Oleh pada 05 Sep 2018 kategori

Walaupun bidang penerbangan tentera masih didominasi oleh kaum lelaki, terdapat beberapa orang juruterbang wanita yang telah menempa nama di dalam sejarah lapangan ini dan diperakui kehebatan mereka.

Berikut adalah senarai beberapa orang juruterbang tentera wanita yang telah membuktikan kemampuan mereka di persada dunia dan mungkin menjadi sumber inspirasi kepada wanita di luar sana.

BESARKAN TEKS     A-  A+

10. Amy McGrath

amy mcgrath

Amy McGrath merupakan seorang juruterbang kelas pertama yang pernah mengemudi pesawat pejuang McDonnell Douglas F/A 18 Hornet yang hebat ini di dalam pertempuran. Juruterbang yang mempunyai keazaman tinggi ini menyertai Akademi Tentera Laut sejurus tamat sekolah menengah.

Dia kemudiannya berjaya memperolehi Ijazah Sarjana di dalam bidang Keselamatan Global. Sejak kecil lagi McGrath tahu bahawa masa depannya adalah di dalam bidang penerbangan tentera setelah melawat Muzium Tentera Udara Kebangsaan Amerika Syarikat.

Selama 20 tahun perkhidmatannya di dalam bidang ini, dia telah melakukan 89 misi tempur termasuk misi mengebom terhadap Al-Qaeda. Dia pernah ditugaskan untuk berkhidmat di Afganistan dan Iraq, termasuk dalam misi memberi bantuan kepada tentera di darat.

Dia berjaya menangani situasi sukar dan telah diberi penghargaan di Hall of Famedi Muzium Penerbangan di Kentucky pada 2016 sebelum persaraannya dari tentera pada 2017. Selepas itu dia bertanding untuk jawatan Kongres di Kentucky dan berjaya memenangi sebagai ahli Demokratik pada awal 2018.

9. Kyleanne Hunter

kyleanne hunter

Menerbangkan sebuah pesawat adalah sukar, manakala menerbangkan helikopter pula adalah lebih sukar. Namun, menerbangkan helikopter tempur dalam keadaan getir adalah sangat susah dan memerlukan kemahiran yang tinggi di dalam setiap sudut.

Kyleanne Hunter merupakan salah seorang lagenda hidup dan boleh dikira sebagai seorang mahaguru dalam mengendalikan helikopter tempur. Hunter yang bersemangat waja ini telah berkhidmat di dalam Angkatan Tentera Marin Amerika.

Dia adalah salah seorang juruterbang helikopter tempur AH-1W "Super Cobra" dan juga wanita pertama yang mengendalikan pesawat ini. Dia yang pernah menerbangkan pesawat ini dari tahun 2002 hingga 2012 pernah berkhidmat di Iraq dan Afganistan.

Hunter telah menyertai banyak misi berbahaya yang memerlukan kepakaran dalam teknik kawalan, serangan dan mengelak yang mungkin diajar dan juga tidak semasa latihan ketenteraan.

8. Melitta von Stauffenberg

melitta von stauffenberg

Dilahirkan sebagai Melitta Schiller, dia merupakan salah seorang pereka pesawat tentera Nazi Jerman yang sangat berbakat. Bapanya merupakan seorang yang berketurunan Yahudi, jadi von Stauffenberg dianggap separuh Yahudi oleh pihak Nazi. Dia memperolehi lesen penerbangannya ketika perperangan hampir bermula.

Pada tahun 1936, penindasan dari tentera Nazi memaksanya untuk berhenti bekerja tetapi setelah perperangan berlaku, dia dipanggil semula untuk menyambung tugasnya sebagai pereka dan pemeriksa penerbangan. Dia telah melakukan lebih kurang 2,200 penerbangan percubaan untuk tentera Nazi dan dianugerahkan pingat Iron Cross darjah kedua oleh Herman Goering.

Suami Melitta merupakan abang kepada Claus von Stauffenberg, pegawai Jerman yang membuat percubaan membunuh Hitler di dalam Operasi Valkryrie. Melitta telah ditangkap kerana mempunyai hubungan dengan Claus namun dia dibebaskan tetapi terbunuh apabila pesawatnya terhempas beberapa minggu sebelum perang dunia ke-2 tamat.

7. Hazel Ying Lee

hazel ying lee

Sumbangan bangsa minoriti semasa Perang Sekutu seakan hampir dilupakan. Keturunan China-Amerika dan China-Kanada mempunyai pengalaman didiskriminasi sebagai minoriti walaupun mempunyai sumbangan besar terhadap negara.

Hazel Ying Lee ialah seorang wanita kelahiran China. Dia gagal menyertai pasukan Tentera Udara China untuk melawan tentera Jepun yang menyerang tanah airnya. Dia kemudian berpindah ke Hong Kong seterusnya ke Amerika untuk menyertai pasukan tentera negara itu menentang Jepun.

Walaupun melalui pelbagai tentangan jantina dan etnik, Ying Lee akhirnya berjaya menjadi wanita China-Amerika yang pertama menyertai Tentera Udara Amerika. Dia membawa pesawat penghantar dan mengajar juruterbang tempur Amerika agar bersedia bagi melawan tentera Kuasa Paksi.

Pernah sekali ketika melakukan pendaratan cemas di Kansas, dia diserang oleh seorang petani kerana menyangka dia adalah tentera Jepun. Namun, semua ini tidak melunturkan semangat wanita itu. Dia mula mendapat kepercayaan dari pelatih yang diajarnya.

Dia juga pernah mengemudi pesawat berkebolehan tinggi seperti Mustang dan Thunderbolt. Malangnya Ying Lee terkorban ketika tragedi semasa membawa pesawat P-63, sebuah pesawat yang mempunyai banyak masalah keselamatan.

6. Shawna Rochelle Kimbrell

shawna rochelle kimbrell

Menjadi juruterbang tempur wanita sememangnya sukar. Akan tetapi, bagi Shawna Rochelle Kimbrell ianya lebih sukar lagi apabila menjadi wanita Afrika-Amerika pertama yang berkhidmat di dalam Tentera Udara Amerika.

Sejak kecil lagi Kimbrell berimpian untuk menjadikan juruterbang sebagai kariernya. Dia layak untuk menyertai pasukan tempur dengan mengemudi pesawat F16 Fighting Falcon.

Kehebatannya telah mengubah tanggapan dan pandangan serong yang dihadapi oleh juruterbang wanita dan juruterbang berkulit hitam serta menaikkan taraf mereka dalam sistem pangkat Tentera Udara Amerika.

Kariernya bermula dari bawah apabila ditempatkan di kawasan terpencil seperti Pengkalan Tentera Udara Amerika di Misawa, Jepun. Kemudian dia menjadi satu-satunya juruterbang wanita di Pengkalan Tentera Udara Amerika di Aviano, Italy.

5. Yu Xu

yu xu

Juruterbang pesawat tempur wanita yang paling terkenal di China ialah Yu Xu. Dia merupakan juruterbang wanita pertama dalam Tentera Udara Pembebasan Rakyat yang mengemudi jet tempur Chengdu J-10.

Ketika sedang menjalani latihan penerbangan, satu tragedi telah berlaku di mana pesawat Yu telah bertembung dengan pesawat lain. Sebelum itu dia berjaya keluar secara kecemasan dari pesawatnya sebelum terhempas di daerah Hebei, namun tidak bernasib baik apabila tersangkut pula pada sayap satu lagi pesawat lain.

Kematian juruterbang tentera udara wanita yang digelar sebagai "Merak Emas" ini telah mengejutkan orang ramai di negaranya.

4. Maureen Dunlop de Popp

maureen dunlop de popp

Walaupun Maureen Dunlop de Popp tidak pernah terlibat secara langsung dengan pertempuran di dalam Perang Dunia ke-2, namun dia adalah contoh kepada peranan wanita di dalam dunia penerbangan. Dia berminat dalam menerbangkan pesawat tempur tetapi tentera British telah melarang wanita terlibat dengan pertempuran secara langsung.

Dia merupakan jurulatih kepada juruterbang pesawat tempur di dalam Perang Dunia ke-2 dan pernah menghantar pesawat tempur kepada RAF termasuk pesawat Spitfire.

Walaupun menyumbang kepakarannya kepada tentera udara, dia sering menyatakan ketidakpuasan hati dengan mengatakan tidak adil jika lelaki sahaja yang layak bergadai nyawa demi negara.

Akhirnya dia diberi kebenaran untuk terbang namun tidak terlibat dalam sebarang pertempuran. Walaupun begitu, sumbangannya kepada dunia penerbangan telah menjadi inspirasi kepada wanita lain untuk berjuang di udara. Dia juga berjaya menempa nama di dalam sejarah penerbangan. Setelah perang berakhir, dia berkahwin dengan seorang diplomat Romania.

3. Lydia Litvyak

lydia litvyak

Semasa Perang Dunia ke-2, Tentera Udara Soviet telah mengatur juruterbang wanita untuk berperang. Soviet berpendapat wanita mempunyai hak yang sama rata untuk berada di barisan hadapan apabila perang itu mengorbankan ramai nyawa tenteranya.

Pengambilan juruterbang telah dikendalikan oleh jurulatih wanita yang mahir dalam pesawat pengebom dan pesawat pejuang. Kejayaan mereka dalam melatih dan mengendali pesawat juga digeruni oleh tentera musuh. Penglibatan para wanita ini kemudian menjurus kepada profil kumpulan baru dalam tentera udara iaitu juruterbang tempur wanita terhandal Soviet.

Wanita-wanita ini tahu bagaimana untuk terbang, menembak, dan memburu musuh dalam keadaan cuaca sejuk dan pada malam yang gelap. Lydia Litvyak salah seorang darinya dan merupakan juruterbang wanita terhebat dalam Perang Dunia ke-2 dengan 12 kemenangan.

Dengan kejayaannya itu dia menjadi seorang lagenda dalam sejarah penerbangan dan juruterbang pertama yang menjadi juruterbang handalan wanita Soviet.

2. Yekaterina Budanova

yekaterina budanova

Dengan polisi membenarkan wanita menjadi juruterbang pesawat tempur, Kesatuan Soviet dikenali dalam Perang Dunia ke-2 bukan sahaja berani dan mempunyai azam yang tinggi malah melahirkan ramai juruterbang wanita terhebat.

Yekaterina Budanova yang juga dikenali sebagai Katya merupakan juruterbang wanita ke-2 terhebat selepas Lydia Litvyak semasa perang. Walaupun bilangan wanita adalah sedikit yang mengendalikan pesawat tempur, namun Budanova sangat menyerlah dan menjadi igauan buruk bagi musuh yang berhadapan dengannya.

Budanova merupakan seorang juruterbang dan penembak yang mahir. Dia banyak mengalahkan musuh ketika pertempuran di udara menentang pasukan Luftwaffe dari Jerman, termasuk 6 kemenangan solo dalam bertempur dan juga kemenangan berkumpulan. Dia menempa nama sebagai juruterbang kedua dalam senarai juruterbang handalan wanita Soviet.

1. Martha McSally

martha mcsally

Ramai di dalam senarai ini mengendali pesawat pejuang, menjadi penghantar dan juga jurulatih kerana bias jantina. Sementara itu, Martha McSally pula mengendali pesawat penyerang darat yang digeruni iaitu Fairchild Republic A-10 Thunderbold II milik Tentera Udara Amerika.

Pesawat yang lebih dikenali sebagai "Hog" ini dilengkapi dengan mesingan, meriam dan pelbagai lagi senjata darat. Pesawat ini direka untuk terbang jauh ke dalam kawasan musuh dan berkesan bagi memusnahkan pertahanan musuh. Pesawat "Hog" ini sendiri dilengkapi pertahanan dan sangat berat, menjadikannya sukar untuk dikawal.

McSally bukan sahaja menjadi juruterbang tempur wanita pertama tetapi juga telah menjalani lebih dari 100 misi bersama pesawat A10 Warthog. Selain itu, McSally juga merupakan wanita pertama di dalam Tentera Udara Amerika yang menjadi ketua unit tempur.

Sama seperti Amy McGrath, McSally juga telah beralih arah kepada politik. Dia telah menjadi wakil rakyat sejak 2012 dan kini menjadi Senator Amerika bagi Parti Republican mewakili Arizona.




Hakcipta iluminasi.com (2017)