Lokasi Semenanjung Tanah Melayu yang sangat strategik, menyebabkan kawasan kita menjadi salah satu lokasi penting dalam hubungan antarabangsa. Kedatangan pedagang-pedagang asing yang aktif serta kepentingan Selat Melaka sebagai salah satu laut utama dunia menjadikan Semenanjung Tanah Melayu unik.
Komposisi penduduk di Tanah Melayu dan seterusnya Malaysia, mula berubah selepas kedatangan orang Arab ke kawasan ini, sekitar abad ke 13 apabila penduduk tempatan mula menjalinkan hubungan ekonomi dengan kawasan sekitar selatan India, Kedah, Jawa dan Sumatra.
BESARKAN TEKS A- A+
Hasil daripada hubungan ini, Islam mula tersebar ke seluruh pelusuk alam Melayu menjadi titik tolak permulaan identiti orang Melayu zaman moden.
Migrasi orang Jawa dan Sumatra ke Semenanjung Malaysia
Menurut catatan sejarah, wujud dua migrasi besar-besaran orang Melayu ke Semenanjung Malaysia yang berlaku sekian lama tanpa henti, sebelum kedatangan penjajah. Satu ketika dulu, kawasan Sumatera dan Semenanjung Malaysia pernah dianggap tergolong dalam satu kawasan serupa - menyebabkan berlakunya pertukaran penduduk di antara kedua-dua kawasan tanpa halangan.
Selain orang Sumatera, orang Jawa, Boyan, Bugis dan banyak lagi suku etnik lain melakukan migrasi ke Semenanjung Malaysia berasimilasi dengan penduduk dengan mudah; dibantu oleh pegangan agama Islam yang serupa membolehkan perkahwinan sesama etnik dilangsungkan tanpa halangan.
Tarikan utama migrasi ini berlaku adalah kerana orang Melayu yang sudah ada di Semenanjung Malaysia dilihat sebagai 'the son of the soil' yang sangat mirip dengan istilah 'bumiputera' yang ada sekarang, disebabkan kewujudan sistem kesultanan Melayu yang memberikan beberapa kelebihan pada orang Melayu tempatan.
Migrasi kedatangan orang Jawa yang dianggap sama besarnya dengan orang Sumatera, didorong oleh faktor penarik ini. Oleh kerana kehidupan orang Jawa di tanah asal mereka yang padat dengan penduduk menyebabkan taraf hidup yang mereka miliki lebih rendah dengan peluang pekerjaan yang sedikit - ramai orang Jawa berpindah ke Semenanjung Malaysia untuk bekerja sebagai buruh seterusnya mencari peluang untuk berasimilasi dengan masyarakat Melayu Semenanjung.
Dengan melakukan perubahan ini, orang Jawa boleh memiliki taraf hidup yang lebih baik seterusnya mendapat kelayakan sama dengan apa yang dimiliki oleh orang Melayu Semenanjung ketika itu. Inilah yang dikatakan faktor utama kenapa orang Jawa melakukan migrasi besar-besaran ke Semenanjung Malaysia.
Minoriti di bumi sendiri
Walaupun migrasi besar-besaran orang Jawa dan Sumatera menambah bilangan penduduk di kawasan Semenanjung, kedatangan British mengubah segala-galanya.
Oleh kerana galakan British mahu membawa masuk pekerja dari China dan India ke Tanah Melayu, sekitar tahun 1931 dianggarkan populasi penduduk tempatan di Tanah Melayu hanya berada pada kadar 44.7 peratus dengan 55.3 peratus lagi merupakan gabungan kaum-kaum pendatang, majoritinya orang Cina, India dan juga beberapa kelompok kecil orang Eropah yang hadir sebagai pegawai kerajaan.
Bagi kaum pendatang Cina, dianggarkan wujud lebih 1.7 juta pekerja Cina di Tanah Melayu pada tahun 1931, namun populasi ini sering bertukar-tukar kerana berlakunya migrasi masuk dan keluar yang aktif - untuk setiap 100 orang yang hadir, 80 orang akan keluar kembali ke China.
Majoritinya datang bahagian selatan China yang bergolak disebabkan masalah masyarakat seperti daerah Kwangtung, Fukien dan Kwangsi. Kumpulan paling besar masyarakat Cina yang hadir ke Tanah Melayu adalah orang Hokkien yang membuka perniagaan-perniagaan runcit kebanyakannya di negeri-negeri Selat. Di negeri-negeri lain pula, orang Kanto dan Hakka melibatkan diri dalam bidang pertanian dan perlombongan.
Pada tahun 1931, masyarakat India di Tanah Melayu pula dianggarkan berada pada populasi seramai 624,000 orang kesemuanya dengan 515,000 adalah orang Tamil, 33,000 dari etnik Telegu dan 35,000 etnik Malayalam. Daripada jumlah keseluruhan yang hadir, 425,000 bekerja di estet-estet getah di seluruh Tanah Melayu.
Mengambil sistem sedia ada di India, penjajah British bertindak membentuk pasukan polis di bawah seliaan mereka dengan majoriti petugasnya dibentuk oleh pegawai polis Punjabi, kerana etnik ini terkenal di negara asal mereka cekap bekerja sebagai peronda dan juga pengawal keselamatan.
Secara keseluruhannya, jumlah populasi Tanah Melayu ketika ini dianggarkan berada pada tahap sekitar 4,346,000 orang keseluruhannya dan orang Melayu, walaupun disokong oleh pertambahan kedatangan orang Melayu Sumatera dan Jawa - merupakan kelompok minoriti di tanah sendiri.
Orang Cina menduduki bandar, orang Melayu menetap di kampung
Oleh kerana peluang perlombongan yang ada hanya wujud di sekitar kawasan pantai barat Semenanjung Malaysia, kelompok besar pendatang juga memilih untuk menetap buat sementara di kawasan tersebut. Ini menyebabkan tidak berlakunya perubahan ketara pada kawasan-kawasan di sekitar pantai timur, disebabkan kesukaran British ketika itu membawa pekerja merentasi Banjaran Titiwangsa serta ketiadaan pelabuhan yang sesuai untuk kapal-kapal besar berlabuh di situ.
Situasi ini menyebabkan proses urbanisasi lebih banyak tertumpu di kawasan pantai barat dan kawasan pantai timur tidak banyak menerima perubahan akibat kemasukan pendatang, menjadikan populasi mereka ketika itu masih mengekalkan masyarakat Melayu asal secara majoritinya.
Dianggarkan sekitar tahun 1930 ke 1935, terdapat lebih 120 buah kawasan pekan di Semenanjung dengan populasi melebihi 1,000 orang, 18 buah dengan populasi lebih 10,000 orang, 6 melebihi 25,000 penduduk dan hanya 3 mempunyai penduduk melebihi 100,000 orang. Kesemuanya terletak di bahagian pantai barat.
Antara bandar-bandar utama ketika itu adalah Pulau Pinang (149,408 penduduk), Kuala Lumpur (111,418 orang) dan Singapura (445,719). Garis urbanisasi yang ketara kelihatan di bahagian pantai barat bermula di Pulau Pinang, Taiping, Larut, Ipoh, Batu Gajah, Kampar, seterusnya Kuala Lumpur, Seremban dan Singapura. Semua ini dibantu dengan pembukaan laluan yang menghubungkan pelabuhan yang terletak di Pulau Pinang dan juga sebuah lagi pelabuhan di Singapura.
Kaum pendatang Cina menduduki kawasan bandar dengan kes paling ekstrim berlaku di Singapura, apabila lebih 340,614 orang penduduk di situ merupakan orang Cina berbanding jumlah populasi 445,719 orang. Secara keseluruhan, 50 peratus populasi kaum Cina menetap di kawasan bandar, 30 peratus bagi kaum India dan hanya 11 peratus mewakili orang Melayu.
Kesilapan British dalam merangka perkembangan jajahan
Oleh kerana majoriti populasi di Tanah Melayu pada era tersebut dikuasai oleh kelompok pendatang, wujud satu masalah yang tidak diduga akan berlaku. Jumlah populasi yang mencapai kemuncak pada zaman 1930-an mula menurun mendadak di sebabkan oleh gerakan keluar pendatang Cina dan India untuk kembali ke negara asal.
Ini adalah kesilapan British yang merancang perkembangan Tanah Melayu dengan tanggapan bahawa jumlah populasi secara keseluruhannya akan meningkat pada kadar 3 peratus tahun ke tahun.
Apa yang berlaku pula sebaliknya, di mana populasi Tanah Melayu menurun pada kadar 5 peratus setiap tahun akibat daripada kelembapan ekonomi, yang membuatkan golongan pendatang tadi mula mencari peluang lain di negara lain atau memilih untuk kembali ke negara asal.
Kami harap artikel ini dapat menjawab beberapa persoalan yang bermain di kepala anda sebelum ini, berkenaan pembentukan populasi Malaysia yang dapat kita lihat ketika ini. Amat jelas sekali proses ini mengambil masa yang sangat lama, dibantu oleh kedatangan penjajah British yang memainkan peranan yang sangat besar dalam mengubah pola penduduk negara kita.
Kami menulis artikel ini untuk kita semua lebih memahami bagaimana kita boleh sampai ke tahap yang ada sekarang, supaya kita lebih mampu menghargai satu sama lain walaupun kita mungkin berbeza keturunan, bangsa, agama dan etnik - tetapi kita pasti mampu berkongsi sebuah bahasa, identiti nasional dan juga negara.