Air adalah antara salah satu sumber terpenting dalam kehidupan segala makhluk yang tinggal di atas muka Bumi ini. Dan antara sumber air terbesar merupakan daripada sungai yang mengalir di setiap pelusuk bandar dan kampung.
Sungai bukan sahaja menjadi sumber air tetapi juga sumber makanan kepada manusia, jalan pengangkutan dan perdagangan.
Malangnya, tak semua di antara kita sedar kepentingan sungai sehinggakan mengabaikan tanggungjawab untuk menjaganya daripada tercemar.
BESARKAN TEKS A- A+
Terlalu banyak sungai yang tercemar di atas muka Bumi ini dan iluminasi.com kongsikan antara 5 sungai yang paling terkotor dan tercemar di dunia.
5. Sungai Mississippi - Amerika Syarikat
Laporan 2012 oleh satu kumpulan kempen, Environment Missouri berkata bahawa pada tahun 2010, kira-kira 5.76 juta kilogram sisa toksik dibuang ke dalam sungai Mississippi.
Ini termasuk bahan kimia beracun seperti nitrat, benzena, dan arsenik. Sungai penting yang terbesar dalam sistem perparitan Amerika Utara ini merupakan sumber alam semulajadi dan ekonomi terbesar bagi negara Amerika Syarikat.
Lembah sungai Mississippi adalah salah satu kawasan pertanian yang paling subur. Namun pada hari ini, rantau yang mengelilingi muara sungai ini dipanggil sebagai "Zon Mati".
Gelaran itu dberikan disebabkan oleh alga berbahaya yang tumbuh di dalam sungai yang tercemar menyerap semua oksigen, sehingga menjadikannya tidak mungkin bagi organisma lain untuk terus hidup.
4. Sungai Matanza-Riachuelo - Argentina
Sungai ini mengalir sepanjang Buenos Aires, ibu kota Argentina.
Diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu sebagai "sungai penyembelihan", sungai Matanza sepanjang 64 kilometer yang berbau busuk ini penuh dengan bahan toksik.
Berjuta-juta tan kumbahan dilepaskan ke dalam sungai ini setiap hari termasuk sejumlah besar sisa isi rumah.
Sisa kimia yang dilepaskan ke dalam air oleh pelbagai syarikat petroleum juga merupakan salah satu bahan pencemar utama.
Beberapa percubaan telah dibuat sehingga kini oleh pemerintah Argentina dan pelbagai kumpulan berusaha untuk mengawal pencemaran tetapi malangnya, tiada satu pun yang berhasil setakat ini.
3. Sungai Buriganga - Bangladesh
Sungai Buriganga adalah antara salah satu sungai yang paling penting dari segi ekonomi untuk Bangladesh.
Sungai ini, yang telah membantu perdagangan sejak abad ke-17, juga merupakan salah satu sumber utama air minuman penduduk di Dhaka.
Walau bagaimanapun, hari ini airnya telah tercemar oleh bahan pencemar berbahaya seperti sisa industri dan isi rumah, kumbahan, sisa perubatan, minyak, plastik dan bangkai haiwan.
Laporan menunjukkan bahawa sebanyak 4,500 tan sisa pepejal dilepaskan ke sungai ini. Dan jumlah ini adalah dari Dhaka sahaja.
Walaupun usaha telah dilakukan oleh beberapa kumpulan alam sekitar, kerajaan Bangladesh tidak dapat melaksanakan langkah penting untuk menyelamatkan sungai Buriganga dan sungai-sungai lain daripada tercemar.
2. Sungai Citarum - Indonesia
Mengalir melalui wilayah Jawa Barat, sungai Citarum merupakan sumber penting yang membantu pertanian, penyediaan air, industri, perikanan, dan penjanaan elektrik.
Walau bagaimanapun, sungai ini berada dalam krisis yang melampau ketika ini kerana dipenuhi dengan berjuta-juta tan sisa domestik dan industri.
Permukaan air sangat padat oleh semua bahan pencemar sehinggakan air sungai tidak kelihatan.
Semua jenis bahan cemar seperti botol plastik, tayar, sarung tangan getah, perabot rumah yang rosak, kumbahan, bahan kimia berbahaya, logam berat, dan lain-lain boleh ditemui di sungai ini, sekaligus menganggu ekosistemnya.
Menurut laporan, kadar merkuri di sungai ini adalah 100 kali lebih daripada jumlah yang ditetapkan oleh perundangan. Malah, kebanyakan bahagian di sungai ini sudah hampir mati.
Terdapat tiga empangan jana kuasa elektrik hidroelektrik di sepanjang sungai ini dan menurut para pakar, dengan peningkatan pencemaran, penjana kuasa ini akan berhenti berfungsi dan seluruh kawasan akan berada dalam kegelapan.
1. Sungai Ganges - India
Dianggap sebagai sungai paling suci dalam agama Hindu, Ganges berasal dari glasier Gangotri di Himalaya barat dan mengalir melalui dataran Gangetik India Utara yang kemudiannya memasuki Bangladesh, di mana ia memenuhi Teluk Bengal.
Pada tahun 2007, sungai Ganges telah disenaraikan sebagai salah satu daripada lima sungai paling tercemar di dunia. Oleh kerana kaitan keagamaannya, pencemaran yang mencemarkan sungai ini sangat banyak dan berbeza-beza.
Pencemaran-pencemaran terdiri daripada sisa industri toksik, kumbahan, plastik dan persembahan keagamaan yang tidak terhitung jumlahnya dilakukan di sungai ini setiap hari.
Tak cukup dengan itu, orang mandi di dalam air "suci" ini, mencuci pakaian mereka, memasak di tebingnya, dan membuang mayat.
Menurut satu kajian baru-baru ini oleh Majlis Penyelidikan Perubatan India (ICMR), sungai Ganges begitu penuh dengan bahan pencemar toksik sehinggakan orang yang tinggal dekat dengan tebingnya lebih terdedah kepada kanser daripada di tempat lain di India.