Oleh pada 05 Apr 2023 kategori

Duduk di negara yang majoritinya terdiri daripada golongan Muslim, membolehkan tatacara perjalanan kalendar sukan negara diselia mengikut kedatangan amalan ibadah tersebut dalam kalendar Islam.

Kita di Malaysia menyaksikan waktu sepak mula liga kita dilambatkan, bagi membolehkan pemain berbuka puasa serta menjalankan ibadah sebelum perlawanan berlangsung. Latihan yang biasanya dijadualkan pada siang hari, juga dianjakkan ke malam memberikan pemain kelonggaran.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun, di negara bukan bermajoriti Islam, pemain-pemain beragama Islam tetap perlu mengharungi sesi latihan dan perlawanan mengikut waktu yang telah ditetapkan serentak dengan tempoh mereka menjalankan ibadah puasa. 

Adakah pemain bola sepak profesional diberikan kelonggaran tidak berpuasa, sekiranya kerjaya mereka memerlukan mereka berada pada tahap 100% fizikal setiap masa?

Pandangan berbeza berkenaan ibadah dan kerjaya

orang islam bermain bola

Persoalan utama sering diajukan dalam topik sebegini - manakah yang harus dijadikan keutamaan atlet atau pemain; ibadah puasa atau kerjaya? 

Rata-rata pandangan yang dikeluarkan mempunyai pelbagai perspektif berbeza.

Ketua jurulatih Perak FC, Lim Teong Kim berpendapat sebagai seorang pemain bola sepak profesional, pemain haruslah akur dan menyesuaikan diri dengan apa saja perubahan jadual yang diperkenalkan. 

Di negara kita tidak timbul isu percanggahan jadual di antara ibadah Ramadan dengan sesi latihan, kerana jadual liga kita membenarkan sepak mula lebih lewat selepas berbuka puasa. 

Liga kita tidak berdepan isu besar kerana jadual kita mudah disesuaikan dengan jadual liga.

Bagaimanapun isu pertembungan puasa dan latihan serta perlawanan memang menimpa pemain yang bermain di Eropah, kerana di sana perlawanan biasanya dilangsungkan pada waktu tengahari dan petang.

Fatwa-fatwa yang berbeza pandangan

perlawanan bola untuk umat islam

Daripada aspek Islam, hanya ada 3 saja golongan yang dibenarkan tidak berpuasa - wanita yang dalam haid atau nifas, individu yang sakit dan individu musafir menempuh perjalanan melebihi 82 kilometer jumlah jaraknya.

Oleh kerana wujud ketetapan ini, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyifatkan pemain masih wajib menjalani ibadah puasa tanpa ada keringanan diberikan, kecuali pemain yang sedang dalam musafir.

Badan jawatankuasa fatwa Mesir Dar al-Ifta pula melihat isu ini daripada sudut berbeza.

Pemain harus dianggap sebagai pekerja yang tidak boleh culas, bagi mendapatkan pendapatan. Sekiranya arahan atau ketetapan majikan memerlukan mereka bekerja ketika berpuasa dan dengan berpuasa mengakibatkan prestasi mereka terjejas, pemain diberikan keringanan untuk tidak berpuasa.

Pendapat ini seiring dengan pandangan yang dikeluarkan Mufti Mesir, Mufti Shawki Allam melalui fatwa tahun 2018, membenarkan pasukan bola sepak Mesir untuk memilih tidak berpuasa semasa temasya Piala Dunia 2018 di Russia, yang berlangsung pada penghujung bulan Ramadan.

Kedua-dua fatwa ini bagaimanapun tidak dipersetujui bekas pengerusi majlis fatwa Universiti al-Azhar, Sheikh Abdel Hamid al-Atrash yang melihat ibadah harus kekal ibadah.

Sukan walaupun perlu dilakukan sebagai kerjaya, dianggap bukan satu perkara wajib dituruti. Apatah lagi kerjaya sukan yang dimainkan pula lebih mirip sebuah hiburan, sama sekali tidak ada berkait konteks dalam menyebar atau memperkembangkan agama.

Perubahan kecil memudahkan pemain yang berpuasa

islam dan bola

Walaupun polemik dan perdebatan berkenaan isu ini terus didebatkan, beberapa perubahan kecil telahpun berlaku yang membantu meringankan beban pemain Muslim di Eropah yang perlu beraksi dalam bulan Ramadan.

Liga Jerman dan England telahpun memperkenalkan tempoh berhenti semasa perlawanan yang ditetapkan pengadil, bagi membolehkan pemain beragama Islam yang masih berpuasa berbuka sekiranya waktu berbuka jatuh ketika permainan berlangsung.

Kaedah ini biasanya akan dibuat, sekiranya pengadil telah diberitahu terlebih dahulu berkenaan penglibatan pemain Muslim.

Sekiranya waktu berbuka tiba dan perlawanan dapat dihentikan dengan lancar, pemain beragama Islam dibenarkan makan dan minum buat seketika sebelum perlawanan dimulakan kembali.

Apa yang dijamah hanyalah gel tenaga, air dan mungkin buah kurma. 

England dan Jerman bijak tangani isu

pemain bola islam sujud di padang bola

Penangguhan permainan untuk berbuka ini dimulakan kali pertama di England pada tahun 2021, semasa perlawanan di antara Leicester City melawan Crystal Palace membabitkan seorang pemain Muslim dari setiap pasukan.

Liga Jerman pula menyaksikan sistem serupa di amal kali pertama dalam perlawanan di antara Mainz dengan Augsburg pada 12 April tahun 2022.

Walaupun demikian, sistem sama tidak digunapakai di liga Perancis.

Ini disebabkan badan penganjuran liga Perancis, FFF melarang mana-mana pengadil daripada memberhentikan perlawanan semasa tiba waktu Maghrib walaupun sudah diketahui di Perancis, ramai pemain Muslim bermain di sana.

FFF memegang perspektif berbeza, melihat agama sebagai faktor yang tidak sepatutnya diambilkira sebagai aspek yang mempengaruhi perjalanan liga selain politik dan ekonomi.

Oleh kerana itulah jika dibandingkan dengan liga lain di Eropah, Perancis tegas dalam isu ini.

FFF sendiri tidak segan menggunakan kuasanya, mengeluarkan cadangan/arahan lembut kepada semua pemain beragama Islam dalam pasukan kebangsaan Perancis untuk tidak berpuasa selama 5 hari, bagi memastikan keadaan fizikal mereka berada pada tahap terbaik.

Dalam erti kata lain, jika anda pemain Muslim bermain di Perancis, saranan FFF menjadi ibarat fatwa yang perlu anda diikuti jika anda nak karier yang cemerlang bersama mereka.




Hakcipta iluminasi.com (2017)