Seperti mana yang kita tahu, negara China mempunyai penduduk paling ramai di dunia. Populasi di negara ini sahaja pada taun 2019 adalah seramai 1.398 billion manusia. Dengan jurang kemisikinan semakin membesar ditambah dengan pelbagai tekanan hidup, statistik rakyatnya yang membunuh diri juga amat membimbangkan.

China mempunyai salah satu kadar bunuh diri tertinggi di dunia. Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China, lebih dari 250,000 orang mengorbankan nyawa mereka sendiri setiap tahun, sebahagian besar daripadanya adalah wanita. Dianggarkan bahawa 26 peratus daripada semua kes bunuh diri di dunia berlaku di China.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dimanakah biasanya pelaku bunuh diri ini menamatkan riwayat mereka? Selain menggantungkan diri, sebahagian besarnya akan terjun ke dalam sungai. Malah, mayat mangsa bunuh juga biasanya akan dicampakkan ke dalam sungai.

Kerjaya mencari mayat di sungai

pencari mayat

Disebabkan begitu ramai manusia membunuh diri, telah muncul satu "kerjaya" bagi segelintir penduduk yang duduk di sepanjang Sungai Huang He (atau Yellow River dalam Bahasa Inggeris) untuk mencari mayat-mayat yang dihanyutkan ini.

Mayat-mayat yang terapung ini akan diikat dan ditambat dengan tali berhampiran dengan tebing. Mayat-mayat ini biasanya akan "dijual" semula kepada ahli keluarga mangsa yang mahu melakukan upacara pengebumian bagi mangsa. 

Sebilangan besar mangsa akan dihanyutkan ke hilir dari bandar Lanzhou, ibu kota wilayah Gansu di Barat Laut China. Walaupun sebahagian mayat yang ditemui ini adalah mangsa pembunuhan, banjir dan lemas, dipercayai 85% daripadanya adalah mangsa yang membunuh diri.

Disebabkan begitu banyak mayat yang dibawa hanyut, kerjaya yang menyedihkan dan dipandang jelik ini benar-benar wujud di China. Mereka yang mencari mayat ini biasanya akan memastikan wajah mayat tersebut terendam ke dalam air agar tidak mudah reput.

Dengan melakukan demikian, ahli keluarga lebih mudah mengecam mayat ahli keluarga mereka dan membolehkan pencari mayat mendapat bayaran dari ahli keluarga yang datang menuntut mayat tersebut untuk upacara pengebumian dan memberi penghormatan terakhir. 

Wei Zhijun, seorang pencari mayat mengatakan dapat membuat keuntungan banyak sekiranya rajin. Dia mendakwa bahawa semasa musim banjir ketika musim panas, dia mampu menemukan sehingga 20 mayat dalam satu hari. Boleh dikatakan hampir setiap hari ada sahaja keluarga yang datang mencari mayat ahli keluarga mereka.

Kebanyakan mangsa dari bandar pesat Lanzhou

bandar lanzhou

Tumpuan utama kumpulan pencari mayat ini adalah kira-kira 18 batu dari Lanzhou. Selekoh di sungai dan kewujudan empangan hidroelektrik melambatkan arus sungai, membolehkan jasad mayat untuk timbul ke permukaan.

Menurutnya lagi, kebiasaannya mayat akan tersangkut bersama-sama sampah lain di sungai dan sekiranya mayat tersebut tidak diambil dan dihanyutkan cukup jauh hingga ke hilir, kebiasaannya mayat-mayat tersebut akan disedut ke turbin empangan sehingga menyebabkannya hancur.

Sebilangan besar mayat ini dipercayai dihanyutkan dari Lanzhou, ibu kota wilayah Gansu di barat laut negara itu. Bandar ini mempunyai banyak pencakar langit baru yang dibina oleh buruh miskin yang ditindas dan dinafikan hak mereka kerana kebanyakan syarikat ini dimiliki oleh ahli perniagaan terkenal yang sukar dikawal oleh undang-undang.

Kerjaya pencari mayat ini telah mendapat perhatian di media China akhir-akhir ini, termasuklah tayangan sebuah dokumentari mengenai  realiti pekerjaan ini. Krew dokumentari ini turut menyatakan bahawa mereka melihat terdapat keluarga mangsa mengambil mayat hampir setiap hari.

Mangsa bunuh diri paling ramai

mayat terapung 96

Wei Zhijun dalam dokumentari tersebut menceritakan bahawa pernah sebuah keluarga datang padanya menceritakan bahawa bapa mereka yang tidak mampu untuk menyara keluarga kerana gaji yang terlalu sedikit, telah mengambil keputusan membunuh diri dengan melompat dari sebuah jambatan sebelum mati lemas.

Wei Zhijun juga mencritakan pernah menemui mayat yang tangan dan mulut terikat, dipercayai dibunuh oleh penjenayah atau polis yang korupsi. Menurutnya, kebanyakan mayat yang tidak dituntut oleh mana-mana pihak biasanya adalah pekerja imigran wanita yang berhijrah ke Lanzhou.

Kebanyakan mereka mungkin dibunuh dan ahli keluarga mereka tidak mengetahui akan perkara tersebut dan menyangka ahli keluarga mereka masih lagi hidup dan sedang bekerja di Lanzhou.

Kebanyakan ahli keluarga yang datang kepada pencari mayat hanyut seperti Wei Zhijun adalah mereka yang terpaksa berbuat demikian sebagai jalan terakhir memandangkan pihak polis sukar memberikan bantuan untuk perkara-perkara seperti ini kerana ianya sudah menjadi satu perkara biasa disana.

Berapakah bayaran yang diminta oleh pencncari mayat?

kerja pencari mayat

Ini sebenarnya adalah soalan yang agak sensitif dan jumlanya berbeza bergantung kepada seseorang pencari mayat tersebut. Malah, ada pencari mayat yang mewajibkan ahli keluarga membayar terlebih dahulu untuk melihat muka mayat tersebut sahaja. Ada juga ahli keluarga yang mendakwa pencari mayat ini cuba menipu mereka dan mahu mengambil kesempatan atas kesedihan mereka.

Sebuah jurnal perniagaan Lanzhou pernah menulis pada tahun 2006 mengenai sebuah firma tempatan yang mendapat panggilan dari seorang pencari mayat yang menemui mayat yang terapung di sungai dengan kad pengenalan pekerja syarikat tersebut.

Seorang wakil syarikat itu telah pergi untuk mengambil mayat itu dan dia diberitahu perlu membayar 200 yuan (sekitar $30) hanya untuk melihat muka mayat tersebut dan 6,000 yuan ($895) untuk membawa mayat tersebut pulang. Terdapat perbalahan antara wakil syarikat dan pencari mayat tersebut sebelum mereka akhirnya bersetuju dengan jumlah 4,000 yuan ($597).

Menurut statistik yang disiarkan oleh stesen air bandar Lanzhou, sekitar 30 peratus mayat ini tidak dituntut. Setelah sekitar tiga minggu, pencari mayat akan melepaskan "tangkapan" mereka dan membiarkannya hanyut. Lebih menjelikkan, sungai ini yang merupakan sungai kedua terpanjang di China turut berfungsi sebagai sumber air minuman.

Kredit:

  1. McClatchy
  2. BBC News
  3. CNN



Hakcipta iluminasi.com (2017)