Penggunaan media sosial secara berlebih-lebihan dan menurut nafsu adalah tidak bagus untuk kehidupan.

Rakan-rakan anda mungkin secara tidak sengaja telah membuatkan anda rasa terpinggir di media sosial dan situasi ini mungkin menyebabkan anda hilang keupayaan untuk berfikir dengan bijak. Itulah keputusan kajian yang dijalankan ke atas 194 responden oleh Universiti New York di Buffalo yang diterbitkan dalam jurnal Social Science Computer Review.

Sesungguhnya, penyelidikan yang mengkaji Facebook dan pelbagai platform media sosial lain itu mendapati banyak hantaran di media sosial membuatkan seseorang mudah terasa seperti disisihkan - walaupun tanpa sebarang niat oleh individu yang memuat naik status tersebut.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Penyisihan Sosial

Menurut Jessica Covert iaitu penyelidik utama yang terlibat dalam kajian tersebut, perasaan penyisihan sosial ini boleh membangkitkan pelbagai kesan fizikal dan psikologi seperti pemikiran kognitif yang berkurangan.

Walaupun kajian itu menyatakan bahawa penyisihan sosial ini kebiasaannya terjadi secara tidak disengajakan, perkara mudah seperti "tidak tahu di mana rakan berada pada sesuatu masa" boleh ditafsirkan dalam cara yang menyebabkan diri terasa dipinggirkan.

Prof. Madya Michael Stefanone dari Universiti New York memberitahu yang manusia menggunakan teknologi ini hampir setiap masa, setiap hari. Rakan-rakan media sosial pula menghantar status kemas kini (sebagaimana dikehendaki oleh aplikasi tersebut) untuk memaklumkan aktiviti terbaru mereka. Akan tetapi, akhirnya hubungan maya ini mewujudkan kesan negatif terhadap kesihatan masyarakat.

Penyisihan sosial mungkin nampak remeh bagi sesetengah orang. Namun begitu, ia adalah salah satu ancaman sekatan paling kuat yang boleh digunakan ke atas orang lain dan mampu menyebabkan kerosakan psikologi yang mempunyai kesan berpanjangan.

penyisihan sosial akibat media sosial individu rasa dipinggirkan

Media sosial lebih banyak keburukan?

Apabila minda mengalami situasi sebegini, fungsi penswakawalaturan otak akan mengambil alih dan menterjemahkan kepada pelbagai perasaan. Akan tetapi, proses ini menggunakan banyak sumber daya mental yang seterusnya boleh menghalang pemikiran cerdas.

Keadaan mudah tersinggung ini tidak hanya tertakluk kepada 'penagih' media sosial. Pengguna biasa yang menggunakan platform ini secara berkala juga boleh terdedah kepada perencatan fikiran cerdas untuk jangka pendek.

Menurut MIT Technology Review, di Amerika Syarikat, purata masa seseorang menghabiskan masa dalam talian adalah sebanyak 24 jam seminggu manakala di Malaysia pula, pengguna menghabiskan masa purata sehingga 15.8 jam seminggu.

Daripada laporan statistik SKMM, pengguna Internet di Malaysia menghabiskan sehingga empat jam sehari dengan media sosial sahaja.

Perencatan buah fikiran ini hanyalah salah satu kesan negatif yang berpunca daripada media sosial. Menurut kajian lain oleh Penn State University pada tahun 2015, selain membantutkan produktiviti, media sosial juga boleh meningkatkan kebarangkalian seseorang untuk dibuli. Satu kajian lagi yang diterbitkan dalam jurnal Computers and Human Behavior mendapati ia meningkatkan risiko untuk mengalami masalah kemurungan dan keresahan.

terasa dipinggirkan rakan rakan selepas membaca status media sosial

Semuanya fake

Seorang ahli terapi bertauliah, Gemma Quick pernah memberitahu bahawa kebanyakan aplikasi media sosial menjadi gambaran kehidupan manusia yang 'disusun' dan 'direka'. Ia tidak mencerminkan pengalaman sebenar seseorang individu secara sepenuhnya. Apabila seseorang melihat dan mula membanding-bandingkan kehidupan sendiri dengan apa yang dilihat di media sosial, walaupun segala yang dipaparkan adalah gambaran kehidupan yang palsu, ia tetap boleh mencetuskan rasa murung dan gelisah dalam diri.

Tambahan lagi, media sosial boleh merosotkan kesihatan mental seseorang sehingga banyak pusat pemulihan dibangunkan semata-mata bertujuan untuk memulihkan pesakit yang menghadapi masalah ketagihan media sosial, terutamanya golongan remaja. Tinjauan yang dijalankan oleh Pew Research pula mendedahkan hampir suku remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun mengatakan media sosial memberikan kesan negatif kepada mereka disebabkan kes buli, memberi pengaruh buruk kepada perhubungan, mencipta tanggapan yang tidak realistik dan juga pengaruh rakan sebaya.

kehidupan dalam media sosial bukan gambaran sebenar semuanya palsu

Menurut Gemma Quick lagi, kebanyakan kes berulang yang diuruskannya adalah daripada kalangan pasangan yang tidak dapat meneruskan kehidupan dan melupakan hubungan lalu kerana mereka masih dihubungkan melalui media sosial. 

Mungkin media sosial bukanlah masalah sebenar. Punca masalah ini sebenarnya datang daripada manusia sendiri yang membiarkan diri dikawal teknologi.

Perlu diingatkan, kita mempunyai pilihan untuk mengawal apa yang kita lihat di media sosial. Sesekali, cuba ambil peduli dan perhatikan sama ada suapan berita yang anda skrol setiap hari membantu kehidupan atau lebih memudaratkan kesihatan mental anda.

Pilihan berada di tangan anda.




Hakcipta iluminasi.com (2017)