Aktiviti kerajaan China di sepanjang Sungai Mekong memang telah lama dipertikai banyak pihak, namun satu kajian yang baru dilaporkan pada 10 April 2020 menemui sesuatu kemungkinan buruk yang dikhuatiri boleh berlaku.

Aktiviti yang didalangi kerajaan China dipercayai telah pun mengganggu pengaliran air melalui sungai tersebut, sehingga mengakibatkan risiko berlakunya kemarau lebih besar di negara yang mempunyai kebergantungan kepada aliran sungai tersebut.

BESARKAN TEKS     A-  A+

China bagaimanapun menafikan laporan itu sebagai tidak berasas.

Sungai Mekong merupakan sungai sepanjang 4,350 km meliputi enam negara, bermula dari China sebelum melintasi Kemboja, Laos, Thailand dan Myanmar sehinggalah bersambung dengan Laut China Selatan di Vietnam.

Kegiatan ekonomi di sepanjang sungai tersebut menyokong hidup lebih 200 juta orang, yang terlibat dalam kegiatan pertanian dan perikanan dipercayai telah terjejas.

Apa yang telah dilakukan oleh China?

Projek empangan gergasi menyekat air

empangan china sekat aliran air mekong

Pada awal era 90-an, kerajaan China mula membina empangan pertamanya di Sungai Mekong bagi menjana kuasa hidroelektrik dan daripada pembinaan empangan-empangan yang kini mencecah 11 buah kesemuanya di Sungai Mekong, aliran air di kawasan bahagian rendah Sungai Mekong mula surut.

Satu faktor lain yang menyokong peranan China dalam isu ini adalah disebabkan dalam masa yang sama, kawasan permulaan sungai tersebut yang terletak di sekitar di wilayah Yunnan; mengalami penurunan hujan dan kecairan salji yang sekata serta didapati tidak berubah dalam tempoh 30 tahun kebelakangan ini.

Hanya kawasan-kawasan rendah, khasnya bahagian di sekitar sempadan Laos-Thailand mengalami penurunan paras air yang mendadak.

Laporan yang dikeluarkan mendakwa projek empangan China dilakukan tanpa mengambil kira negara-negara lain yang bakal terjejas, sehingga mengakibatkan penurunan tahap sekuriti makanan di benua ini disebabkan oleh kemarau yang 'dicipta' kerakusan China.

Selain itu, sudah acapkali insiden pelepasan air empangan dilakukan kerajaan China tanpa amaran diberi, menyebabkan kerosakan besar pada komuniti yang tinggal di bahagian hilir Sungai Mekong serta ekosistem sepanjang sungai tersebut yang diganggu kedatangan air besar tiba-tiba.

Kuasa mengawal sumber air

empangan gergasi di china

Sesuatu kondisi yang sangat dibimbangi bakal wujud oleh kumpulan penyelidik, adalah kemungkinan untuk China menggunakan kelebihan mereka mengawal turun naik Sungai Mekong sebagai satu senjata politik.

Kedudukan empangan China yang terletak pada bahagian hulu sungai tersebut memberikan mereka kelebihan strategi. Mereka boleh menentukan kadar bekalan air yang diterima masyarakat di sepanjang sungai itu walaupun dalam negara lain.

Ini dikhuatiri akan mewujudkan rasa kebergantungan negara-negara terjejas kepada China, sehingga mereka perlu akur kepada permintaan China hanya untuk mendapatkan air sungai. Penduduk di sepanjang Sungai Mekong kini tidak lagi boleh menganggar turun naik aliran air sepanjang sungai itu, disebabkan oleh aktiviti yang berlaku di China.

Aktiviti perikanan di Tasik Tonle Sap, Kemboja yang sangat bergantung dengan aliran air dari sungai tersebut semasa musim kering juga mendapati hasil tangkapan menurun 80 ke 90% daripada biasa.

Bandar Ben Tre yang terletak di Vietnam dilaporkan pada bulan Mac 2020 sedang mengalami masalah kemarau serta kemasukan air laut ke kawasan sungai dan terusan, sehingga menyebabkan bekalan air di bandar itu terjejas.

Mereka ketika ini tidak ada sumber bekalan air bersih.

China menafikan laporan yang dikeluarkan

sungai mekong kering di thailand

Dipertanggungjawabkan sepenuhnya ke atas situasi yang berlaku, kerajaan China menafikan apa yang berlaku adalah disebabkan kegiatan mereka.

Kerajaan China sebaliknya mengatakan fenomena El Nino merupakan punca utama kemarau yang melanda, sehingga menyebabkan paras air di sepanjang Sungai Mekong menurun.

Jurucakap kementerian luar China juga menafikan tuduhan, mengatakan apa yang berlaku pada paras air di lima negara itu tidak mempunyai kaitan dengan kegiatan pembangunan di China, sebaliknya disebabkan oleh cabang-cabang sungai di sepanjang Sungai Mekong yang terlalu banyak telah menyebabkan penurunan paras air.

Walaupun dipersalahkan, kerajaan China turut memberikan jaminan bahawa mereka akan memberikan kerjasama sepenuhnya ke atas gerakan Lower Mekong Initiative, gerakan pemuliharaan sungai tersebut yang dianggotai kesemua negara terlibat kecuali China, yang dimulakan oleh Amerika Syarikat.

Masa depan Sungai Mekong

sungai mekong kering

Apa yang paling ditakuti akibat kemarau yang melanda Sungai Mekong adalah wujudnya gesaan sesetengah pihak agar kawasan sepanjang sungai itu mula dibuka untuk ekonomi-ekonomi lain seperti pembuatan atau pelancongan.

Perubahan model ekonomi yang perlu dilakukan seandainya situasi kemarau itu berterusan, akan menyebabkan kerosakan kekal pada sungai tersebut seterusnya menyebabkan lebih ramai penduduk terjejas.

Seandainya situasi itu benar-benar terjadi di masa depan, keperluan untuk mendapatkan barangan mentah seperti sayur, ikan dan daging yang sebelum ini diperolehi dari hasil sumber alam sepanjang Sungai Mekong diramal mula perlu dibekalkan dari proses import produk dari China.

Ada juga pihak berpendapat apa berlaku ketika ini di Sungai Mekong, merupakan perancangan awal China dalam memastikan impian mereka untuk membuka sebuah 'lebuhraya air' menghubungkan negara mereka dengan Laut China Selatan terhasil.

China sudah diketahui mempunyai perancangan mahu menjadikan laluan Sungai Mekong sebagai salah satu laluan air utama projek gergasi One Belt One Road mereka.

china kuasai sungai mekong untuk kuasai asia tenggara

Setakat ini, hasrat China untuk menguasai Sungai Mekong belum kesampaian setelah kerajaan Thailand menolak pelan membesar dan mendalamkan laluan sepanjang 97 km Sungai Mekong di Thailand yang mahu dilaksanakan China, bagi membolehkan kapal kargo besar melalui laluan itu.

Tindakan berani Thailand itu dilakukan atas alasan mahu melindungi habitat serta ekosistem yang ada, selepas nelayan negara itu turut sama terjejas teruk hasil tangkapan mereka.

Apa reaksi China atas tindakan berani Thailand itu? Kita belum tahu lagi, tapi yang nyata China nampak semakin gelojoh dan mula melakukan banyak tindakan berani secara licik dan terbuka.


Artikel ini adalah terjemahan dan olahan semula artikel China could have choked off the Mekong and aggravated a drought, threatening the lifeline of millions in Asia yang diterbitkan oleh CNBC pada 27 April 2020.




Hakcipta iluminasi.com (2017)