Sukan merupakan satu aktiviti sihat yang membantu meningkatkan tahap kesihatan seseorang. Bagaimanapun, ada juga beberapa kategori sukan yang boleh dikatakan agak ganas berikutan risiko serta impak yang perlu dihadapi setiap peserta.

Mengapa ada individu yang mahu bermain permainan berimpak tinggi? Kadar risiko yang dihadapi serta keupayaan seseorang untuk menguasai situasi, merupakan satu perkara yang dikejar-kejar oleh setiap peserta dengan sukan tersebut dilihat sebagai satu halangan yang perlu mereka kuasai.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah 5 jenis sukan paling berimpak tinggi menjadi tradisi banyak masyarakat seluruh dunia, yang kami rasakan perlu dikongsikan bersama anda pembaca setia Iluminasi.

1. Buzkashi

Buzkashi berasal daripada Asia Tengah yang kerap dimainkan suku kaum di sana sebagai satu tradisi masyarakat. Buzkashi yang membawa maksud 'menarik kambing' diperkenalkan pada abad ke 10 oleh orang etnik Turkic, sebelum merebak ke kawasan-kawasan berdekatan seperti China dan Mongolia.

Juga dikenali dengan nama lain seperti kokpar atau kupkari, buzkashi dimainkan oleh dua pasukan yang menunggang kuda, perlu memasukkan bangkai kambing atau anak lembu ke dalam gol. Apa yang menakutkan, permainan ini agak ganas dengan penunggang-penunggang kerap terjatuh semasa cuba mengangkat bangkai kambing yang ada di atas tanah atau menjaringkan gol. Maklumlah, kita kena memegang seekor kambing sambil menunggang kuda. Susah tu!

Risiko yang dihadapi tidak menghalang buzkashi menjadi popular sehingga menjadi sukan rasmi negara Afghanistan. Kerajaan Taliban mengharamkan permainan ini semasa mereka memerintah, namun selepas hilang kuasa - permainan ini menjadi popular semula dalam masyarakat mereka.

2. Kabaddi

liga pro kabaddi

Kabaddi sekiranya dilihat daripada jauh, nampak seperti sebuah permainan mirip galah panjang yang kerap dimainkan kanak-kanak. Memang hampir mirip dengan permainan tersebut, kabaddi adalah sebuah sukan yang memerlukan dua pasukan berentap di atas gelanggang yang boleh berbentuk segi empat atau bulatan.

Sukan rasmi negara Bangladesh, kabaddi dimainkan di banyak negara termasuklah negara kita. Dipertandingkan sehingga ke peringkat Temasya Sukan Asia, kabaddi memerlukan satu ahli pasukan yang dilantik sebagai penceroboh cuba masuk ke kawasan lawan atau mengeluarkan pemain yang cuba bertahan.

Sejenis sukan yang agak kasar kerana kabaddi adalah sukan yang memerlukan terjahan dilakukan secara kerap, satu peraturan kabaddi menjadikannya lebih menarik. Untuk setiap penceroboh yang dilantik, mereka perlu menjerit 'kabaddi, kabaddi, kabaddi' berulang kali tanpa henti. Sekiranya penceroboh gagal melakukan jeritan itu sepanjang tempoh mereka menyerang, penceroboh hilang peluang untuk terus menyerang dan giliran menyerang bertukar tangan. Sekarang cuba anda sebut perkataan kabaddi berulang kali, tengok berapa lama anda bertahan sebelum rasa mengah.

3. 'Ferret-Legging'

Kami tidak tahu bagaimana nak terjemahkan nama sukan gila ini. Mungkin kita boleh namakan ia 'memerangkap feret dalam seluar.' Feret, sejenis binatang mirip memerang memang terkenal akan bertindak ganas sekiranya mereka terperangkap. Melihat situasi ini, ada individu-individu pada tahun 1970-an yang melihat potensi untuk menjadikannya sebagai sebuah sukan.

Apa yang perlu dilakukan oleh setiap peserta adalah untuk mengikat bahagian seluar mereka di bahagian buku lali untuk mengelakkan feret itu terlepas. Kesemua peserta akan diminta untuk berdiri di hadapan hakim lalu dibekalkan dengan dua ekor feret dewasa, yang mesti dimasukkan ke dalam seluar mereka dan kemudiannya diketatkan dengan tali pinggang.

Siapa yang mampu bertahan paling lama akan memenangi pertandingan tersebut, dengan rekod setakat ini adalah dipegang seorang lelaki bernama Reg Mellor. Rekodnya 5 jam 26 minit, dicatatkan pada 5 Julai 1981. Apa yang mengagumkan, cuba lihat bagaimana tajamnya gigi seekor feret dewasa dan bayangkan sakitnya gigitan binatang itu. Apa yang lebih mengagumkan - setiap peserta tidak dibenarkan memakai seluar dalam untuk memudahkan kedua-dua feret itu beralih dari kaki ke kaki.

4. Intonga

Sukan intonga merupakan satu aktiviti harian penduduk etnik Nguni di Afrika Selatan. Populariti intonga di negara tersebut cukup besar sehinggakan intonga sudah berakar umbi dengan masyarakat mereka. Nelson Mandela, legenda kebebasan Afrika Selatan pun mengakui sewaktu kecil dia banyak menghabiskan masa bermain intonga. Apa itu intonga?

Intonga adalah pertarungan satu lawan satu di antara dua orang lelaki, menggunakan dua batang kayu panjang yang keras. Satu untuk menyerang dan satu untuk bertahan. Kerap kali dimainkan sebagai upacara menyambut keluarga pengantin semasa majlis perkahwinan, perlawanan intonga sebagai sesi berkenalan sesama mereka.

Objektifnya adalah untuk menjatuhkan mengumpul mata atau memenangi terus perlawanan sekiranya pihak lawan jatuh. Oleh kerana setiap pukulan tepat ke kepala, leher, pinggang dan kaki dianugerahkan mata, kecederaan memang kerap berlaku pada mana-mana peserta yang menyertainya tetapi bagi masyarakat Afrika khasnya - semua itu adalah perkara biasa sebagai satu tradisi warisan nenek moyang mereka berabad lamanya. Setiap pukulan pula dilakukan tanpa ada rasa takut mencederakan lawan, asalkan tidak sampai hilang kawalan. Setiap individu yang bertanding tidak dibenarkan memakai sebarang perlindungan diri.

5. Pertarungan Tiub Kadbod

perlawanan pedang kadbod

Siapa sangka bahan yang diperbuat daripada kotak mampu dijadikan sebuah sukan yang popular di Amerika Syarikat. Dianjurkan di beberapa bandar besar seperti Seattle, San Fransisco dan Sydney, The Cardboard Tube Fighting League atau CTFL merupakan sebuah sukan yang diadakan di tempat awam, dengan penyertaan dibuka kepada sesiapa saja yang berumur lima tahun dan lebih.

Dianjurkan secara suka-suka oleh seorang individu bernama Robert Easley pada mulanya sebelum berkembang, CTFL mengambil inspirasi daripada pertarungan satu lawan satu pahlawan zaman dahulu dengan pakaian perisai yang diperbuat daripada besi, cuma dalam CTFL semuanya mesti dibuat dengan bahan kadbod.

Pertarungannya tidaklah ganas seperti buzkashi atau kabaddi - semua peserta akan bertarung dengan menggunakan kadbod panjang yang akan disediakan penganjur. Peserta pertama yang berjaya mematahkan atau membengkokkan pedang kadbod lawan melebih 45 darjah diisytiharkan sebagai pemenang. CTFL tidak membenarkan peserta mencucuk lawan dengan 'pedang' mereka dan pakaian perisai, yang wajib dibuat juga daripada kadbod adalah atas pilihan masing-masing jika mahu dipakai. Kami sengaja letakkan sukan ini dalam kedudukan terakhir, kerana kami tidak mahu anda jadi terlalu murung selepas membaca artikel ini. Masih ada orang yang saja suka-suka mencipta sukan hanya untuk menggembirakan hati peserta dan penontonnya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)