Apabila disebutkan tentang seorang pengurus bola sepak, kebiasaannya kumpulan profesional ini datang dari latar belakang bola sepak yang panjang sebagai pemain.
Ini kerana kemahiran dan pengalaman sebagai pemain membantu seseorang untuk lebih memahami susur galur perjalanan kelab bola sepak profesional, dengan lebih baik.
Bagaimanapun wujud individu-individu anomali, yang dianggap kurang sesuai sebagai pemain bola sepak profesional pada mulanya tetapi akhirnya berjaya meneroka langkah sebagai seorang pengurus yang bukan sahaja disegani, malahan mengubah sukan bola sepak dunia.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Gerard Houllier
Seorang pengurus terkenal yang mencipta nama dengan kelab Paris Saint-Germain (PSD) di Perancis dan Liverpool di England, latar belakang Houllier sebenarnya lebih kepada bidang akademik.
Dia mula bermain dalam kelab daerah semasa zaman mudanya sebelum menyertai kursus perguruan sarjana Bahasa Inggeris, yang bakal melayakkan dia menjadi seorang guru. Minatnya pada bola sepak membolehkan dia menyertai kelab amatur di Liverpool.
Tamat pengajian, Houllier bertugas sebagai pembantu pengetua di Perancis sehingga berusia 26 tahun sebelum ditawarkan menjadi pemain-pengurus kelab daerah Le Touquet.
Menyedari perjalanannya sebagai pemain terbatas, Houllier memilih untuk menumpukan kepada bidang pengurusan, sehinggalah pada tahun 1982 dia ditawarkan untuk menguruskan kelab profesional Lens atas pencapaiannya sebelum itu.
Seorang warga Perancis, Houllier terpilih mengemudi pasukan kebangsaan Perancis pada tahun 1992 sebelum dia hadir ke England, mencipta kejayaan terbesarnya bersama pasukan Liverpool selepas memenangi 3 piala iaitu Piala UEFA (kini Liga Europa), Piala FA dan Piala Liga dalam satu musim pada tahun 2001.
2. Brendan Rodgers
Rodgers merupakan antara nama yang ketika ini disebut sebagai salah seorang pengurus paling berpotensi untuk menguruskan kelab-kelab gergasi.
Berbanding dengan nama lain dalam senarai ini, Rodgers disifatkan cukup bagus untuk menyertai liga profesional sebagai pemain namun kecederaan lutut yang dialami pada usia 20 tahun menyebabkan dia perlu melupakan hasrat bermain secara pro - tanpa bermain satu perlawanan sekalipun.
Dia dijemput oleh Jose Mourinho untuk menyertai Akademi Bola Sepak Chelsea pada tahun 2004, yang memberikan dia peluang melatih pasukan simpanan kelab tersebut.
Pengalaman yang dikutip di Chelsea memberikan Rodgers keyakinan untuk naik pangkat sebagai pengemudi utama, menyertai kelab Watford sebelum namanya menyerlah membawa kelab Swanse menyertai Liga Perdana Inggeris, pada tahun 2011.
Dia mengemudi kelab Liverpool, Celtic dan kini Leicester City yang mengikatnya dengan kontrak sehingga tahun 2025, mengemudi kelab tersebut ke tempat kelima liga pada musim yang baru berakhir.
3. Roy Hodgson
Nasib Roy Hodgson dalam karier pemain bola sepak lebih baik sedikit berbanding Brendan Rodgers. Seorang pemain muda bersama kelab Crystal Palace sepanjang karier, Hodgson gagal memecah masuk kesebelasan utama dan akhirnya memilih untuk bermain dengan kelab-kelab amatur di England.
Pada usia 23 tahun, Hodgson berjaya menamatkan kursus kejurulatihan membolehkan dia memulakan karier baru sebagai pemain dan pembantu jurulatih kelab divisyen empat England, Maidstone United.
Dia meneruskan karier di Sweden, bersama kelab Halmstad pada tahun 1976. Di Sweden, Hodgson mencipta namanya selepas mengemudi kelab besar Malmo FF menjulang bermacam piala serta menyertai pertandingan peringkat Eropah dalam tempoh 4 tahun kendaliannya.
Kariernya membawa Hodgson merata-rata, dari Itali, ke Denmark, UAE dan akhirnya kembali ke England bersama pasukan Fulham bagi musim 2007, membawa kelab itu ke perlawanan akhir Europa League musim 2010.
Hodgson turut sama terpilih mengemudi pasukan kebangsaan England selama empat tahun, sebelum kembali mengemudi kelab Crystal Palace yang melahirkannya pada tahun 2016.
4. Andre Villas-Boas
Antara pelapis pengurus muda yang disegani, Villas-Boas dijulang selepas kejayaannya memacu pasukan Porto memenangi kejuaraan tiga piala pada musim pertamanya. Villas-Boas memulakan karier sebagai pembantu kepada Sir Bryan Robson, yang pada ketika itu menguruskan Porto.
Hasil galakan Robson, Villas-Boas mula menyertai kursus-kursus kejurulatihan pada usia 17 tahun dan selamat mendapat Lesen A, iaitu lesen tertinggi dalam bola sepak Eropah pada usia hanya 19 tahun.
Beliau memulakan karier sebagai pengurus kelab Academica di Portugal selama 2 tahun sebelum naik menguruskan kelab gergasi Portugal, Porto pada tahun 2010 - menamatkan kempen rekod yang sangat cemerlang dengan hanya dibolosi 13 kali.
Kejayaan itu membuka laluan kepada Villas-Boas menyertai pasukan Chelsea namun mimpi indahnya tampak kelam. Dia kekal di England bersama Tottenham Hotspurs sebelum merantau ke Russia dan China. Kini Villas-Boas menguruskan kelab Marseille di Perancis.
5. Arrigo Sacchi
Seorang jurulatih yang dikategorikan sebagai legenda bola sepak, nama Arrigo Sacchi sudah sinonim dengan pengurusan bola sepak zaman moden selepas dia mengetuai barisan kelab AC Milan yang mendominasi liga Itali dan Eropah, serta pasukan kebangsaan Itali.
Sacchi bukan saja tidak pernah bermain secara profesional malahan tidak layak bermain dengan kelab amatur yang disertainya, Baracca Lugo. Bagaimanapun kelab tersebut bertindak berani menamakan beliau sebagai jurulatih dan karier kejurulatihan beliau bermula.
Pada tahun 1983, kelab profesional Itali, Fiorentina menamakan beliau sebagai jurulatih pasukan muda kelab tersebut sehinggalah dia dinamakan sebagai pengurus pasukan Parma pada tahun 1985.
Di Parma, sentuhan Sacchi berjaya membawa pasukan itu dari Serie C ke Seria A liga Itali. Kejayaannya itu membawa dia ke kelab gergasi AC Milan.
Pada awalnya dia berhadapan dengan kumpulan pemain yang enggan menerima 'orang luar' bola sepak menguruskan mereka, tetapi kehadiran tiga tonggak Belanda iaitu Marco Van Basten, Ruud Gullit dan Frank Rijkaard, serta gabungan Roberto Donadoni, Franco Baresi dan Paolo Maldini menjadikan AC Milan cukup digeruni ketika era tersebut.