Menjadi pemimpin merupakan satu tanggungjawab berat yang perlu dipikul.
Khasnya beberapa abad terdahulu ketika kempen penaklukan, konfrontasi terbuka dan perang merupakan kaedah peluasan wilayah yang diguna secara terbuka.
Berbeza dengan zaman sekarang di mana urusan diplomatik menjadi kaedah utama perbincangan di antara wakil dua negara atau kerajaan, satu masa dahulu ugutan keras dan ancaman perang terbuka pernah popular sebagai amalan kuasa-kuasa dunia.
BESARKAN TEKS A- A+
Di antara bekas kuasa dunia, empayar Mongol terkenal dengan taktik diplomasi ugutan mereka.
Salah satu kisah paling popular adalah bagaimana kerajaan Mongol menghantar utusan ke empayar Abbasiyah di Baghdad - bagi mengugut pemerintah pusat kepada kerajaan Islam terkuat dunia satu masa dulu.
Ekspedisi penjajahan Mongol 1253
Empayar Mongol memulakan misi untuk menguasai dan menjatuhkan kerajaan-kerajaan Islam yang ada, selepas Mongke Khan naik sebagai ketua kerajaan Mongol pada tahun 1251.
Mongke meletakkan sasaran penaklukan kerajaan Nizari di Iran, kerajaan Ayyub di Damascus, Syria, kerajaan Mamluk di Mesir dan paling utama Empayar Abbasiyah di Baghdad sebagai matlamat utama, dalam memastikan misi menguasai keseluruhan dunia terhasil.
Bagi mengepalai misi besar ini, Mongke Khan melantik adiknya Hulagu Khan sebagai pemimpin paling kanan; memberikan mandat penuh kepada Hulagu untuk bertindak.
Arahan Mongke membenarkan seandainya kerajaan-kerajaan Islam ini menyerah kalah, Hulagu harus membenarkan kerajaan sedia ada terus memegang kuasa dan Mongol bertindak pemerintah tertinggi kerajaan tersebut.
Sekiranya kerajaan-kerajaan Islam itu melawan, Hulagu diberi kuasa mutlak bertindak sewenang-wenangnya berdasarkan apa saja tindakan yang dirasakan sesuai dengan sokongan jumlah tentera terbesar pernah dikerahkan empayar Mongol.
Dua kerajaan Islam lebih kecil iaitu masyarakat Lur di Iran habis diserang sementara kerajaan Nizari pula memilih untuk menyerah diri pada tahun 1256.
Penaklukan dua kerajaan ini membolehkan Hulagu Khan menubuhkan kerajaan Ilkhanat Mongol, dengan pusat kerajaan terletak di Azerbaijan sekarang.
Hulagu Khan mara ke Baghdad bermula November 1257
Untuk mengelakkan perang besar berlaku serta kekal bertindak berdasarkan mandat yang diberikan Mongke Khan, Hulagu menghantar utusan bagi bertemu Abu Ahmad Abdullah Al-Musta'sim, pemerintah empayar Abbasiyah bergelar Khalifah di Baghdad ketika itu sebanyak dua kali.
Kali pertama semasa penaklukan kerajaan Nizari yang dikuasai masyarakat Syiah, bila Hulagu Khan meminta Al-Musta'sim turun membantu dengan tentera, sebagai petanda kedua-dua kuasa dunia itu boleh bekerjasama.
Namun pemerintah Baghdad memandang rendah ancaman tentera Mongol, menyebabkan Al-Musta'sim memilih untuk tidak menuruti 'permintaan' itu - merasa yakin dengan kemampuan tentera sendiri melindungi pusat kerajaan mereka.
Al-Musta'sim juga percaya kerajaan-kerajaan Islam yang lain, khasnya kerajaan Mamluk yang pada ketika itu merupakan kerajaan terkuat pasti akan hadir menghantar bantuan sekiranya Baghdad diserang Mongol.
Hulagu Khan melihat tindakan Al-Musta'sim ini sebagai petunjuk awal Baghdad tidak akan menyerah kalah, jadi Hulagu menulis surat kedua sebagai amaran kepada Al-Musta'sim dan empayar Abbasiyah, dihantar empat utusan rasmi mereka menggariskan permintaan agar perang Mongol-Abbasiyah dapat dielakkan.
Surat indah berisi ugutan dihantar ke Baghdad
Dalam setiap misi Hulagu Khan, setiap ketua kerajaan yang bakal diserang akan diserahkan surat amaran terlebih dahulu.
Ditulis dalam bahasa Uighur lama menggunakan kaedah yang diubahsuai Mongol, setiap surat Hulagu ditulis menggunakan bahasa indah tetapi nadanya jelas menyeramkan.
Untuk Saif ad-Din al-Qutuz, sultan kepada kerajaan Mamluk - Hulagu secara terbuka menggunakan ancaman yang menakutkan.
"Fikirkan apa yang telah berlaku kepada kerajaan (Islam) lain dan menyerah. Kami yakin anda telah mendengar apa yang telah berlaku kepada semua kerajaan yang diserang kami. Jajahan kami semakin berkembang. Musuh kami telah kami bunuh."
"Ke mana lagi kalian boleh melarikan diri? Kuda kami pantas, panah kami tepat, pedang kami ibarat guruh. Kubu kalian mustahil dapat melindungi kalian. Doa kalian kepada Tuhan kalian tidak berkesan kepada kami. Tiada simpati kepada mereka yang tidak tunduk, hanya mereka yang menyerah akan terselamat."
Dalam surat kepada Al-Musta'sim pula, Hulagu menggunakan teks yang lebih berbentuk diplomasi bunyinya namun ancamannya tetap ada.
"Ketika kami memohon bantuan Abbasiyah bagi menakluki kumpulan mereka yang sesat, kamu menyatakan persetujuan namun tidak menghantarkan bantuan. Terlalu banyak alasan kalian berikan kepada kami."
"Kami yakin kalian pasti sudah mendengar kisah penaklukan kami. Bagaimana kerajaan Khwarazmi, Seljuk, Dailam dan Atabak tunduk atau dimusnahkan kami. Ini nasihat kami - menyerahlah dengan segera. Kita mulakan buku baru. Datang menghadap kami dan wakilkan anakmu sebagai pengganti sementara. Jika enggan, hantar saja 3 menteri kamu kepada kami; agar mesej kami jelas didengari kalian."
"Hanya dengan memenuhi perintah ini barulah kesengsaraan ke atas tanah, tentera dan rakyat kamu dapat dielakkan. Jika kalian enggan, persiapkanlah tenteramu dan tetapkanlah di mana kita akan bertempur. Pada ketika itu, menyorok di bumi atau di syurga kalian pun sudah tidak ada lagi gunanya."
"Apa yang berlaku selepas itu, adalah ketentuan Tuhan kamu yang perlu kalian saksikan sendiri."
Jika anda ketua kepada sebuah kerajaan, apa yang akan anda lakukan sekiranya surat sedemikian rupa dihantarkan kepada anda?
Penaklukan kota Baghdad dan tamatnya zaman kegemilangan Islam
Seperti yang kami sudah nyatakan di atas, Al-Musta'sim serta penasihat kerajaan baginda memandang rendah ancaman yang dikeluarkan Hulagu Khan.
Mesej balas yang diterima Hulagu mencerminkan keyakinan Al-Musta'sim dalam mempertahankan kedudukan Baghdad. Apatah lagi dalam sejarah peperangan kedua-dua kerajaan, Mongol seringkali gagal dalam pencerobohan mereka.
Selepas perbincangan antara Hulegu Khan dan Mongke Khan meneliti reaksi Al-Musta'sim yang enggan tunduk kepada permintaan Mongol, Mongke membenarkan Hulegu memulakan serangan ke atas Baghdad.
Angkatan perang Mongol hadir ke Baghdad sekitar tarikh 11 Januari 1258, mengepung dua kawasan strategik melibatkan Sungai Tigris. Bimbang dengan ancaman tersebut, Al-Musta'sim mengarahkan 20,000 askar untuk keluar dari kota Baghdad menyerang terus Hulagu Khan.
Serangan itu mudah dipatahkan tentera Mongol. Selepas lebih 2 minggu menanti detik sesuai, barulah Hulagu Khan memulakan serangan ke atas Baghdad pada 29 Januari 1258.
Kejayaan Mongol memecah masuk benteng pertahanan Baghdad pada 5 Februari memaksa Al-Musta'sim untuk cuba berunding dengan Hulagu; namun semuanya sudah terlewat. Tanggal 10 Februari, Al-Musta'sim melakukan pengisytiharan tewas bersama 300 orang pemimpin kanan baginda dan menyerah diri.
3 hari kemudian tentera Mongol mula masuk, meroboh, membakar dan membunuh sesiapa saja yang mereka hajati - menepati isi surat yang telah mereka utus. Baghdad kota era kegemilangan Islam musnah diruntuh dan dibakar - sehingga kini masih belum benar-benar pulih.
Kisah bagaimana Al-Musta'sim dibunuh pula berbeza-beza.
Ada pendapat mengatakan Hulagu mengarahkan Al-Musta'sim dibawa ke sebuah kampung di Baghdad untuk dibunuh. Ada juga yang mengatakan Hulagu mengarahkan Al-Musta'sim dikurung dan dibiarkan mati kelaparan. Satu lagi pendapat menyebut Al-Musta'sim digulungkan ke dalam permaidani, dibiarkan dipijak kuda-kuda tunggangan tentera Mongol.
Kejatuhan empayar Abbasiyah ekoran kematian Al-Musta'sim dilihat sebagai petanda berakhirnya era kegemilangan Islam, selepas kejatuhan pusatnya di Baghdad.
Bagaimanapun kejatuhan Baghdad turut dilihat sebagai bermulanya era di mana Islam sebagai agama tidak lagi berpaut kepada sebuah kerajaan atau kuasa besar, membolehkan penyebarannya berlaku secara organik tanpa memerlukan pengaruh atau campur tangan seorang Khalifah sebagai ketua yang dipertanggungjawabkan menentukan hala tuju perkembangan Islam.
Empayar Mongol terus berkembang sehingga menjadi empayar kedua terbesar pernah wujud dalam sejarah dunia, sehinggalah kejatuhan mereka pada tahun 1502.
Tidak diketahui berapakah jumlah tepat surat-surat ugutan pernah ditulis pemerintah Mongol kepada ketua-ketua kerajaan lain. Jika anda berada di tempat Al-Musta'sim semasa menerima utusan Mongol, apa yang akan anda lakukan?
Menyerah kalah dan tunduk sebagai salah satu kerajaan naungan Mongol atau tegas seperti Al-Musta'sim dan menyaksikan sendiri masyarakat yang ketika itu cukup gemilang, habis dipijak-pijak kuda tunggan orang?