Kita di Malaysia yang masyarakatnya majmuk, mempunyai banyak campuran budaya, tradisi dan ragam dapat kita saksikan setiap hari.
Begitu jugalah di negara-negara luar di mana pembentukan masyarakat hasil penghijrahan dan migrasi keluar masuk orang ramai, membawa kepada banyak tradisi yang akhirnya menjadi sebati dengan identiti masyarakat mereka.
Ada tradisi yang kita semua kongsi bersama. Ada juga tradisi dan budaya yang kita rasa aneh, hanya diamalkan mereka di negara mereka. Berikut adalah lima budaya biasa masyarakat luar yang kami yakin akan dirasa ganjil sekiranya berlaku di negara kita.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Budaya Thailand berdiri tegak semasa lagu kebangsaan dimainkan setiap hari
Pernah tak ketika sedang berada di kawasan awam, tiba-tiba anda mendengar 'Negaraku', lagu kebangsaan kita dimainkan? Apa akan berlaku?
Biasanya majoriti kita tidak mengendahkan lagu tersebut meneruskan saja rutin harian kita.
Bagi masyarakat di Thailand, setiap hari lagu kebangsaan negara mereka akan dimainkan pada jam 8 pagi dan 6 petang, mengekalkan satu tradisi yang telah diperkenalkan sejak tahun 1939 dipasang di kawasan-kawasan awam termasuklah kawasan pelancongan.
Ketika tiba waktu tersebut, semua individu termasuklah migran dan pelancong diminta untuk menghormatinya, diminta berhenti daripada melakukan apa-apa, berdiri tegak sehinggalah lagu itu tamat.
Jika anda ada di Thailand ketika waktu-waktu tersebut, hormatilah budaya ini. Takut nanti anda diserang oleh warga Thailand yang merasakan anda kurang ajar kerana tidak menghormati tradisi mereka.
2. Budaya orang Norway tinggal bayi di luar kedai
Jika anda tanya penulis sanggup tak tinggalkan anak kecil penulis di luar premis, sumpah penulis tak sanggup.
Itulah budaya dan tradisi masyarakat Scandinavia khasnya di Norway setiap musim sejuk, di mana ibu bapa membiarkan anak mereka tidur dalam kerusi tolak di luar premis yang dikunjungi seperti restoran.
Tradisi ini mula diajar sejak bayi berusia 2 minggu ketika keluar dengan ibu bapa mereka. Bagaimanapun jangan risau, majoriti ibu bapa di sana sudah membekalkan pakaian dan peralatan yang mencukupi bagi memastikan anak mereka terus selesa nyenyak sendirian.
Tujuannya ada dua. Yang pertama, tidur anak tidak terganggu hanya disebabkan ibu bapa perlu melakukan sesuatu. Kedua, mereka percaya udara sejuk akan menguatkan lagi tubuh anak-anak mereka. Persoalannya - berani buat tak benda sama di Malaysia?
3. Budaya berjalan kaki ayam di New Zealand
Sekiranya anda mendapat peluang berkunjung ke New Zealand, bolehlah anda cuba amalkan satu tradisi masyarakat di sana gemar berkaki ayam ke mana saja.
Melihat seseorang individu berada di tempat awam tanpa kasut atau selipar adalah sesuatu yang norma khasnya ketika musim panas.
Tradisi berjalan kaki ayam ini dipinjam masyarakat New Zealand daripada budaya asal orang Maori. Orang Maori percaya hanya dengan berjalan tanpa alas mampu mendekatkan seseorang dengan alam semulajadi.
Walau bagaimanapun mereka yang mengamalkan tradisi ini semakin sering berdepan masalah, khasnya apabila ada premis persendirian seperti lapangan terbang, kompleks beli belah dan restoran sudah mula mewajibkan pemakaian kasut untuk masuk atas faktor kesihatan.
4. Budaya kanak-kanak merokok di Indonesia
Kredit gambar : Dailymail
Anda tahu tak masalah merokok di kalangan kanak-kanak Indonesia merupakan satu masalah besar yang sukar dibendung kerajaan republik tersebut?
Puncanya? Salah kerajaan Indonesia sendiri.
Indonesia adalah satu-satunya negara Asia Pasifik yang masih belum menandatangani konvensyen kawalan tembakau yang diperkenalkan Badan Kesihatan Sedunia, bagi membendung dan menyelia produk tembakau.
Oleh sebab itulah rokok di sana tetap dapat dijual pada harga murah dan pengiklanan produk berasaskan tembakau masih dibenarkan.
Hasilnya - dianggarkan 41% remaja berusia 13 ke 15 tahun di Indonesia merokok. Lebih sejuta kanak-kanak dan remaja di bawah usia 16 tahun menjadikan hisap rokok sebagai tabiat harian. 1/3 daripada kanak-kanak berusia 10 tahun ke bawah di Indonesia dilaporkan pernah cuba merokok.
Kanak-kanak berusia 2 tahun merokok setiap hari di sana, bukanlah satu perkara aneh bagi mereka.
5. Naik kereta orang lain di Uzbekistan
Kita tahu penawaran khidmat teksi sapu di negara kita masih berjalan, khasnya di kawasan-kawasan luar bandar di mana sistem pengangkutan awam kurang aksesnya kepada penduduk setempat.
Namun di Uzbekistan, budaya teksi sapu adalah sesuatu yang diraikan.
Dikhabarkan anda boleh berdiri di tepi jalan di sana memberikan isyarat dengan tangan. Akan ada kenderaan persendirian berhenti menjemput anda, sudi menghantar anda ke destinasi anda dengan kadar bayaran tertentu.
Ini kerana di Uzbekistan ramai pemilik kereta persendirian mencari pendapatan sampingan dengan memandu teksi sapu. Dengan menawarkan tambang yang jauh lebih murah berbanding teksi berdaftar, ramai pengguna memilih untuk menaiki kenderaan-kenderaan sebegitu.
Bagaimanapun anda perlulah bersedia berhimpit dengan orang lain yang tidak anda kenali, kerana pemandu sebegini biasanya akan cuba memenuhkan kerusi kereta yang kosong setiap kali ada penumpang lain memberikan isyarat mahukan pengangkutan.
Anda sanggup tak buat sebegini sekiranya tradisi sebegini diamalkan di negara kita dan tambangnya jauh lebih murah, berbanding dengan sistem teksi atau teksi e-hailing sedia ada?