Oleh pada 06 Oct 2020 kategori

Tinggal dalam negara berbilang kaum membolehkan banyak percampuran budaya berlaku, akibat daripada interaksi sesama etnik yang membentuk satu amalan baru.

Salah satu elemen penting yang mengalami evolusi semulajadi akibat perkongsian sesama kaum ini adalah penggunaan dan peminjaman istilah bahasa.

Perkongsian yang berlaku mengakibatkan banyak kata-kata istilah dipinjam dan dicedok untuk dijadikan slanga atau bahasa pasar masyarakat, yang bersifat unik.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah 10 istilah slanga yang cukup popular di kalangan masyarakat Malaysia yang dipinjamkan dari bahasa orang Cina dan India, membentuk jalinan kemesraan yang diharap akan terus mengeratkan hubungan sesama kita.

1. Kautau/Kowtow

kowtow kepada ketua

"Apa lagi kau nak kautau dengan dia tu bro?"

Istilah kautau dalam bahasa Cina disebut sebagai 'kau taw' yang sebenarnya merujuk kepada perbuatan seseorang untuk tunduk dan akur, kepada seorang individu lain sama ada secara terpaksa atau dengan kerelaan hati.

'Kautau' seringkali digunakan dalam perbualan atau percakapan seharian sama ada yang bersifat realiti mahupun fiksyen, sebagai satu slanga mudah bagi menggambarkan perbezaan kedudukan atau darjat seseorang dalam satu organisasi rasmi atau tidak rasmi.

Memang panas telinga kalau kita dipersoalkan kenapa kita perlu kautau pada orang lain.

2. Kiasu

perangai kiasu marakata

Istilah popular 'kiasu' ini mewakili sikap tamak mementingkan diri sendiri yang ditonjolkan seseorang dalam segala aspek kehidupan seharian.

'Kiasu' lebih kepada sebuah gelaran yang bernada negatif, diberikan kepada mana-mana individu yang annoying.

Contoh orang kiasu adalah mereka yang tidak rasa bersalah potong barisan, mereka yang membolot sesuatu jualan murah keseluruhannya atau mana-mana individu yang hanya memikirkan kepentingan diri sendiri, sehingga sanggup mengorbankan keselesaan/kesenangan orang lain.

3. Pokai

pokai tengah bulan

Istilah pasar 'pokai' menandakan waktu seseorang itu sudah berada di tahap nyawa-nyawa ikan dari segi kewangan.

Diambil daripada istilah 'pok kai', penggunaan istilah ini popular kerana dalam bahasa Melayu sendiri belum ada istilah serupa yang membawa maksud serupanya.

Kita ada alternatif seperti 'miskin' dan 'bankrap', namun secara rasminya kedua-duanya membawa makna berbeza dalam situasi berbeza.

4. Suwei

"Suwei la kau ni bro!"

manusia malang suwei

Lebih ringan berbanding padanan tepatnya iaitu 'sial' dalam bahasa Melayu, slanga 'suwei' sangat popular di kalangan ahli masyarakat kita dalam menggambarkan individu yang kita percaya bernasib malang.

Istilah ini merupakan cedokan bahasa Cina 'suay' yang membawa maksud serupa, bernada negatif serta cuba dielakkan mana-mana individu.

Walau bagaimanapun, lebih baik digelarkan 'suwei' daripada digelarkan 'sial' kan?

5. Tai chi

tai chi seni pergerakan

Pasti orang Cina terkejut sekiranya mereka tahu orang Melayu menggunakan istilah 'tai chi' bagi menggambarkan perbuatan mengalihkan kerja kita kepada tanggungjawab pihak lain, bukan?

Kami tidak tahu kenapa istilah itu digunakan sedemikian rupa oleh orang Melayu atau siapa yang memulakannya.

Namun kami yakin istilah itu dipinjam disebabkan oleh pergerakan seni tai chi yang kelihatan seakan menolak-nolak sesuatu, melambangkan tabiat menolak kerja kita agar diselesaikan pihak lain, sebagai mangsa.

6. Tapau

tapau makanan

Cedokan istilah 'tapau' dipinjam 100% sama daripada istilah asalnya. 'Tapau' merujuk kepada perbuatan membungkus makanan untuk dibawa pulang.

Apa yang unik, evolusi istilah slanga ini di kalangan rakyat Malaysia mula berubah, mula diujarkan sebagai 'tapau weh' bagi mewakili makna sama tetapi agak mirip dengan satu jenama bekas plastik popular di kalangan suri rumah dan guru wanita.

Selain membungkus makanan, 'tapau' juga digunakan untuk menggambarkan kekalahan teruk memalukan satu pihak kepada lawannya, biasanya dalam sukan, permainan e-sukan mahupun aktiviti pergaduhan.

7. Ingge porengei?

slanga rakyat malaysia

Berbeza dengan istilah pinjaman daripada bahasa Cina, istilah slanga pinjaman masyarakat Melayu dari masyarakat India kebanyakannya mengekalkan cara sebutan dan makna yang sama.

Salah satu contoh paling popular adalah ungkapan 'inggei porengei?' yang membawa makna 'nak ke mana tu?'

Penulis tak pastilah penggunaan ungkapan ini masih popular atau tidak zaman sekarang, tetapi ketika era kanak-kanak dan remaja penulis - ramai yang menuturkan ungkapan ini dalam makna yang sebenar ketika berkomunikasi.

8. Tambi

rahim tamby chik

Banyak pihak yang tersalah anggap istilah 'tambi' membawa sentimen negatif apabila digunakan.

Tetapi makna sebenar perkataan 'tambi' hanyalah merujuk kepada adik lelaki. Istilah ini digunakan secara meluas rakyat Malaysia apabila seseorang yang lebih berusia memanggil kanak-kanak lelaki kebiasaannya.

Satu soalan penting ingin diajukan penulis - adakah wujud persepsi negatif seandainya seorang individu berbangsa Melayu atau Cina misalnya, memanggil seorang individu berbangsa India sebagai 'tambi'?

Adakah istilah 'tambi' itu sebenarnya membawa sentimen negatif sebagai satu bentuk perbezaan kedudukan, kerana yang memanggil itu tua dan yang dipanggil itu lebih muda?

9. Yillek

barangan yillek habis

Selalu digunakan apabila berlakunya makanan yang cuba dipesan habis terjual, 'illek' dalam India merupakan satu istilah universal di kalangan masyarakat Malaysia yang agak popular.

Disebut sebagai 'yillek', penutur istilah ini kebiasaannya akan menuturkannya sambil mengangkat dan memusingkan tangan beberapa kali serta menyengetkan kepala mereka sedikit.

Kami tidak tahu bagaimana gaya pertuturan itu boleh diwarisi masyarakat kita merentasi etnik dan budaya. Sekarang, cuba anda sebut 'habis.' Pasti gaya yang anda akan buat agak berbeza dengan gaya yang anda lakukan semasa menyebut 'yillek.'

Nampak bagaimana bahasa memainkan peranan membentuk tingkahlaku yang berbeza-beza?

10. Podah

poddah kena halau

Istilah 'podah' biasanya digunakan serentak dengan penambahan 'chit' menjadikan keseluruhan istilah ini sebagai 'podah chit!'

Biasanya disebut dalam nada keras, 'podah' membawa makna 'nyah kau dari sini!' atau 'pergi dari sini.'

Selain makna asalnya, 'podah' juga digunakan oleh orang Malaysia apabila kita cuba menolak sesuatu yang kelihatan seperti gebang kosong seperti kisah yang tak masuk akal, yang diceritakan oleh rakan kita.




Hakcipta iluminasi.com (2017)