Pengurus bola sepak kebiasaannya akan lahir daripada pemain bola sepak sendiri. Atas sebab itulah, aspek pendidikan amat jarang sekali dijadikan salah satu elemen yang digembar-gemburkan semasa kita membicarakan tentang kredibiliti seorang pemain bola sepak.
Walau bagaimanapun, ada kalanya - muncul beberapa orang pemain yang berbeza; mempunyai tahap kemahiran bola sepak bertaraf profesional dan dalam masa yang sama; berjaya memiliki kemahiran dalam bidang akademik yang membuatkan mereka layak tergolong dalam kumpulan pengurus kelab atau pasukan yang unik adanya.
BESARKAN TEKS A- A+
Siapakah lima individu pengurus bola sepak terkenal yang layak dikatakan bukan saja handal dalam bidang sukan malahan turut sama pakar dalam bidang pelajaran? Berikut adalah lima yang kami rasakan terbaik, untuk kami kongsikan kepada anda.
1. Manuel Pellegrini
Ketika artikel ini ditulis, Manuel Pellegrini sedang menjawat jawatan pengurus kepada kelab bola sepak Inggeris, West Ham. Mempunyai pengalaman yang sangat luas dalam bidang pengurusan dan kejurulatihan bola sepak, Pellegrini banyak merantau membawa dia ke Sepanyol, England, Argentina, Chile, China dan juga Ecuador.
Namanya menjadi terkenal selepas mengangkat kelab Sepanyol iaitu Villareal yang membawanya dilantik pengurus kelab gergasi Real Madrid. Penghijrahan beliau ke England membuktikan dia merupakan seorang pengurus yang konsisten dan mempunyai rekod yang sangat baik.
Pellegrini memilih untuk fokus dalam bidang pengurusan bola sepak pada tahun 1988, meninggalkan karier asalnya ketika itu sebagai seorang jurutera sivil bertauliah - yang diselang-selikan dengan aksi di padang. Lahir di Chile, Pellegrini menghabiskan 7 tahun pengajian dalam bidang pembinaan, menguasai kemahiran berkomunikasi dalam beberapa bahasa antaranya Sepanyol, Itali, Perancis dan Inggeris.
2. Iain Dowie
Nama beliau mungkin tidak lagi disebut-sebut seperti 10 tahun dahulu, namun Iain Dowie berjaya membuktikan kemampuannya bukan saja pada peringkat kelab dan antarabangsa, malahan dia mempunyai karier panjang sebagai seorang pengurus di England selepas persaraannya.
Pengalaman pertamanya mengurus Oldham Athletic beroleh kejayaan selepas berjaya memacu kelab itu layak menyertai kejohanan kalah mati Divisyen Dua. Bagaimanapun selepas tidak dibayar gaji, Dowie memilih untuk berhijrah ke enam kelab, sebelum mengumumkan persaraan pada tahun 2010.
Pada awal karier, beliau gagal dalam sesi pemilihan bola sepak semasa berumur 16 tahun - jadi dia menumpukan perhatian pada pendidikan, menamatkan pengajian dalam bidang aeronautikal seterusnya bekerja dengan British Aerospace. Semasa bermain dalam liga semi pro di Kingsbury, London pada tahun 1988 - pencari bakat kembali menemui beliau, menawarkan kontrak profesional dengan kelab Luton Town pada usia 23 tahun.
3. Socrates
Seorang legenda Brazil yang bukan saja menempa nama dalam sukan malahan turut sama menjadi ikon fesyen dunia yang diikuti, mendiang Socrates Brasileiro Sampaio de Souza Vieira de Oliveira mempunyai nama gelaran 'Doktor Socrates' - kerana dia mempunyai kelulusan doktor perubatan yang sah.
Bermain dengan pasukan kebangsaan Brazil daripada tahun 1979 sehingga tahun 1986, Socrates kerap kali disanjung sebagai salah seorang pemain Brazil terbaik yang mempunyai kepintaran paling tinggi. Selepas persaraan, dia kembali bertugas sebagai seorang doktor di Sao Paolo, Brazil namun tidak kekal lama.
Semasa kariernya, Socrates terkenal sebagai seorang pemain yang tidak menggemari peraturan dan disiplin, serta sangat banyak melanggar dua pantang larang utama pemain bola sepak profesional kini - arak dan rokok.
Socrates tidak bertindak secara pengurus profesional, tetapi sepanjang kariernya sebagai pemain - dia turut sama terlibat sebagai seorang kolumnis di surat khabar, panel ekonomi dan juga subjek kegemarannya - politik; menjadikan beliau salah seorang pemain unik yang mempunyai karier bola sepak dan dalam masa yang sama, seorang ahli akademik bertauliah yang sangat dihargai masyarakat.
4. Slaven Bilic
Semasa kemuncak kariernya dalam bidang pengurusan, khasnya ketika dia berjaya memacu pasukan Croatia ke peringkat yang lebih tinggi dalam dua kejohanan iaitu Euro 2008 dan 2012 - Slaven Bilic dijulang sebagai wira negara kecil tersebut sebelum meninggalkan pasukan kebangsaan untuk kembali menguruskan kelab di Russia.
Terkenal sebagai seorang yang serba boleh, Bilic mempunyai kelulusan dalam bidang undang-undang, melayakkan beliau untuk membuka firma guaman sendiri namun bola sepak menjadi pilihannya. Anak kepada seorang profesor dan dekan fakulti undang-undang, banyak pihak mempersoalkan pilihannya itu.
Sama seperti Socrates, Bilic tidak dapat menghentikan tabiat merokoknya - sehinggakan pengurusan terpaksa memberikan dia kebenaran khas untuk merokok. Menurut beliau, tabiat merokok itu datang semasa dia perlu berjaga setiap malam di universiti - menyiapkan tugasan yang perlu dihantar.
5. Arsene Wenger
"Arsene who?" ('Siapa Arsene?') Itulah yang disebutkan apabila kelab Inggeris, Arsenal memilih untuk melantik seorang jurulatih sebuah kelab dari Jepun bernama Arsene Wenger sebagai pengurus kelab itu pada tahun 1996. Melihat kembali era kelab itu di bawah beliau, tak dapat disangkal lagi tindakan itu sangat tepat dan Wenger sendiri berjaya mengubah banyak budaya buruk atlit bola sepak di England - membawa kemodenan dan pembaharuan pada tradisi mereka.
Seorang pemain bola sepak yang kurang menyerlah, Wenger menamatkan pengajian dalam bidang ekonomi pada tahun 1974 sebelum mengambil keputusan menyertai pengurusan bola sepak sepenuhnya, menyertai kursus diploma kejurulatihan di Paris pada tahun 1981.
Selain mahir dalam bidang ekonomi, Wenger juga mempunyai kemahiran dalam pelbagai bahasa. Selain bahasa ibundanya iaitu Perancis dan bahasa Inggeris, beliau juga mahir dalam bahasa Itali, Jerman, Jepun dan Sepanyol. Selain itu, Wenger juga pernah menulis sebuah buku berkenaan falsafah bola sepak yang hanya diterbitkan di Jepun, berjudul 'ShÅsha no Spirit.'
Berikutan sumbangannya bukan sahaja dalam biudang bola sepak, malahan dalam bidang pembangunan seni linguistik - beliau menjadi penerima pertama anugerah The Guardian Language Champion, yang dikelolakan oleh The Guardian UK dan British Academy pada tahun 2013.