MySpace merupakan laman rangkaian media sosial yang terbesar atas talian pada era 2000-an. Ketika waktu kemuncaknya, sekitar 75 juta orang pengguna baru mendaftar di MySpace dalam sebulan.

Jika anda dari golongan Gen Y atau Generasi Y yang lahir dari tahun 1981-1994, anda mungkin pernah memiliki akaun MySpace. Ia seakan-akan satu kemestian seperti mana Facebook pada hari ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walaupun terdapat platform media sosial yang lebih awal seperti Friendster, populariti MySpace mengatasi semua pesaing lain dan memonopoli dunia media sosial ketika itu. 

Namun, bagaimana platform sehebat MySpace itu hampir tidak dikenali generasi seterusnya? Berikut adalah lima sebab mengapa MySpace menemui kegagalan dan terkubur.

1. Tidak mengikuti perkembangan pengguna

page myspace

MySpace dilancarkan untuk menarik minat Generasi Y yang ketika itu berusia belasan hingga awal 20-an. Pengguna internet pada waktu itu masih dalam fasa pembelajaran bagaimana media sosial berfungsi.

Pada tahun 2005 ketika MySpace berada pada di puncaknya, ratusan juta remaja menulis biodata dan memuat naik foto di halaman mereka. Profil MySpace juga boleh diubah dari segi warna, latar belakang dan pelbagai fungsi lain mengikut citarasa masing-masing.

Pengguna juga boleh memuat naik lagu kegemaran dan berkawan dengan band atau penyanyi kegemaran mereka melalui MySpace. Ia sangat menepati jiwa remaja pada waktu itu.

Apabila Generasi Y semakin membesar dan bertambah matang, selera mereka juga berubah tetapi MySpace masih tetap sama. Kegagalan ini menyebabkan pengguna asal berpindah kepada Facebook yang dilihat lebih ringkas dan matang.

2. Kurang inovasi

tom myspace 739

Untuk berjaya dalam bidang yang sentiasa berubah setiap masa, anda perlulah berinovasi. Ia merupakan perkara paling penting yang tiada pada MySpace sehingga menyebabkan kejatuhan mendadak.

Tidak seperti Facebook yang sentiasa cuba untuk menyesuaikan diri dengan keadaan semasa. Facebook sentiasa mengadaptasi berdasarkan circle friend pengguna, apa yang mereka like dan permainan yang dimainkan pada web itu.

Berbeza dengan MySpace. Sama ada anda mempunyai satu atau seribu rakan, MySpace akan tetap berfungsi dengan cara yang sama. Walaupun melalui kemas kini dan beberapa rekaan semula sepanjang lima tahun, MySpace masih beroperasi dengan cara yang serupa ketika pertama kali ia dilancarkan.

MySpace juga gagal menggunakan teknologi seperti Ajax yang membolehkan pengguna boleh menghantar mesej tanpa membuka browser window baru, mengimport senarai rakan melalui email dan instant messaging. Facebook berjaya melakukan ketiga-tiganya.

3. Lari dari tujuan asal

myspace music

Bekas Ketua eksekutif MySpace, Mike Jones, mengakui bahawa laman web itu bukan lagi sebuah rangkaian sosial tetapi menjadi "destinasi hiburan sosial".

MySpace yang pada mulanya dibina untuk tujuan rangkaian sosial tetapi mula mengubah hala tujunya apabila gagal bersaing dengan media sosial lain yang semakin besar. 

Jones menegaskan lagi, sesuatu jenama itu harus menyesuaikan diri dengan perubahan dalam pasaran mereka bukannya membuat keputusan untuk mengubah pasaran itu agar mengikuti mereka. MySpace mengubah hala tuju mereka kepada muzik dan hiburan.

MySpace mula dibanjiri dengan profil band dan penyanyi yang mempromosikan diri mereka. Ramai pengguna MySpace lebih menumpukan pada senarai lagu kegemaran di profil mereka berbanding biodata atau diri sendiri.

4. Kerenah birokrasi

rupert murdoch 618

Ketika zaman kemuncaknya pada tahun 2005, MySpace telah dibeli oleh News Corporation milik Rupert Murdoch pada harga USD 580 juta.

News Corporation telah berjanji tidak akan campur tangan dan tidak akan mengubah apa-apa dalam MySpace. Namun, realiti yang berlaku adalah berbeza. 

Menurut Sean Percival, bekas Timbalan Presiden Pemasaran Atas Talian MySpace, pembelian itu turut disertai dengan polisi korporat. Ketika itulah segala keputusan tidak lagi semudah seperti sebelumnya

Apa sahaja perubahan yang ingin dilakukan perlu dibincangkan, melalui proses kelulusan yang memakan masa dan berbentangan demi perbentangan yang membantutkan sesuatu hasil itu. Percival menyamakan keadaan itu seperti memandu kereta sport yang laju (MySpace) di jalan yang penuh persimpangan (birokrasi).

5. Ketamakan

myspace ads

Setelah MySpace diberli oleh Rupert Murdoch, terdapat tekanan yang tinggi untuk menghasilkan keuntungan. Akibatnya, MySpace dibanjiri dengan iklan yang mengganggu.

Banyak laman meragukan meminta pengguna untuk mendaftar kad kredit dan pelbagai perkhidmatan lain. Pelbagai cara dilakukan bagi menjana pendapatan untuk memenuhi sasaran yang tidak masuk akal dari News Corporation.

Kebebasan berkarya oleh kakitangan MySpace juga terkekang kerana terlalu memikirkan apakah cara seterusnya untuk menjana keuntungan.

Keadaan itu membawa kepada kegagalan MySpace untuk memahami kehendak pengguna dan menyebabkan ramai yang lari kepada platform lain seperti Facebook (pada waktu itu masih lagi bebas iklan).




Hakcipta iluminasi.com (2017)