Oleh pada 23 Feb 2022 kategori

Sebelum dan ketika Eropah menjajah Afrika, terdapat kerajaan dan empayar purba yang telah berkembang maju berabad-abad lamanya di benua itu.

Apa yang lebih mengagumkan, ada empayar dan kerajaan di Afrika ini diketuai oleh pahlawan wanita menentang pencerobohan kuasa Eropah demi mempertahankan rakyat daripada penaklukan dan perhambaan.

Walaupun menjadi tokoh besar di benua Afrika, kisah pahlawan-pahlawan wanita ini sering diabaikan. Berikut adalah lima pahlawan wanita yang mengetuai kerajaan dan empayar di Afrika.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Ratu Kandake Amanirenas (60 SM-10 SM)

ratu amanirenas

Ratu Kandake Amanirenas memerintah Kerajaan Kush dari 40 SM hingga 10 SM di rantau Nubian yang kini dikenali sebagai Sudan. Apabila mahajara Rom iaitu Augustus menakluki Mesir pada 30 SM, dia merancang untuk menyerang Kerajaan Kush yang terletak bersebelahan.

Namun, Maharaja Augustus dikejutkan dengan serangan mengejut Ratu Amanirenas ke atas tentera Rom. Dengan mengetuai 30,000 orang tentera, Ratu Amanirenas berjaya menawan tiga bandar yang dikuasai Rom.

Malangnya, Rom bertindak balas dan menyerang ibu kota Kerajaan Kush dan menjadikan ribuan rakyat Kush sebagai hamba. Selama bertahun-tahun, pertempuran sengit mengorbankan banyak nyawa di kedua-dua pihak sebelum mereka berunding untuk menamatkan perang pada tahun 24 SM.

Tidak seperti kebanyakan kerajaan jirannya, Ratu Amanirenas tidak pernah menyerah kalah atau membayar cukai kepada Rom. Dia dikenali di seluruh Lembah Nil sebagai Ratu Nubia yang mengalahkan tentera Rom.

2. Ratu Nzinga Mbande (1583-1663)

nzinga mbande

Seorang ahli politik dan strategi ketenteraan yang mahir, Ratu Nzinga Mbande adalah pemerintah orang Mbundu di jajahan yang kini dikenali sebagai negara Angola.

Ketika permintaan untuk hamba abdi semakin meningkat, Portugis telah menubuhkan sebuah koloni berhampiran Mbundu untuk memperluaskan pemerdagangan hamba mereka. Sebelum menggantikan abangnya sebagai Ratu, Nzinga telah membuat perundingan damai dengan Portugis.

Nzinga bersetuju membantu Portugal menyerang puak musuh dan menjadikan mereka sebagai hamba selagi penjajah itu tidak mengganggu puak Mbundu. Apabila Nzinga menjadi Ratu pada tahun 1626, Portugis melanggar perjanjian itu.

Ratu Nzinga kemudian membentuk pakatan dengan Belanda yang merupakan musuh Portugis dalam perdagangan hamba. Melalui pakatan itu, Nzinga berjaya mematahkan serangan Portugis selama beberapa dekad. Dia sendiri mengetuai tenteranya walaupun ketika sudah berusia 60-an.

3. Ratu Nanny (1685-1750)

queen nanny

Ratu Nanny adalah ketua Jamaican Maroons iaitu sebuah komuniti Afrika yang pernah menjadi hamba dan berjuang menentang British untuk kebebasan mereka.

Ketika kecil, Nanny diculik dari Ghana dan dijadikan hamba di Jamaica. Dia kemudian melarikan diri dan menyertai pelarian hamba yang berlindung di wilayah Gunung Biru di Jamaica. Pada tahun 1720, Nanny dilantik menjadi ketua penempatan Maroon kerana kepimpinan dan kemahian ketenteraannya yang luar biasa.

Dia mula melatih para pengikutnya dalam peperangan gerila. Ratu Nanny berjaya memimpin puak Maroon dalam beberapa pertempuran dan membebaskan lebih daripada 800 orang hamba abdi. Kebijaksanaannya membolehkan Maroon mengalahkan tentera British yang lengkap dengan senjata berat.

Menjelang tahun 1740, pihak British terpaksa menandatangani perjanjian damai dengan puak Maroon dan menjanjikan pembebasan mereka. Pada tahun 1975, Kerajaan Jamaica mengisytiharkan Ratu Nanny sebagai Wirawati Negara dan potretnya disematkan pada wang kertas $500 dolar Jamaica.

4. Dahomey Amazon (1600an-1890an)

dahomey amazon 772

Dinamakan sempena bangsa pahlawan wanita dalam mitologi Yunani, Dahomey Amazon adalah rejimen tentera wanita dalam Kerajaan Dahomey yang kini dikenali sebagai negara Benin.

Dipercayai ditubuhkan pada pertengahan tahun 1600-an, mereka terkenal kerana keberanian di medan tempur. Rejimen ini juga mempunyai pengaruh sosio-politik yang besar dalam Kerajaan Dahomey.

Mereka pernah bekerjasama dengan penjajah Eropah dengan menjual musuh yang ditangkap sebagai pertukaran kepada senjata dan barangan lain.

Ketika Perancis menyerang Dahomey pada 1892, rejimen Dahomey Amazon yang ketika itu dilaporkan berjumlah sehingga 6,000 anggota telah memberi tentangan hebat. Tentera Perancis menggambarkan rejimen itu mempunyai keberanian yang luar biasa.

Malangnya, setelah bertahun-tahun bertempur dengan tentera Perancis yang dilengkapi senjata api, sebahagian besar rejimen ini telah terkorban. Namun, keberanian mereka diingati sebagai salah satu sejarah penting benua Afrika.

5. Ratu Yaa Asantewaa (1840-1921)

yaa asantewaa

Yaa Asantewaa ialah ratu Empayar Ashanti atau Asante yang makmur suatu ketika dahulu dan kini dikenali sebagai negara Ghana. Sebagai Ratu, dia adalah pelindung rasmi objek paling suci empayar itu iaitu Bangku Emas.

Bangku Emas diperbuat daripada emas padu dan dipercayai menempatkan roh diraja empayar itu. Apabila British menyerang Empayar Ashanti pada 1886, mereka mahu merampas Bangku Emas tetapi ditentang Ratu Yaa Asantewaa.

Selama berbulan-bulan lamanya, tentera yang dipimpin Asantewaa mengepung dan menyerang tentera penjajah British yang hampir lumpuh. Apabila British menghantar ribuan tentera dan senjata tambahan, barulah mereka dapat mengalahkan Asantewaa.

Yaa Asantewaa berjuang bersama-sama rakyatnya ke saat akhir sehinggalah dia ditangkap dan dibuang negeri ke Seychelles (ketika itu di bawah jajahan British) berhampiran Laut Somalia. Asantewaa akhirnya meninggal dunia pada 1921 dan diingati sebagai seorang ratu pahlawan yang terkenal dalam sejarah benua Afrika.




Hakcipta iluminasi.com (2017)