965 hari. Itulah masa yang diperlukan untuk sebuah kelab dari Ireland ditubuhkan, berjaya layak ke pertandingan peringkat Eropah dan akhirnya dibubarkan.

Sporting Fingal ditubuhkan dengan bantuan bekas pemain liga Perdana Inggeris, Niall Quinn bersama gabungan badan kerajaan tempatan di Fingal, Ireland berjaya melakukan apa yang banyak kelab lain gagal lakukan sekelip mata.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ditubuhkan sebagai satu projek komuniti, hasrat awal Sporting Fingal adalah untuk membuka platform kepada 300,000 warga muda daerah Fingal menceburi sukan bola sepak. Kisah kelab ini kami harapkan mampu menjadi inspirasi kepada mana-mana pihak untuk berani mencuba sesuatu yang kelihatan mustahil.

Penubuhan Sporting Fingal

kesebelasan utama sporting fingal

John O'Brien merupakan salah seorang ahli Majlis Daerah Fingal. Pertemuan beliau dengan Niall Quinn membuka jalan kepada idea untuk pelaksanaan sebuah projek komuniti, bagi membangunkan minat anak muda di daerah itu.

Quinn membantu O'Brien berhubung dengan Liam Buckley, seorang bekas pemain kebangsaan Ireland yang pernah cuba membangunkan hasrat serupa. Kerjasama O'Brien dan Buckley menyiapkan kertas kerja yang diperlukan, menamakan persatuan bola sepak daerah yang bakal mereka tubuhkan sebagai Sporting Fingal.

Kelulusan Majlis Daerah Fingal diterima dan sokongan dana hartawan hartanah tempatan bernama Gerry Gannon, membantu mempercepatkan projek itu bermula.

Sporting Fingal mensasarkan penyertaan dalam liga bawahan 'A Championship' pada tahun 2008 sebagai sasaran utama yang akan membantu kepada pembukaan akademi dalam melahirkan pemain tempatan berbakat.

Bagaimanapun rezeki kelab itu cepat tiba, disebabkan oleh kegagalan sebuah kelab divisyen dua Ireland untuk terus menyertai liga.

Sporting Fingal ditawarkan tempat sebagai kelab pengganti, mempercepatkan pelancaran kelab itu pada 11 Februari 2008 dengan perlawanan pertama dalam liga ditetapkan pada 8 Mac 2008.

Berjaya menyertai UEFA Europa League

sporting fingal raikan kemenangan piala

Dibantu penyertaan ramai bekas pemain kebangsaan bawah usia 18 sehinggalah 23 tahun Ireland yang digabungkan dengan beberapa pemain dari Libya, Wales dan Latvia, prestasi Sporting Fingal dalam musim pertama mereka mantap; mereka menamatkan musim pada tempat keempat liga.

Penyerang utama mereka Robbie Doyle bekas penyerang skuad bawah 21 Ireland, mencatatkan prestasi memberangsangkan menjadi penjaring gol terbanyak divisyen. Berikutan prestasi baik itu, pengurusan Sporting Fingal mula berani mensasarkan impian lebih tinggi.

Musim kedua Sporting Fingal mencatatkan sejarah selepas menduduki tempat ketiga - melayakkan mereka ke dalam dalam pusingan kalah mati untuk mencuba nasib di Liga Premier Ireland, liga terulung negara tersebut.

Dalam musim yang sama, Sporting Fingal berjaya memenangi Piala FA Ireland melayakkan mereka untuk menyertai pusingan kelayakan pertandingan UEFA Europa League; pertandingan tahap kedua di Eropah yang pada musim itu turut disertai kelab-kelab gergasi seperti Machester City, Atletico Madrid, Sevilla, PSV Eindhoven dan banyak lagi.

Semua ini dicapai dalam tahun kedua penubuhan kelab tersebut.

Prestasi cemerlang dalam musim ketiga

pemain sporting fingal

Sporting Fingal membuka kempen musim ketiga dengan prestasi baik dalam liga sebelum perlu berhadapan dengan kelab liga Premier Portugal, Maritimo dalam usaha untuk melayakkan diri ke peringkat kumpulan UEFA Europa League.

Perlawanan di Portugal berakhir dengan keputusan 3-2 memihak kepada tuan rumah. Pusingan seterusnya yang dilangsungkan di Dublin, turut berakhir dengan skor serupa dimenangi Maritimo, mengakibatkan kekalahan 4-6 secara agregat.

europa league sporting fingal lawan maritimo

Walaupun gagal melayakkan diri ke pusingan seterusnya di peringkat Eropah, kelab menganggap pengalaman itu sebagai bonus kerana liga Ireland merupakan fokus utama mereka.

Tidak dibebankan dengan fokus di Eroppah, penampilan kali pertama Sporting Fingal dalam liga utama Ireland berakhir dengan keputusan baik selepas mereka menamatkan liga pada kedudukan ke empat, hanya ketinggalan lima mata di belakang juara liga kelab Shamrock Rovers.

Kejayaan mengejutkan Sporting Fingal itu melayakkan mereka sekali lagi untuk cuba beradu nasib melayakkan diri ke pusingan kelayakan UEFA Europa League untuk musim berikutnya.

Perlawanan liga terakhir Sporting Fingal pada tarikh 29 Oktober 2010 tamat dengan kemenangan besar 4-1 ke atas pasukan UCD. Rancangan lebih besar mula dirancang berikutan kejayaan mereka di dalam liga domestik serta peringkat Eropah, namun tiada siapa menyangka kemenang itu adalah perlawanan terakhir kelab tersebut.

Hikayat indah Sporting Fingal berakhir

juara shamrock rovers

Pada bulan Februari 2011, laporan media melaporkan Sporting Fingal telah mengambil keputusan untuk menamatkan kontrak semua pemain mereka.

Disebabkan indakan itu, lesen Sporting Fingal untuk menyertai liga yang sepatutnya bermula pada 4 Mac 2011 terpaksa ditarik balik, mengejutkan semua pihak.

Insiden itu adalah penamat kepada perjalanan kelab itu selepas beberapa bulan mereka terumbang ambing berhadapan dengan krisis kewangan, disebabkan penarikan balik tajaan utama oleh syarikat Gannon Properties milik Gerry Gannon; disebabkan oleh kejatuhan pasaran hartanah Ireland yang merudum teruk serta kontroversi rasuah melibatkan kumpulan penaja mereka.

penyokong setia sporting fingal

Usaha mengekalkan penyertaan kelab itu cuba dijalankan melalui penjualan beberapa orang pemain ke kelab lebih besar di Ireland dan Scotland, namun perjanjian gagal dicapai; menyebabkan Sporting Fingal tidak berhasil untuk mendapatkan dana bagi meneruskan aksi.

Pengumuman Sporting Fingal melepaskan semua pemain mereka menyebabkan tempat mereka dalam semua pertandingan terlupus termasuklah dalam UEFA Europa League. Kelab St. Patrick Athletic diumum akan menyertai pusingan kalah mati UEFA Europa League, bagi menggantikan Sporting Fingal.

Kelab Sporting Fingal dibubarkan secara rasmi pada tarikh yang sama mereka hilang penaja, mengakibatkan kesemua pemain sedia ada serta 3 orang pemain yang baru ditandatangani hilang pekerjaan.

Begitulah pengakhiran kelab Sporting Fingal - kelab yang berjaya memenangi piala dalam musim pertama mereka, layak menyertai UEFA Europa League pada musim kedua dan diangkat ke liga elit Ireland pada musim ketiga; sebelum semuanya berakhir secara tiba-tiba.




Hakcipta iluminasi.com (2017)