Setiap bulan Jun, kumpulan pelatih baru yang menyimpan hasrat untuk menjadi jurulatih bola sepak profesional dari Itali akan berkumpul di Scuola Allenatori, Coverciano yang terletak di Florence - bagi menyempurnakan langkah terakhir pendidikan mereka.
Kebiasaannya, setiap kumpulan akan diwakili berpuluh orang, biasanya datang dari kelompok pemain yang baru bersara. Setahun sebelum itu, setiap di antara mereka perlu melalui kursus dua hari seminggu untuk mendapatkan kelulusan kejurulatihan tertinggi dalam bola sepak Eropah - lesen UEFA Pro. Di Scuola Allenatori, lesen itu digelarkan Il Master.
BESARKAN TEKS A- A+
Setiap peserta tahu mereka bakal mengikut jejak langkah nama-nama besar Itali yang sudah membuktikan kejayaan di peringkat antarabangsa. Nama seperti Antonio Conte, Claudio Ranieri, Carlo Ancelotti dan Massimiliano Allegri sudah menempa nama, menjadi johan bukan saja di Itali malahan di serata dunia.
Tahukah anda, daripada kesemua pengurus bukan Britain yang berjaya memenangi Liga Perdana Inggeris - majoritinya datang dari Itali?
Legasi pengurusan legenda dunia
Sebelum benar-benar layak - setiap peserta perlu dikurung selama bulan di Scuola Allenatori di mana mereka akan diuji dalam semua aspek, bukan saja kejurulatihan bola sepak semata-mata; malahan taktikal dan komunikasi. Selain itu, semua akan berdepan panel yang akan menilai tesis yang perlu mereka siapkan, sebelum layak tiba ke situ.
Ini adalah keperluan yang tidak pernah sejak dulu sehingga kini, menjadi tradisi yang dipegang dan perlu dipatuhi semua alumni Scuola Allenatori; daripada Allegri, Ancelotti, Ranieri dan Conte sehingga kepada kumpulan lebih awal yang pernah menempa nama mereka dahulu sebagai jurulatih berjaya - Sacchi, Lippi, Trappatoni dan ramai lagi.
Berbeza dengan sekolah jurulatih lain yang terkenal seperti yang dibangunkan Johan Cruyff dari Belanda atau Marcelo Bielsa dari Argentina, Scuola Allenatori tidak meletakkan legasi atau format yang perlu diikuti setiap graduannya. Graduan di Scuola Allenatori diminta membangunkan identiti bola sepak yang ingin mereka latih, tanpa perlu takut melanggar pantang larang tradisi.
Pegangan itu menjadi corak pendidikan yang diterapkan pengarah Scuola Allenatori, Renzo Ulivieri yang tidak mahu mengehadkan apa yang sering dikatakan sebagai 'corak Itali.'
Scuola Allenatori bukanlah sebuah kilang yang akan mengeluarkan jurulatih yang membawa pandangan serta taktik serupa ke mana saja mereka berkhidmat. Semua peserta dididik untuk mengambil kira elemen pemain yang mereka ada, untuk disesuaikan dengan corak kejurulatihan dan pengurusan masing-masing.
Sekolah sukan moden dengan tradisi lama
Terdapat sebuah perpustakaan yang ditempatkan dalam Scuola Allenatori, menyimpan kesemua tesis dan hasil tulisan graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian, untuk dijadikan rujukan peserta kursus.
Pelbagai jenis kursus ditawarkan, daripada pengurusan, penganalisis video, pengarah, pengadilan dan juga pencari bakat - namun Il Master menjadi idaman semua yang hadir, kerana dianggap kelulusan tertinggi bagi mana-mana individu yang serius mahu menjadikan pengurusan bola sepak sebagai kerjaya.
Syarahan diberikan oleh Ulivieri sendiri, merangkumi taktik dan kemahiran - diadakan dalam bentuk tidak formal. Ada masanya peserta dalam kumpulan akan menonton berjam durasi rakaman kelab-kelab dari negara luar, untuk dijadikan perbincangan mana yang patut diikuti dan mana yang dihindari.
Semua peserta digalakkan untuk mengamalkan pemikiran dinamik, kerana sukan bola sepak berubah dalam jangka masa yang sangat singkat. Kebanyakan buku yang disimpan dalam perpustakaan Scuola Allenatori sudah pun dianggap, kurang sesuai dibaca ketika ini tetapi tetap disimpan sebagai bukti kualiti yang perlu mereka kecapi untuk melayakkan diri.
Jurulatih keluaran Scuola Allenatori digesa untuk tidak berpegang kepada satu corak permainan semata-mata, sebaliknya mengamalkan pendekatan untuk tidak takut melakukan perubahan setiap kali tiba masanya.
Tinggalkan identiti lama sebagai pemain
Berikutan daripada ideologi itulah, Ulivieri menyifatkan pendekatan yang diamalkan dalam menguruskan pemain Inggeris jauh berbeza dengan cara mengurus pemain dari Itali sendiri.
Pemain Inggeris menurut Ulivieri, gemar berpegang kepada tradisi - apa yang dinamakan sebagai 'cara Inggeris.' Secara taktikalnya, pemain Inggeris lebih biasa bermain secara formasi yang lebih pegun dengan identiti permainan yang serupa; berlawanan dengan apa yang mahu dipupuk di Scuola Allenatori.
Berikutan kebanyakan peserta kursus yang datang merupakan kumpulan bekas pemain yang bersara - sebelum memulakan kursus, semua pemain diingatkan agar melupakan terus semua perkara cara atau identiti permainan bola sepak yang telah mereka pelajari selama ini.
Tidak ada pemain dibenarkan untuk mengamalkan semula corak atau pengetahuan yang telah diterap semasa mereka bergelar pemain, dalam memastikan semua graduan Scuola Allenatori mampu mencorak sendiri identiti mereka dan kelab mereka - bukan hanya sekadar mengikut jejak langkah orang lain semata.
Berbeza dengan pendekatan yang diambil Hennes-Weisweiler Academy di Jerman yang mahu melahirkan pengurus yang menggalas identiti Jerman, Scuola Allenatori yang di dalamnya turut sama menempatkan muzium bola sepak kebangsaan Itali - cuba memberikan kebebasan kepada semua peserta untuk mencorakkan sendiri jalan panjang mereka.
Asalkan semua peserta sanggup meninggalkan apa yang mereka sayang tidak lama sebelum itu.
Artikel ini adalah terjemahan dan olahan semula artikel At Italy’s Coaching Academy, a Pipeline of Champions yang diterbitkan pada 11 Mei 2017.