Jika anda belum tahu, di antara semua negara di seluruh dunia, negara kita, Thailand dan Indonesia mempunyai komuniti orang Cina paling ramai yang bukan di negara China.

Indonesia mendahului dengan jumlah sekitar 7.6 juta orang diekori Thailand di tempat kedua, dengan 7.2 juta orang dan kita berada di tangga ketiga mempunyai seramai 6.96 juta orang berketurunan Cina.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walaupun begitu, akibat daripada perbezaan budaya setempat dan proses asimilasi, budaya dan warisan generasi orang Cina yang ada juga berubah mengikut negara-negara yang mereka diami.

Apakah perbezaan yang paling ketara antara orang Cina yang menetap di Indonesia berbanding sebahagian daripada masyarakat Malaysia paling ketara? Berikut adalah lima perbezaan paling besar yang jelas kelihatan apabila perbandingan dilakukan kepada kedua-duanya.

1. Perbezaan daripada segi bahasa

bahasa rasmi indonesia

Satu perbezaan yang ketara sekiranya anda bertemu dengan individu berketurunan Cina yang datang dari Indonesia, adalah bagaimana petahnya mereka bertutur dalam bahasa rasmi Indonesia.

Sebutan mereka jelas sehinggakan tidak ada bezanya dialek mereka yang berketurunan Cina dengan mereka yang berdarah Jawa misalnya.

Fenomena sama sebenarnya turut berlaku di negara kita, melibatkan generasi masyarakat Cina yang kita kenali dengan nama Cina Peranakan atau baba dan nyonya.

Komuniti peranakan yang datang lebih awal ke Tanah Melayu mempunyai kemahiran berbahasa tempatan yang sangat baik menyamai dialek orang tempatan yang ada.

Bagaimanapun untuk generasi masyarakat Cina yang datang kemudian sekitar abad ke 18 dan 19, corak hidup yang diamalkan akibat dasar pecah dan perintah British menyebabkan kurangnya pemupukan dan perkongsian bahasa.

Ini menjadikan masyarakat Cina di Malaysia ketika ini mempunyai kemahiran berbahasa Mandarin lebih baik berbanding etnik Cina di Indonesia.

2. Sistem pendidikan yang sama

sistem pendidikan cina indonesia

Berbeza dengan kita yang mengiktiraf sistem pendidikan vernakular membolehkan kewujudan aliran pendidikan berdasarkan bangsa, kerajaan Indonesia tidak mengiktiraf sistem serupa.

Sistem pendidikan nasional menjadi satu-satunya sistem yang diterima. Penggunaan bahasa Indonesia sebagai bahasa rasmi juga diutamakan dalam aliran pendidikan mereka.

Walau demikian, keperluan untuk menyediakan pendidikan yang mesra dengan tradisi Cina tetap ada dengan penubuhan sekolah-sekolah kelolaan pihak swasta yang berorientasikan bangsa Cina, digerakkan oleh persatuan-persatuan komuniti Cina.

Dasar kerajaan Indonesia tegas tidak membenarkan mana-mana sekolah di Indonesia meminggirkan bahasa kebangsaan mereka, jadi semua sekolah baik sekolah kerajaan mahupun swasta perlu dijalankan dalam medium bahasa Indonesia secara penuh.

Pembelajaran bahasa lain seperti Mandarin tetap dibenarkan, asalkan bukan sebagai pengantara utama medium pembelajaran.

3. Penglibatan dalam politik

kekuatan politik cina indonesia

Ketika era Orde Baru di bawah pemerintahan Presiden Suharto, kerajaan Indonesia berjaya menggunakan kuasa politik mereka bagi menidakkan peluang kepada warga Indonesia berketurunan Cina menyertai politik secara besar-besaran.

Atas sebab itulah bermula tahun 1966 sehinggalah tahun 1998 tahun kejatuhan kerajaan Suharto, jarang sekali kita dapat melihat orang Cina mampu duduk menjadi sebahagian daripada kerajaan republik itu.

Hanya selepas kejatuhan Presiden Suharto, sedikit demi sedikit penglibatan masyarakat Cina ke dalam dunia politik Indonesia berlaku, dengan era Presiden Joko Widodo dikatakan menyumbang kepada penggalakkan penglibatan mereka.

Pada pilihanraya 2019, dua parti etnik Cina iaitu PSI dan Perindo bertanding namun gagal mendapat kerusi dalam kerajaan.

Berbeza dengan mereka, kita sejak sebelum merdeka lagi sangat terbuka dalam menerima kerjasama dengan pemimpin masyarakat Cina sebagai pemimpin masyarakat berbilang kaum.

Parti Malaysian Chinese Association atau MCA juga telah pun ditubuhkan pada tahun 1949, memainkan peranan besar dalam membawa suara masyarakat Cina dalam kerajaan.

Nama seperti Tun HS Lee, Tan Cheng Lock dan Tan Siew Sin akan terus dikenang dalam sejarah kita.

4. Dihalang membeli dan memiliki tanah

politik di yogyakarta

Masyarakat Cina di Yogyakarta berdepan kekangan tidak dibenarkan membeli atau memiliki mana-mana bidang tanah yang ada di negeri itu.

Walau demikian harus diperjelaskan, syarat itu bukan hanya tertakluk kepada etnik Cina semata-mata - malahan turut sama meliputi warga Indonesia yang berketurunan Arab dan India.

Undang-undang yang diperkenalkan oleh kerajaan Yogyakarta pada tahun 1975 ini hanya membenarkan sijil pemilikan tanah dikeluarkan kepada warga Yogyakarta yang berstatus orang 'pribumi' sahaja.

Semasa peraturan ini diperkenalkan, pemilik tanah bukan pribumi ditukarkan status mereka daripada pemilik tanah kepada pengguna tanah, dicukaikan dan hilang hak tuntutan ke atas tanah itu, selepas tempoh 30 tahun.

5. Kehilangan identiti nama dan bangsa

presiden indonesia joko widodo komuniti muslim

Setiap tahun, masyarakat Cina Indonesia pasti akan merayakan Tahun Baru Cina yang  lebih dikenali dengan nama 'Tahun Baru Imlek,' disambut dengan meriah di sana sama seperti kita di Malaysia.

Walau demikian, budaya dan upacara perayaan masyarakat Cina Indonesia zaman moden senantiasa berdepan stigma masyarakat berikutan dua kejadian besar dalam sejarah negara tersebut; insiden rusuhan kaum tahun 1965 dan rusuhan 1998.

Penindasan terhadap orang Cina di negara tersebut sebenarnya sudah bermula lama dahulu sejak era koloni Belanda lagi.

Dalam sejarah Indonesia, pernah berlaku insiden pembunuhan beramai-ramai orang Cina di Batavia (Jakarta sekarang) yang berlangsung pada tahun 1740 atas kerjasama kerajaan penjajah dan penduduk tempatan.

Semasa era Presiden Suharto, Tahun Baru Imlek dilarang daripada disambut. Kerajaan Indonesia ketika itu bertindak menutup sekolah-sekolah aliran Cina, menghalang kaum Cina daripada mempunyai unit gerakan media sendiri dan yang paling meninggalkan kesan; memperkenalkan arahan untuk semua individu Cina menukar nama mereka kepada nama yang membawa 'identiti Indonesia.'

tragedi tionghoa 1998 di indonesia

Orang Cina Indonesia terpaksalah menukarkan nama mereka daripada Lim kepada Liman, Shen kepada Yansen, Chiang kepada Chandra sebagai beberapa contoh.

Arahan itu yang dikenali sebagai Keputusan Presidium Kabinet Nomor 127 Tahun 1966, sangat memberikan kesan kepada orang Cina di sana dan kesannya boleh dilihat sehingga kini.

Walaupun kejatuhan Suharto menyebabkan arahan itu ditarik balik, tidak ramai warga Cina Indonesia mengambil keputusan untuk mengubah kembali nama mereka sebaliknya terus kekal dengan nama baru, dituruti oleh anak-anak dan cucu-cicit mereka.

Antara individu Cina Indonesia yang kita kenali adalah Agnes Monica penyanyi terkenal Indonesia bertaraf antarabangsa, Joe Taslim yang berjaya terpilih berlakon dalam filem 'Fast and Furious 6,' bekas Presiden Indonesia Allahyarham Abdurrahman Wahid yang berdarah campuran Cina dan Arab serta pemain-pemain badminton terkenal mereka seperti Alan Budikusuma, Rudy Hartono, Susi Susanti dan Tony Gunawan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)