Oleh pada 27 Oct 2019 kategori

Lakaran Ratu Mandukhai Khatun dan Ratu Nzinga Mbande

Pada masa lalu, wanita juga memainkan peranan penting dalam sejarah dunia. Ada antara mereka merupakan pemerintah yang disegani dan ada tidak kurang juga wanita yang merupakan pahlawan digeruni.

Sebenarnya, sejarah dunia juga menyaksikan beberapa orang wanita hebat yang merupakan pemerintah dan juga pahlawan pada masa yang sama. Selain mempunyai kedudukan tinggi dan kuasa, mereka juga mahir di medan tempur. Berikut adalah senarai ratu yang merupakan pahlawan hebat dalam sejarah.

BESARKAN TEKS     A-  A+

10. Ratu Yennenga - Empayar Mossi

ratu yennenga

Semasa kurun ke-12, terdapat Kerajaan Dagomba di Utara Ghana yang dipimpin oleh Raja Nedega. Raja itu mempunyai seorang puteri bernama Yennega. Puteri raja itu telah diajar oleh bapanya untuk mahir dalam menggunakan tombak, panah dan menunggang kuda.

Kehebatan Yennenga menyerlah ketika berusia 14 tahun apabila dia menemani bapanya berperang dengan kaum Malinke. Yennenga juga terlibat dalam perang itu dan dia memerintah batalionnya sendiri.

Apabila menjelang dewasa, Raja Nedega menolak perkahwinan Puteri Yennenga kerana tidak bersedia untuk kehilangan anak tercinta dan pejuang terhebatnya. Ini menjadikan hubungan antara kedua-dua anak beranak itu menjadi tegang.

Puteri Yennenga akhirnya melarikan diri dan akhirnya berkahwin dengan seorang pemburu gajah. Melalui perkahwinan itu mereka memperolehi seorang anak lelaki bernama Ouedraogo dan dari situlah lahirnya Empayar Mossi yang kini dikenali sebagai Burkina Faso. (sumber)

9. Ratu Arachidamia - Sparta

arachidamia

Arachidamia merupakan ratu pada abad ke-3 SM yang berkahwin dengan Raja Eudamidas I dari Sparta. Dia aktif dalam politik dan peristiwa penting kerajaan Sparta. Ratu Arachidamia terkenal kerana mempertahankan Sparta daripada serangan Pyrrhus yang datang bersama 27,000 tentera dan 24 ekor gajah melawan 2,000 tentera Sparta.

Ratu Arachidamia memberikan arahan kepada kaum wanita untuk menggali parit bagi menjadi penghalang kemaraan tentera Pyrrhus. Mereka juga menyediakan makanan, air, senjata dan merawat tentera Sparta yang cedera.

Akhirnya, pengepungan yang dilakukan Pyrrhus itu gagal. Pertempuran yang sepatutnya mudah itu menjadi begitu sukar dan memaksa Pyrrhus untuk berdamai tetapi sudah terlambat apabila bantuan Sparta tiba dari Pulau Crete. Ini memaksa Pyrrhus untuk berundur.

Pertempuran yang di namakan Pengepungan Lacedaemon ini menjadi bukti Ratu Arachidamia dan kaum wanita Sparta berjaya mempertahankan jajahan mereka dan diingati dalam sejarah. (sumber)

8. Ratu Mandukhai Khatun - Empayar Mongol

mandukhai khatun

Ketika berusia 18 tahun, dia telah bernikah dengan Raja Mongol yang bernama Manduul Khan. Malangnya, Manduul Khan telah dibunuh oleh penasihatnya pada tahun 1479. Memandangkan Manduul Khan tidak mempunyai pewaris lelaki, perebutan kuasa mula berlaku.

Ratu Mandukhai Khatun kemudian mengambil seorang anak angkat berusia 7 tahun bernama Batmunkh yang merupakan keturunan Gengis Khan dan menggelarnya sebagai Dayan Khan (Raja Mongol). Ketika itu, empayar itu berpecah kepada beberapa suku berbeza.

Ratu kemudian mengisytiharkan perang terhadap kaum Oirat di Mongolia Barat dan menggunakan kuasanya untuk menyatukan Mongolia. Apabila Dayan Khan berumur 19 tahun, Ratu Mandukhai telah mengahwininya. Pasangan diraja itu cuba untuk menawan Dinasti Ming di China. Walaupun Dinasti Ming cuba untuk meluaskan Tembok Besar China, kaum Mongol berjaya menawan beberapa wilayah yang dikuasai mereka.

Ketika Ratu mengandungkan anak kembar, kaum Oirat kembali memberontak. Ratu Mandukhai dikatakan telah turun dan bertempur sendiri sehingga melahirkan anak kembarnya di medan perang. Keberanian Ratu Mandukhai menjadi legenda dan anak-anaknya kemudian meneruskan legasi itu dengan menjadi pemerintah Mongol yang disegani. (sumber)

7. Ratu Mavia - Tanah Arab

ratu mavia

Ratu Mavia telah berkahwin dengan Al-Hawari yang merupakan raja kaum Saracen (bangsa Arab, Turki dan lain-lain) yang mendiami Syria dan Jordan pada kurun ke-4 Masihi. Apabila Raja meninggal dunia, dia tidak mempunyai waris lelaki dan Ratu Mavia telah mengambil alih tempatnya.

Ketika itu, Empayar Rom sedang berperang melawan kaum Goth. Mereka meminta agar kaum Saracen menyertai mereka dalam peperangan itu tetapi Ratu Mavia tidak bersetuju. Ini bermakna mereka memberontak terhadap Empayar Rom. Ratu telah memindahkan rakyatnya dari Aleppo ke padang pasir supaya tentera Rom sukar untuk menyerang.

Ratu akhirnya berperang dengan Rom menggunakan taktik gerila dan berjaya menawan Phoenicia (Lubnan) dan Palestin. Maharaja Valens yang memerintah Rom ketika itu menghantar lebih banyak tentera untuk menentang Ratu Mavia tetapi tidak berjaya.

Ratu Mavia akhirnya berjaya mempertahankan jajahannya dengan memaksa Empayar Rom membuat perjanjian damai dan tidak lagi mengganggu mereka. (sumber)

6. Ratu Artemisia I - Caria (Turki)

artemisia i

Artemisia I adalah ratu kepada sebuah bandar yang dikenali sebagai Halicarnassus (kini Turki) pada abad ke-6 SM yang bersekutu dengan Parsi. Ratu Artemisia berkuasa apabila suaminya mati dan anaknya, Pisindelis, terlalu muda untuk memerintah.

Selain ratu, Artemisia juga seorang pahlawan dan komander angkatan laut yang berani. Apabila Raja Xerxes dari Parsi cuba menakluk Yunani, dia meminta Artemisia untuk menyertainya dan menjadi komander wanita pertama Angkatan Tentera Laut Parsi.

Dia merupakan ancaman besar sehingga orang-orang Yunani menawarkan 10,000 drachma kepada sesiapa berjaya membunuh Artemisia. Ratu Artemisia I menjadi pemerintah dan pahlawan selama 24 tahun sebelum anaknya, Pisindelis, mengambil alih takhta apabila ibunya meninggal dunia. (sumber)

5. Ratu Lakshmibai - Jhansi, India

rani lakshmibai

Dilahirkan sebagai Manikarnika Tambe pada 1828, gadis ini telah dilatih oleh bapanya sejak kecil untuk mahir dalam memanah, bermain pedang dan menunggang kuda. Pada tahun 1842, dia berkahwin dengan Maharaja Jhansi dan menjadi dikenali sebagai Rani Lakshmibai (Ratu Lakshmibai) sempena tuhan Hindu Lakshmi.

Suaminya, Raja Gangadhar Newalkar meninggal dunia pada 1853 ketika Syarikat India Timur British dalam usaha mengawal semua kerajaan di India. Pada mulanya, Ratu Jhansi ini tidak mahu berperang dengan British dan hanya mahukan keamanan untuk jajahannya sahaja. Namun, apabila British dan sekutu-sekutunya menyerang Jhansi, Rani Laskhmibai berjaya mematahkan serangan mereka pada 1957.

Kemudian British kembali menyerang dan berjaya menakluk Jhansi pada tahun berikutnya. Rani Lakshmibai melarikan diri Gwalior dan membentuk satu pasukan pemberontak melawan British. Apabila cedera dan tidak sanggup ditawan musuh, Rani memerintahkan seorang sami untuk membakar tubuhnya pada 17 Jun 1858.

Ratu itu menjadi simbol penentangan kuasa asing di India. Kini, banyak patung-patungnya didirikan di sekolah dan pusat latihan tentera wanita India juga dinamakan sempena namanya. (sumber)

4. Ratu Yaa Asantewaa - Empayar Ashanti

yaa asantewaa

Ratu Yaa Asantewaa mula berkuasa apabila abangnya meninggal dunia pada tahun 1894. Dalam kerajaan Ashanti (kini Ghana) terdapat satu kerusi khas yang dinamakan Kerusi Emas yang menjadi simbol kepada kekuasaan kerajaan itu dan digunakan dalam upacara pemilihan pemerintah baru.

Kerusi Emas begitu dihormati sehingga ia tidak digunakan untuk duduk dan tidak mencecah tanah. Apabila seorang pegawai British, Sir Frederick Mitchell Hodgson menuntut untuk duduk di atas Kerusi Emas, ia merupakan penghinaan besar bagi kerajaan itu.

Ratu Yaa Asantewaa kemudian mengetuai pasukan tenteranya menyerang pangkalan British di Kubu Kumasi dalam perang yang dikenali sebagai Perang Kerusi Emas. Namun, Ratu Yaa Asantewaa kalah dan dibuang daerah ke Seychelles sehingga dia meniggal dunia di sana.

Walau bagaimanapun, keberanian ratu itu menjadi simbol kepada kemerdekaan Ghana dan banyak sekolah serta institusi yang dinamakan sempena nama Ratu itu. Walaupun menang, pihak British tetap tidak berjaya memperolehi Kerusi Emas itu. (sumber)

3. Ratu Amanirenas - Empayar Kush

amanirenas

Ratu Amanirenas adalah pemerintah Kerajaan Kush (Sudan) dan telah berperang dengan Rom yang ketika itu menguasai jiran mereka, Mesir. Ketika itu, Empayar Rom diketuai oleh Maharaja Augustus yang mengalahkan Mark Anthony dan Cleopatra di Mesir.

Ratu Amanirenas telah mengetuai serangan dan berjaya merampas Syene dan Philae daripada Rom. Dia juga memusnahkan patung Augustus dan membawa balik kepala patung itu ke kerajaannya. Ia merupakan penghinaan besar kepada Rom.

Pihak Rom membalas serangan itu dan berjaya menawan semula bandar-bandar yang dikuasai Ratu Amanirenas serta menawan ramai rakyat Kush dan menjadikan mereka sebagai hamba.

Namun, Ratu Amanirenas tetap melawan sehingga perang itu berlanjutan selama lima tahun lamanya. Akhirnya, pihak Rom mengalah dan bersetuju untuk mengadakan rundingan damai. Ratu Amanirenas merupakan salah seorang pahlawan wanita yang banyak memberikan masalah kepada Rom. (sumber)

2. Ratu Nzinga Mbande - Kerajaan Ndongo dan Matamba

ratu nzinga mbande

Ratu Nzinga Mbande merupakan pemerintah kerajaan di barat daya Afrika (kini Angola) pada kurun ke-17. Dia menaiki takhta apabila abangnya, Ngola Mbandi, meninggal dunia.

Ketika itu, Afrika sedang rancak dijarah kuasa besar Eropah seperti Portugis dan Belanda dalam era pemerdagangan hamba. Portugis yang baru sahaja menakluk Kongo telah merancang untuk menyerang Kerajaan Ndondo. Keadaan ini memaksa Ratu Nzinga melarikan diri ke negeri jiran Matamba dan mengisytiharkan dirinya sebagai Ratu Matamba.

Dia kemudian mengumpul kekuatan tentera dan berpakat dengan Belanda untuk menyerang Portugis. Buat pertama kalinya, Ratu Nzinga berjaya mengalahkan tentera Portugis pada tahun 1644 tetapi tidak berjaya membebaskan sepenuhnya Kerajaan Ngondo.

Perang itu berlanjutan sehingga 1657. Ratu Nzinga berhenti berperang dan mahu membangunkan kerajaannya yang musnah akibat peperangan. Walaupun tidak berjaya mengusir Portugis sepenuhnya, dia tetap dikenang sebagai salah seorang pahlawan wanita terhebat dalam sejarah Afrika. (sumber)

1. Ratu Fu Hao - Dinasti Shang, China

ratu fu hao

Fu Hao adalah salah seorang daripada 60 isteri Raja Wu Ding dari Dinasti Shang pada kurun ke-13. Fu Hao berjaya meningkat naik sehingga dia dilantik sebagai Jeneral dalam pasukan tentera. Ratu dari Dinasti Shang ini merupakan wanita Cina pertama yang memerintah 13,000 orang tentera.

Kehebatannya terbukti ketika dia berperang dengan kerajaan-kerajaan jiran. Sebagai contoh, dia berjaya mengalahkan Kerajaan Tu-Fang dengan hanya satu pertempuran sahaja. Dia sangat berjaya sehingga Raja Wu Ding memberikan Ratu Fu Hao semua jajahan yang berjaya ditakluknya.

Ratu Fu Hao bukan sahaja seorang panglima perang yang hebat tetapi dia juga seorang ketua rohani dan dilantik sebagai Pendeta Wanita Tertinggi Dinasti Shang. Peranannya begitu besar terhadap Dinasti Shang sehingga pasukan tentera kerajaan itu menjadi lemah apabila Ratu Fu Hao meninggal dunia ketika berumur 33 tahun.

Kisah mengenai Ratu Fu Dao kedengaran seperti sebuah dongeng tetapi kewujudannya berjaya dibuktikan apabila kuburnya ditemui pada 1976. Dalam makamnya itu, terdapat pelbagai perhiasan, senjata dan catatan hidup serta kejayaannya. (sumber)




Hakcipta iluminasi.com (2017)