rasmi - ejaan yang sebenar adalah 'reda' yang mempunyai bunyi lebih lembut.

Tidak wujud istilah 'redha' dalam daftar kata bahasa kita namun itu tidak menghalang perkataan tersebut digunakan sebagai judul sebuah filem, terbitan tahun 2016.

6. Limau kesturi atau limau kasturi?

limau kesturi kasturi

Jika anda cuba lakukan carian di Google menaip istilah 'limau kesturi,' Google sendiri akan cuba mencadangkan kepada anda istilah 'limau kasturi'; kononnya itulah ejaan yang benar.

Tidak! Ejaan yang betul menggunakan huruf 'E' iaitu 'kesturi.' Selain merujuk kepada sejenis limau, 'kesturi' juga merujuk kepada bauan wangi yang terhasil daripada beberapa jenis tumbuhan atau sumber haiwan.

7. Mergastua atau Margasatwa?

mergastua margastwa

Penggunaan perkataan ini cukup popular di kalangan peminat penyanyi M. Nasir. Lagu beliau 'Tanya Sama Itu Hud-Hud' seringkali dinyanyikan dengan sebutan 'margasatua', dalam rangkap 'ribu-ribu margasatua mencari raja si Muraq' merupakan antara frasa ikonik lagu tersebut.

Walaupun popular, harus kami perjelaskan ejaan dan sebutan rasmi perkataan 'margasatua' yang digunakan, adalah 'mergastua.' Sehingga ke hari ini istilah yang merujuk kepada binatang dan haiwan di hutan terus menimbulkan kekeliruan - di antara mergastua, margasatua dan margasatuwa.'

8. Perabut atau Perabot?

kedai perabut perabot

Pakar-pakar bahasa sering menyuarakan kekecewaan mereka berkenaan kesalahan ejaan ini, yang berlaku dalam skala besar di negara kita. Pergilah ke mana-mana kedai menjual peralatan rumah - besar kemungkinan kedai itu akan memaparkan ejaan 'Kedai Perabut' pada papan tandanya.

Tahukah anda apa sebenarnya makna 'perabut'?

Istilah sebenarnya mempunyai makna 'peragut' atau individu yang bertindak kasar merampas harta orang lain. Jika anda biasa berbahasa Kedah, anda pasti tahu orang Kedah gemar menggunakan frasa 'rabut' bagi menggambarkan perbuatan merebut sesuatu secara keras.

Kata akarnya adalah 'rabut', merujuk kepada perbuatan kasar merampas. 'Rabut' juga boleh digunakan untuk menggambarkan seseorang yang tergesa-gesa ke sana ke mari.

9. Kerinting atau keriting?

keriting atau kerinting

Satu masa dahulu apabila trend rambut bergulung diidamkan wanita - 'kedai kerinting rambut' tumbuh bak cendawan selepas hujan. Namun masalahnya, ejaannya salah. 'Kerinting' dieja tanpa ada huruf 'N' memberikan ejaannya yang betul 'keriting.'

Harus diingatkan, perkataan 'kerinting' juga wujud tetapi tidak membawa makna yang biasa kita ingatkan. 'Kerinting' sebenarnya merujuk kepada sejenis siput yang telah diasinkan dengan garam ataupun sejenis tumbuhan palma.

Jangan marah kalau pekerja kedai rambut peminat setia Iluminasi letak siput atas kepala anda, bila anda minta rambut anda 'dikerintingkan' ya!




Hakcipta iluminasi.com (2017)