Oleh pada 10 Apr 2018 kategori

Setiap wanita yang hidup dimuka bumi dan masih belum menopause pasti akan datang haid selama sekurang-kurangnya 3 hari dalam sebulan. Namun, masih ada sesetengah individu yang malu dan enggan berbicara mengenai haid secara terbuka sebab ia dianggap perkara yang memalukan.

Tetapi, setiap perempuan mesti merasa haid dan sakit senggugut. Ia merupakan proses badan yang semulajadi, sama seperti bernafas dan buang air besar. Susah sebenarnya untuk orang berlainan jantina memahami keperitan period ini. Di sini penulis kongsikan 4 fakta ringkas dan padat yang orang lelaki (dan orang perempuan juga) perlu tahu mengenai haid.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Gangguan penyakit yang berkaitan haid

Setiap perempuan merasakan tahap kesakitan dan kekejangan yang berbeza. Bukan itu sahaja, terdapat juga segelintir wanita yang sebenarnya mengalami penyakit berkaitan haid yang menyebabkan mereka sangat terseksa setiap kali datang bulan.

Disini penulis kongsikan beberapa masalah yang sering dialami oleh wanita setiap kali period:

Pendarahan yang melampau

Sekurang-kurangznya seorang daripada 5 wanita mengalami pendarahan yang sangat melampau setiap kali period, sehingga menjejaskan aktiviti seharian mereka.

Pada kebiasaannya, seorang wanita akan kehilangan darah sebanyak 5 sudu besar setiap kali period. Tetapi buat mereka yang menderita gangguan penyakit ini, pendarahan mereka adalah sebanyak 10 sehingga 25 kali ganda! Ada segelintir yang perlu menukar tuala wanita setiap setengah jam atau sejam sekali.

(Bagi yang tidak tahu, tuala wanita digunakan sebagai pelapik untuk menyerap darah ketika period. Sebab itulah tiada darah yang melekat diatas kerusi. Tetapi kadang-kala, apabila darah mengalir terlampau banyak dan tak terkawal, boleh berlaku kebocoran)

Setiap penyakit perlu diubati dan ia tidak boleh dibiarkan berterusan sebegini. Sekiranya salah seorang kenalan atau ahli keluarga anda mengalami masalah yang sama, segeralah berjumpa dengan doktor. Berkemungkinan mereka mempunyai masalah rahim yang lebih serius dan boleh mengancam nyawa.

Kekejangan yang melampau (dysmenorrhea)

Kebanyakan wanita pasti pernah merasa period cramp sekurang-kurangnya sekali dalam hayat mereka. Menurut orang tua-tua, sakit senggugut ini hanyalah acah-acah kepada sakit ketika bersalin.

Jadi, anda sudah boleh bayangkan yang period cramp ini bukan sakit macam kena gigit semut, bukan?

Tetapi malangnya bagi sesetengah wanita, period cramp yang mereka alami terlampau memeritkan, kadang kala ubat yang diberi oleh doktor juga tidak berkesan.

Kebiasaanya, kekejangan dibahagian rahim juga akan menyebabkan cirit-birit, loya, pitam dan pening kepala. Setiap sakit tidak boleh dipandang ringan, sebab kekejangan melampau ini juga sebenarnya tanda kepada masalah rahim ataupun penyakit yang lebih serius.

Premenstrual syndrome (PMS) dan Premenstrual Dysphoric Disorder (PMDD)

PMS bukan lagi asing dalam kalangan masyarakat kita. Malah, setiap kali seorang wanita datang bulan ataupun ketika emosinya sedikit terganggu, mesti orang akan membuat andaian yang dia sebenarnya PMS.

PMS bukan sahaja mempunyai simptom psikologi seperti perubahan mood, kemurungan ataupun mudah marah, tetapi orang yang menderita PMS turut mengalami simptom fizikal seperti sembelit, sakit kepala, keletihan yang melampau dan sebagainya.

Sindrom ini juga bukan boleh dipandang ringan. Kebiasaannya, 75 peratus wanita akan mengalami simptom PMS, tetapi seramai 30-40 peratus pula akan mengalami PMS yang sangat teruk sehingga menjejaskan kehidupan seharian mereka.

Premenstrual Dysphoric Disorder (PMDD) pula merupakan gangguan yang lebih teruk berbanding PMS. Pakar yang mengubati PMDD membuat andaian, sekiranya PMS ini merupakan sakit kepala ringan, PMDD merupakan migrain yang memerlukan rawatan pakar.

sumber buzzfeed gif perempuan tengah sakit period pain

Sumber gambar: Buzzfeed

Simptom PMDD menyerupai PMS, namun semuanya lebih teruk dan menjejaskan bukan sahaja penderita penyakit tersebut, malah orang disekelilingnya. Sekiranya anda mengenali sesiapa yang menjadi “hantu” setiap kali period, bantulah dia. Mungkin dia menderita PMS atau PMDD dalam diam dan masih belum mendapat rawatan professional.

Wanita bukan sahaja kehilangan darah ketika haid

Ramai orang beranggapan yang darah haid merupakan darah kotor. Tetapi, tahukah anda apa sebenarnya kandungan darah haid itu?

Sebelum kita bercerita mengenai kandungan darah, kita perlu tahu asal usul darah dahulu. Darah tersebut terjadi sebab rahim wanita sedang ‘bersiap-siap’ untuk menyambut kehamilan. Namun, sekiranya tiada kehamilan yang terjadi pada waktu tersebut, maka lapisan rahim yang terdiri daripada sel, tisu, saluran darah dan sebagainya akan ‘luruh’. Maka, terjadi lah darah period.

contoh anatomi rahim ketika period

Darah yang disingkirkan daripada badan kebiasaannya terdiri daripada darah beku, lendir, tisu dan darah. Geli, bukan? Tetapi semua ini proses semulajadi. Tanpa haid dan semua yang menggelikan ini, mungkin kita tidak dilahirkan dimuka bumi ini.

Diskriminasi terhadap wanita yang sedang haid

Tidak semua gadis dan wanita yang bernasib baik. Sesetengah negara masih mendiskriminasikan wanita kerana haidnya.

Mengikut kajian yang dijalan di India, seramai 70 peratus wanita menghidapi penyakit berkaitan sistem peranakan disebabkan kebersihan yang tidak dijaga ketika datang bulan. Bukan itu sahaja, disana, produk seperti tuala wanita sangat mahal dan isu haid merupakan perkara yang taboo. Disebabkan itu, wanita yang miskin dan tinggal diluar bandar hanya menggunakan kain buruk untuk menyerap darah haid. ( seperti dalam filem padman)

Mengikut sebuah badan sukarelawan antarabangsa, Project Humanity, setiap bulan, seorang gadis di Kenya akan ponteng sekolah selama seminggu (atau sepanjang tempoh haidnya). Ada juga yang telalu ‘malu’ jika dia datang bulan kerana stigma yang telah terpahat dalam masyarakat mereka. Mujurlah di negara kita, anak-anak gadis masih boleh bersekolah dan hidup normal meskipun ketika datang bulan.

Kesimpulannya, haid tidak sepatutnya menjadi perbualan taboo atau memalukan di Malaysia ataupun dimana-mana sahaja. Tanpa haid, mustahillah kita boleh dilahirkan di dunia. Sakit yang dialami oleh wanita ketika period juga tidak boleh direndah-rendahkan. Apa-apapun, dalam hidup ini kita kena bertoleransi dan saling memahami.

Rujukan :

Healthy Women

Self

Tes




Hakcipta iluminasi.com (2017)