Sesetengah tempat di dunia mempunyai festival atau budaya yang unik untuk menyambut sesuatu perayaan. Di Sepanyol misalnya, terdapat penganjuran acara sukan atau festival yang berkait dengan lembu jantan, misalnya matador.
Matador merujuk kepada individu yang akan menunjukkan kepakaran mengelak serangan lembu yang menyerangnya. Kemuncak sukan ini adalah apabila matador ini akan membunuh lembu jantan ini dengan pedangnya. Walaupun dianggap sebagai sukan yang kejam, ianya sudah menjadi sebahagian daripada budaya tempatan.
BESARKAN TEKS A- A+
Di Sepanyol, terdapat satu lagi sukan yang turut menggunakan lembu sebagai tarikan utamanya. Ianya dikenali oleh rakyat tempatan sebagai "Bous a la Mar" atau dalam bahasa mudahnya memaksa lembu ini terjun ke dalam laut.
Bous a la Mar
Sama seperti matador, konsep ini adalah membuatkan lembu jantan marah untuk menyerang peserta. Bezanya cuma festival ini tidak melibatkan pembunuhan lembu tersebut cuma memaksa haiwan tersebut terjun ke dalam laut. Uniknya, acara ini hanya dianjurkan di Denia, sebuah bandar pelabuhan yang terletak di daerah Alicante.
Acara ini bermula dengan lembu jantan yang dilepaskan akan mengejar para peseta lelaki di Calle Marques de Campo, jalan utama bandar ini ke gelanggang khas di kawasan pelabuhan.
Bagi mengelakkan lembu terlepas keluar, 3 bahagian tepi gelanggang berbentuk petak ini ditutup dengan bar besi bagi membolehkan hanya peserta keluar dan masuk. Bahagian keempat pula adalah terbuka dan menghala ke arah pelabuhan bagi membolehkan lembu terjun ke dalam laut.
Satu per satu lembu akan dilepaskan ke dalam gelanggang dan peserta yang terlibat akan cuba mengacah atau membuatkan lembu jantan ini naik marah lalu cuba menyondol mereka. Kebiasaannya peserta akan melarikan diri menghala ke arah laut dalam cubaan untuk membuatkan lembu tersebut terjun ke dalam air.
Peserta yang berjaya membuatkan lembu jantan ini terjun daripada tebing ke dalam sungai dikira sebagai pemenang. Lembu yang telah membuat terjunan ke dalam air akan diselamatkan dan dibawa naik semula ke daratan menggunakan sebuah bot kecil.
Sejarah penganjuran Bous a la Mar
Sukan Bous a la Mar ini dianjurkan sebagai sebuah acara tahunan semenjak tahun 1926 sebagai salah satu acara dalam festival Santisima Sangre. Santisima Sangre merupakan sebuah festival bagi memperingati seorang sami yang bernama Pedro Esteve yang dikatakan telah menyelamatkan kota ini daripada satu wabak pada tahun 1633.
Kebiasaannya festival ini diadakan setiap tahun pada minggu kedua bulan Julai dan turut dihadiri oleh pelancong luar daripada seluruh Sepanyol. Ianya dianjurkan dua kali setiap hari iaitu pada pukul 1 dan 7 petang selama 9 hari berturut-turut.
Sukan Bous a la Mar merupakan antara tarikan utama festival ini. Selain itu, para pelancong yang datang ke sini juga akan menikmati pelbagai juadah makanan, nyanyian, persembahan teater dan tarian.
Walaupun tidak melibatkan pembunuhan haiwan seperti dilakukan matador, sukan ini tetap mendapat kecaman antarabangsa yang menganggapnya sebagai satu bentuk pembulian dan penghinaan terhadap haiwan-haiwan yang terlibat ini.
Kredit: