Isu pemakaian tudung di tempat kerja melibatkan golongan wanita Muslim merupakan satu isu yang selalu diperkatakan, khasnya di negara-negara barat.
Di negara kita juga kadangkala wujud beberapa kontroversi melibatkan syarikat swasta yang tidak membenarkan pekerja Muslim mereka yang bertudung, mengamalkan pemakaiannya semasa waktu kerja.
Namun jika dibandingkan dengan jiran kita Singapura - situasi di sana jauh lebih menekan.
BESARKAN TEKS A- A+
Sedarkah anda polisi rasmi kerajaan Singapura sendiri tidak membenarkan wanita-wanita Muslim penjawat awam yang bekerja sebagai jururawat, polis dan tentera; menutup aurat mereka?
Buka aurat demi sekolah dan kerja
Kontroversi berkenaan isu ini kembali hangat diperkatakan di Singapura, selepas sebuah petisyen dalam talian dilancarkan tidak lama dahulu bagi mendesak kerajaan Singapura membenarkan pemakaian tudung di kalangan penjawat awam.
Petisyen tersebut yang menerima lebih 50,000 tandatangan mencetuskan kembali perdebatan hangat berkenaan pemakaian busana tersebut di kalangan sektor profesional, yang mana berlakunya halangan pemakaian hijab atau tudung semasa di tempat kerja.
Kontroversi ini sering melanda Singapura kerana negara itu mempunyai sejarah panjang dalam isu ini.
Antara insiden lebih awal yang mengundang kritikan besar-besaran ke atas kerajaan Singapura berlaku dalam tahun 2002, berkait dengan kontroversi beberapa orang pelajar sekolah antaranya Nur Ashikeen Azhar dan Nurul Nasihah yang dihalang untuk hadir ke sekolah, kerana melanggar syarat pemakaian tudung.
Kedua-duanya berkeras mahu mengamalkan pemakaian tudung yang bertentangan dengan peraturan Kementerian Pendidikan Singapura, yang jelas tidak membenarkan pelajar mengenakan apa saja pakaian atau simbol berbentuk keagamaan pada diri mereka sebagai uniform.
Usaha ayah beliau untuk memohon pelepasan bagi anaknya gagal, mengakibatkan kumpulan pelajar senasib anaknya memilih untuk mengeluarkan anak-anak dari sekolah terbabit.
Bagi yang berkeras untuk terus memakai tudung, pelajar-pelajar diarahkan berhenti atau ditukarkan sekolah.
Dalam kes tersebut, Menteri Pendidikan Singapura (ketika itu) Teo Chee Hean mendakwa ada pihak sengaja menimbulkan isu tersebut sebagai senjata politik.
Beliau juga berkeras bahawa pengharaman tudung di kalangan pelajar adalah satu tindakan rasional, untuk memastikan sempadan antara pelajar-pelajar berlainan agama dapat dipecahkan tanpa wujud kekangan.
Kontroversi tudung pelajar sekolah
Kedegilan kerajaan Singapura dalam menangani isu tudung secara lebih saksama, mengundang kepada lebih banyak kecaman selepas itu..
Orang Melayu Singapura mula melakukan desakan serta memulakan tindakan saman ke atas kerajaan Singapura, bagi membolehkan peraturan itu yang mereka percaya menekan kebebasan beragama seseorang - dapat dimansuhkan.
Sebagai kompromi, beberapa pihak mewakili orang Melayu dan masyarakat Muslim membawa cadangan agar pemakaian tudung dibenarkan di peringkat sekolah menengah sahaja dan tidak menyeluruh...
Dengan syarat kerajaan Singapura perlu menambah peruntukan dana kepada madrasah yang ada bagi menambah baik kualiti fasiliti dan pengajian - membolehkan madrasah dinaiktaraf menjadi alternatif yang lebih elok kepada pelajar yang ingin mengenakan tudung.
Malangnya, cadangan ini ditolak mentah-mentah kerajaan Singapura serta majoriti rakyat Singapura sendiri yang menyokong pendirian kerajaan mereka.
Kenapa warga Sikh boleh memakai turban?
Isu yang sering dipertikaikan adalah mengapa kerajaan Singapura membenarkan pelajar lelaki Sikh memakai turban, dibalas wakil kerajaan bahawa pemakaian tersebut sudah dibenarkan sejak zaman kolonial British lagi.
Banyak pihak merasakan berlakunya berat sebelah kerajaan Singapura dalam menangani isu ini.
Sehingga kini, pandangan kerajaan Singapura tetap konsisten dengan semua kenyataan kerajaan terdahulu yang dikeluarkan lebih awal.
Bekas Perdana Menteri Singapura, Goh Chok Tong pernah direkod menyifatkan masyarakat Singapura belum bersedia untuk menerima kewujudan komuniti bertudung dalam sistem pendidikan kebangsaan mereka - tanpa menyumbang kepada berlakunya pergolakan sensitiviti masyarakat mereka.
Kerajaan Singapura lebih gemar untuk memfokuskan kepada matlamat utama mereka mahu negara itu berkembang sebagai sebuah negara majmuk yang berjaya terlebih dahulu, sebelum kebenaran pemakaian tudung dibenarkan secara menyeluruh dalam semua peringkat khasnya melibatkan pendidikan.
Bagi kerajaan Singapura, sistem yang mereka laksanakan telah terbukti berkesan sekian lama - jadi mengapa mereka perlu mengubahnya?
Melayu Singapura tiada kebebasan bertudung
Dalam kes melibatkan pelajar sekolah yang ingin bertudung, Presiden Majlis Ugama Islam Singapura dan Mufti Singapura bertindak mengeluarkan kenyataan menasihatkan agar ibu-bapa mengutamakan pendidikan anak-anak, berbanding pemakaian tudung.
Ini jelas menampakkan kelemahan pengaruh masyarakat Melayu dalam sistem politik Singapura, yang tampak terpaksa tunduk kepada syarat yang diperketatkan sehingga terpaksa mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa.
Saranan hampir sama kedengaran lagi pada tahun 2013, selepas Menteri Hal Ehwal Muslim Singapura, Dr. Yaacob Ibrahim menasihatkan agar komuniti Muslim khasnya masyarakat Melayu di Singapura menerima terlebih dahulu ketetapan yang telah diamalkan; dengan janji rundingan akan terus dijalankan.
Bagi beliau, sistem larangan yang diperkenalkan hanya meliputi tempat kerja melibatkan individu seperti jururawat, pegawai polis, anggota tentera dan beberapa bidang lain - tidak melibatkan masa-masa lain ketika mereka tidak bertugas; di mana pemakaian hijab tidak menjadi masalah.
Kini isu pemakaian tudung di kalangan warga Singapura kembali tercetus dan komuniti Melayu di sana kini mempunyai suara yang lebih kuat ekoran perlantikan Halimah Yaacob sebagai presiden.
Sama ada akan berlaku perubahan atau tidak, sukar untuk kita jangkakan namun apa yang jelas - kerajaan Singapura jelas agak kurang senang dalam menerima desakan. Apatah lagi apabila desakan itu datang daripada kelompok yang jelas nampak mahu mula bangkit selepas sekian lama ditindas polisi pemerintah mereka sendiri.
Pada bulan Ogos tahun 2021, kerajaan Singapura mengumumkan perubahan polisi akan mula membenarkan jururawat wanita beragama Islam mengenakan tudung bersama uniform mereka - yang akan dimulakan pada bulan November tahun sama.
Rujukan
THE MYTH OF MULTIRACIALISM INPOST-9/11 SINGAPORE:THE TUDUNG INCIDENT (PDF)