"Peminat lebih gemar kelab-kelab gergasi menang."
Itu adalah pandangan yang dikongsikan seorang pegawai pengelola liga perdana Inggeris satu ketika dulu, selepas Leicester City berjaya menjuarai kejuaraan liga Inggeris musim 2015-2016. Ucapannya di depan pihak penaja liga dan media menyifatkan kemenangan pasukan-pasukan kurang ternama, akan memberi kesan negatif kepada perkembangan dan jenama liga tersebut.
BESARKAN TEKS A- A+
Persoalannya - apakah kesan buruk yang boleh berlaku pada liga, disebabkan kemenangan kelab-kelab kurang ternama ini? Salah seorang yang turut sama berpendapat sedemikian rupa adalah Ramon Calderon, bekas presiden kepada kelab gergasi Real Madrid.
Bagi beliau, "bola sepak sejak dahulu hingga kini memang tradisinya begini." Walaupun Calderon seorang yang berpengalaman dalam pengurusan kelab bola sepak gergasi - maaflah, pandangannya silap. Semua statistik dan metrik menunjukkan perkembangan persaingan kelab bola sepak, semakin lama semakin menguncup.
Semuanya disebabkan oleh satu amalan yang menjadi kebiasaan kini dalam sukan bola sepak - sistem hiper-kapitalis tidak terkawal yang menyebabkan jurang antara kelab menjadi terlalu besar; hingga menyebabkan kemenangan kelab gergasi menjadi bukan lagi satu kebiasaan malahan satu kemestian.
Dominasi kelab kaya menguasai liga-liga ternama
Dalam satu dekad yang lalu saja sudah bermacam rekod yang sebelum ini dirasakan sangat sukar untuk dicapai, berjaya dilakukan kelab-kelab gergasi. Satu kelab gergasi Jerman, Englad dan Itali memenangi kesemua tiga piala dalam satu musim, sebuah kelab memenangi Liga Juara-Juara Eropah 3 kali berturut-turut, banyak kelab mencapai 100 mata dalam satu musim liga tempatan dan juara liga menang liga tanpa kalah di Itali, Portugal, Scotland dan tujuh lagi liga lain.
Dua dekad lalu, semua pencapaian ini dirasakan mustahil tetapi kini semuanya berlaku dengan skala yang konsisten, kesemuanya melibatkan kelab-kelab ternama atau kelab gergasi dalam liga tempatan Eropah.
Isu ini menjadi isu utama yang dibincangkan oleh Presiden UEFA, badan pengurusan bol sepak Eropah - Aleksander Ceferin semasa persidangan UEFA pertama tahun 2020; menyifatkan dominasi ini bakal menjadi ancaman dan risiko besar, sekiranya tidak dibendung sehingga menyebabkan berlaku polarisasi pendapatan yang tidak sekata dalam skala lebih besar.
Statistik yang dikongsikan oleh Deloitte’s Football Money League, badan yang memantau status kewangan kelab-kelab bola sepak di Eropah menyifatkan sesuatu yang sangat tidak sihat - faktor kemenangan di atas padang pada ketika ini, terlalu bergantung dengan tahap kemampuan kewangan sesebuah kelab dan bakal menjatuhkan asas pertandingan bola sepak dalam jangka masa panjang.
Bola sepak satu masa dahulu
Bagi generasi veteran yang mengikuti sukan bola sepak sejak dahulu, mereka pasti mengingati era 1980-an ketika sukan itu belum mencapai populariti yang ada sekarang. Dikuasai oleh Liverpool ketika itu, dana yang direbut kelab-kelab ketika itu masih terlalu kecil untuk menjadi faktor penentu yang besar. Kadar gaji juga lebih sekata sehinggakan ramai pemain yang dikategorikan bergaji tinggi, bermain dalam kelab bawahan liga.
Era tersebut, 13 kelab menamatkan persaingan liga merebut 4 tempat teratas di England dan 12 di Sepanyol. Pasukan seperti Aston Villa, Steaua Bucharest, PSV dan Red Star Belgrade mampu memenangi kejuaraan kelab Eropah. Bola sepak dilihat tidak menguntungkan, dikategorikan sebagai industri yang kecil jadi urusan gaji, pertukaran pemain dan pengurusan semuanya berlaku dengan lebih sekata.
Kewujudan wang akibat daripada penjualan hak penyiaran televisyen, dana penyertaan liga juara-juara Eropah dan dana daripada pemasaran mula mencipta jarak antara kelab dengan kelab, sehingga mewujudkan kelab gergasi yang tidak mampu lagi dicabar.
Jurang gaji di liga perdana Inggeris di antara kelab-kelab ternama dan bawahan meningkat daripada 2.85x kepada 4.7x. Di Sepanyol kini lebih teruk, 17.2x. Di liga kurang ternama seperti liga Switzerland, beza pendapatan pemain kelab utama dan bawahan mampu mencapai 20x perbezaan.
6 kelab gergasi LIga Perdana Inggeris pada musim lalu membayar kesemua pemain mereka 51.6% daripada jumlah keseluruhan pendapatan pemain dalam liga. Faktor ketiadaan persaingan dalam penawaran gaji pemain dikatakan menjadi punca utama mengapa wujudnya trend 'kelab gergasi vs kelab bawahan' dalam semua liga Eropah, kerana hanya kelab gergasi mampu menggajikan pemain terbaik.
Situasi inilah yang menyebabkan jurang yang wujud semakin besar dalam mana-mana liga tempatan di Eropah.
Kelab gergasi mula memecahkan rekod-rekod lama
Dalam tempoh 3 dekad, kelab yang memenangi liga berjaya memenangi liga dengan kutipan mata yang semakin bertambah, khasnya di Sepanyol, Jerman dan Perancis. Juventus musim lalu memenangi liga Itali untuk kali ke 8 berturut-turut sementara Bayern Munich di Jerman, meraikan kejuaraan ke 7 berturut-turut.
Situasi ini bukan saja berlaku dalam liga-liga besar Eropah, bahkan turut sama berlaku dalam liga negara kecil seperti Croatia, Austria, Andorra dan beberapa liga lain, di mana dominasi pasukan tertentu dibantu sepenuhnya oleh kuasa kewangan mereka sehinggakan mustahil untuk kelab-kelab ini dicabar, khasnya apabila kelab tempatan itu berjaya menyertai Liga-Liga Juara Eropah.
Walaupun England merupakan antara liga paling rendah jurang pendapatan pemain, jumlah kelab yang mampu menduduki tempat empat teratas liga juga menurun dalam tempoh 3 dekad. Pada era 1990-1999, 13 kelab berjaya menduduki empat teratas liga menunjukkan berlakunya persaingan lebih hebat berbanding era 2000-2018 di mana hanya 7 kelab menduduki empat tempat teratas.
Bagi kelab-kelab gergasi, pengaruh mereka kepada liga dan pasaran antarabangsa tidak dapat dinafikan, namun adakah ini cukup untuk membiarkan saja trend 'enam kelab gergasi' terus dikekalkan dalam setiap liga?
Detik bermulanya perubahan bola sepak
Satu ketika dulu, kelab bola sepak merupakan satu badan yang tidak bermotifkan keuntungan. Malahan, di England wujud satu undang-undang yang dinamakan 'Rule 34', yang menghalang pengerusi kelab dibayar dan hanya pemegang saham mendapat dividen. Kelab Tottenham Hotspurs pada pertengahan tahun 1983 menjadi kelab pertama menubuhkan sebuah syarikat bagi membolehkan mereka 'mengelakkan' diri daripada kekangan Rule 34.
Pengambil alihan kelab AC Milan oleh Silvio Berlusconi menjadi titik tolak campur tangan media ke dalam sukan ini. Idea Berlusconi yang mahu menggunakan syarikat media di bawahnya bagi merevolusikan sukan bola sepak Itali ke seluruh dunia mula digerakkan pada tahun 1986. Berlusconi juga antara yang mula-mula sekali mencadangkan diwujudkan liga berstatus super melibatkan kelab-kelab besar Eropah ketika itu.
Namun idea Berlusconi ditolak UEFA sebelum UEFA sendiri membangunkan konsep asal Berlusconi, memulakan liga juara-juara Eropah pada tahun 1992. Era inilah dilihat bermulanya globalisasi sukan tersebut, dengan permulaan model persembahan liga perdana Inggeris menjadi ikutan - seterusnya membolehkan penaja-penaja dan pihak media mula menabur wang ringgit untuk turut sama.
Wang yang ditawarkan menjadi tidak terkawal sehinggakan mana-mana kelab khasnya kelab besar di liga lebih kecil, akan mengutamakan penyertaan ke liga juara-juara Eropah sebagai fokus utama walaupun hanya pada peringkat kelayakan. Ini kerana dengan penyertaan itu saja, sudah memadai untuk mereka mengumpul dana bagi merancang dominasi mereka ke atas liga tempatan mereka selepas itu.
Jika rancangan itu berjaya, pasukan yang sama akan kekal menyertai liga juara-juara Eropah dan seterusnya menguasai liga saban tahun, memperbesarkan jurang yang ada antara semua kelab bertanding. Pusingan ini akan kekal berterusan walaupun ada sekali-sekala 'diganggu' oleh pencabar yang muncul satu atau dua musim.
Bagaimanapun, kebiasaannya cabaran itu sukar untuk mengekalkan momentumnya.
Kejuaraan besar kebiasaannya akan didominasi dan dimenangi oleh kelab-kelab gergasi membolehkan dana mengalir hanya di kalangan mereka, meneruskan kuasa mereka menguasai masa depan bola sepak dan hala tujunya.
Apa pula hala tuju bagi kelab-kelab lebih kecil, yang mempunyai pasaran lebih terhad serta keuntungan yang minima?
Artikel ini adalah terjemahan dan olahan semula artikel How modern football became broken beyond repair yang diterbitkan pada 16 Februari 2020.