Oleh pada 14 Feb 2020 kategori

Pemain bola sepak selalu dikaitkan dengan mereka yang tidak berpendidikan satu masa dahulu, namun tanggapan itu semakin lama dibuktikan salah - ekoran banyak kisah kejayaan pemain bola sepak meneruskan karier mereka selepas menggantung kasut bola.

Majoriti antara mereka mungkin memilih untuk meneruskan kerjaya dalam bidang kejurulatihan atau pengurusan, tidak dapat lari daripada minat mereka selama ini tetapi ada juga segelintir pemain bola sepak yang cukup berjaya dalam bidang yang tidak pernah kita sangka.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah lima pemain bola sepak yang kami rasakan sangat berjaya mengorak langkah berbeza, maju ke depan menceburkan diri dalam dunia perniagaan dan juga dunia penyelidikan - membuktikan pemain bola sepak zaman moden, bukan saja cekap di padang malahan cukup cakna dengan pengetahuan dan pendidikan.

1. Philip Lahm

lahm produk organik aldi

Bek kental pasukan Jerman dan Bayern Munich ini menggantung kasut bola pada tahun 2017, selepas melakukan penampilan bersama pasukan kebangsaan Jerman sebanyak 113 kali. Kariernya layak dikatakan sentiasa berada dipuncak, selepas dibariskan antara pemain terbaik dunia beberapa kali daripada tahun 2006 sehinggalah tahun 2014.

Semasa kariernya pada tahun 2015, Lahm telahpun menjadi pemegang saham kepada syarikat Sixtus Werke Schliersee. sebuah syarikat pengeluar barangan produk sukan seperti krim dan sabun yang menggunakan jenama Sixtus. Tamat karier, dia terus mengambil alih syarikat tersebut sebagai tuan punya - memperkembangkan lagi idea perniagaannya di bawah perniagaan Philip Lahm Holding GmbH.

philipp lahma bek jerman bayern

Pada awal tahun 2019, Philip Lahm Holding GmbH mengumumkan kejayaan mereka mengambil alih perniagaan produk organik 'Schneekoppe'. Bulan Mei tahun sama, Lahm mengumumkan produk jenama Schneekoppe kini boleh didapati di United Kingdom dan Australia, melalui kerjasama bersama gergasi pasaraya UK, ALDI.

2. Oliver Kahn

pemain bola paling berjaya selepas pencen

Penjaga gol legenda Jerman dengan wajah garang serta cukup dikenali ramai, Olver Kahn menggantung sarung tangan pada tahun 2008 selepas menjadi penjaga gawang Jerman dan Bayern Munich yang sukar ditandingi - sehingga bergelar pemain terbaik kejohanan Piala Dunia 2002.

Berikutan kemahirannya dalam menjadi penjaga gol, Kahn membangunkan jenamanya sendiri iaitu Goalplay bagi melatih generasi baru penjaga gawang dengan beberapa kaedah unik. Jenama Goalplay menawarkan siri sarung tangan berteknologi tinggi yang diyakini setanding dengan jenama-jenama profesional lain.

oliver kahn germany world cup 2002

Selain itu, Goalplay juga membangunkan akademi kejurulatihan bagi melatih lebih ramai penjaga gawang, melalui program pembangunan sukan serta aplikasi telefon pintar bagi pengguna individu. Pada bulan Julai tahun 2019, Kahn mengumumkan persetujuan dengan Ketua Menteri Wilayah Assam di India; bagi membangunkan empat akademi latihan Goalplay dalam mencungkil bakat baru di negara tersebut.

3. Gerard Pique

pique bersama pemilik rakuten

Seorang bek kental yang 100% berubah nasibnya selepas dijual kepada pasukan Barcelona, Gerard Pique turut dikenali ramai lelaki lain kerana pasangannya merupakan penyanyi terkenal antarabangsa Shakira. Walaupun telah bersama hampir 10 tahun dan dikurniakan dua anak, kedua-dua pasangan ini dilaporkan masih enggan melangsungkan perkahwinan.

Pique dikatakan mempunyai tahap kepandaian mental melebihi manusia biasa, jadi tidak menghairankan bagaimana dia menggunakan kemahirannya dalam bidang perniagaan dengan baik sekali. Dia membuka Kosmos Holding, sebuah firma media bersama rakan kongsinya Hiroshi Mikitani, pemilik syarikat gergasi dalam talian Rakuten.

gerard pique man utd barcelona

Selain itu, Pique juga memiliki kelab FC Andorra yang pada ketika ini sedang bersaing dalam divisyen B liga Sepanyol serta sebuah lagi kelab kecil yang bertapak di Barcelona, bernama Club Gimnastic Manresa. Sumbangan terbesar Pique melalui Kosmos Holding kelolaannya adalah pengenalan perubahan kepada kejohanan tenis berprestij Piala Davis (Davis Cup); menjadikan kejohanan tersebut sangat mirip dengan format kejohanan bola sepak Piala Dunia yang dianjurkan setiap empat tahun sekali.

Perubahan format itu yang dilakukan kali pertama pada tahun 2019, menyaksikan Sepanyol - negara kelahiran Pique, muncul juara dan Rafael Nadal muncul pemain terbaik kejohanan.

4. Robbie Fowler

robbie fowler property academy

Sebut tentang penyerang Liverpool berstatus legenda, akan ada beberapa nama disebut seperti Ian Rush, Michael Owen dan sudah pastilah Robbie Fowler. Nama Fowler mungkin tidak lagi disebut-sebut oleh generasi muda, tetapi pada zaman kemuncak beliau bersama Liverpool - dia bergelar antara 10 penyerang terbaik Liga Perdana Inggeris sehingga kini, berdasarkan jumlah jaringan.

Selepas menamatkan karier sebagai pemain, Fowler mula membina portfolio perniagaan disamping berkhidmat bersama media. Dia mula melabur dalam pasaran hartanah, memiliki 80 rumah sebagai aset sebelum membangunkan syarikat Robbie Fowler Sports Promotions bagi membantu pendedahan dalam sukan bola sepak.

robbie fowler era liverpool striker

Bagaimanapun kini, Fowler hanya menumpukan kepada dua kerjaya utamanya - sebagai jurulatih kepada pasukan liga Australia, Brisbane Roar dan juga pengurusan hartanah. Menerusi Robbie Fowler Property Academy, Fowler memberikan khidmat latihan dan konsultansi kepada mana-mana individu yang mahu mempelajari selok-belok pelaburan hartanah.

Menggunakan taktik yang sama bagi ramai pelatih perniagaan di negara kita, kelas pertama yang dianjurkan secara percuma dan anda hanya perlu mendaftar masuk.

5. Mathieu Flamini

granata flamini gf biochemicals

Berbeza dengan pemain-pemain lain dalam senarai ini, bekas pemain tengah kelab Arsenal dan AC Milan ini mengambil jalan yang jauh mencapahnya berbanding kerjayanya sebagai pemain bola sepak - ini kerana Mathieu Flamini memilih untuk bekerja dalam bidang biokimia, bermula secara rahsia semasa dia masih lagi aktif dalam kerjaya di padang.

Dia bersama rakannya menubuhkan GF Biochemicals pada tahun 2008, melaburkan dana bagi membantu penyelidikan terhadap kebolehgunaan asid levulinik sebagai bahan asas pembentukan bahan kimia di masa depan, khasnya dalam bidang petroliam.

mathie flamini ceburi bidang bio kimia

Pada tahun 2017, GF Biochemicals dan American Process Inc. mengumumkan kerjasama membangunkan fasiliti tapisan asid tersebut, yang merupakan fasiliti terbesar di dunia mampu menghasilkan 200,000 metrik tan bahan tersebut setahun.

Flamini juga merupakan antara individu pengasas kursus sarjana bioekonomi, hasil kerjasama GF Biochemicals dengan beberapa universiti di Itali bagi membangunkan pakar dalam bidang pengurusan ekonomi biologi, dalam melindungi masa depan bumi dengan lebih mampan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)