Oleh pada 15 Jul 2021 kategori

Mungkin disebabkan isu pembahagian royalti atau hak cipta, jarang sekali sebuah lagu khasnya hasil karya tempatan dinyanyikan oleh ramai artis dalam satu masa.

Bagaimanapun apabila terbitnya lagu-lagu kolaborasi melibatkan nama-nama besar dalam industri hiburan kita, biasanya ramai akan mula heboh dalam membicarakan berkenaan karya yang terhasil kerana keunikannya yang tersendiri.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Industri muzik kita banyak menghasilkan karya-karya berbentuk kolaborasi yang akhirnya layak diiktiraf klasik. Berikut adalah lima lagu kolaborasi paling diingati setakat ini.

1. Di Akhir Garisan

di akhir garisan nora ning ziana dessy

Pasti ramai mudah mengingati lagu ini. Hasil gabungan tiga nama besar negara iaitu Ziana Zain, Ning Baizura dan Nora Ariffin serta vokalis dari Indonesia iaitu Dessy Fitri; lagu ini mempunyai melodi yang sedih tetapi agak mendamaikan perasaan.

Sedarkah anda lagu ini sebenarnya merupakan sebuah lagu terjemahan nyanyian kumpulan Honeyz dari Britain yang berjudul 'End of the Line'? Jika dibandingkan kedua-dua lagu, jelas sekali versi bahasa Melayu adalah terjemahan terus dari aspek lagu dan liriknya dari lagu asal.

Namun versi bahasa Melayu lebih kuat kemampuan vokalnya apatah lagi suara serak-serak Ziana Zain cukup keras memacu lagu ini. Versi bahasa Inggerisnya lebih mirip kepada sebuah lagu pop biasa tetapi versi bahasa Melayu memang mencabar kemampuan vokal untuk cuba dinyanyikan semula dalam bilik air. 

2. Isabella 1998

saleem zamani amy jamal isabella

Sebuah gubahan semula lagu popular kumpulan Search iaitu 'Isabella', diolah untuk menggabungkan vokal unik Jamal Abdillah, Saleem dan Zamani serta Amy Search; lagu ini berubah terus wajahnya dalam versi kolaborasi. 

Jika 'Isabella' asal mempunyai tona bunyi yang agak menyeramkan serta mampu menghantui pendengar, 'Isabella' versi kolaborasi ini pula menggabungkan unsur pelbagai instrumen orkestra yang memberikan lagu ini suara yang lebih mesra untuk semua lapisan.

Apa yang unik, setiap segmen lagu ini mempunyai identiti yang berlainan bergantung kepada siapa vokalis utamanya ketika itu. 

3. Beribu Sesalan 

tiga suara ning shila jaclyn

Fuh! Lagu ini merupakan antara lagu yang sangat jelas memaparkan kemampuan vokal tiga orang vokalis handal negara ini. Jaclyn Victor, Ning Baizura dan Shila Amzah.

Trio ini benar-benar mencabar diri mereka dengan persembahan vokal yang turun naik sepanjang lagu ini berlangsung dan hasilnya adalah sebuah lagi lagu klasik.

Lagu ini terhasil daripada album kolaborasi ketiga-tiga artis yang bekerjasama menghasilkan sebuah album berjudul '3 Suara', selamat diterbitkan pada tahun 2011 memenangi tempat kedua dalam Anugerah Juara Lagu kali ke 26.

4. Negaraku 

negaraku lagu kolaborasi

Tidak banyak lagu berunsur patriotik moden yang benar-benar menangkap kepala. Ini adalah satu kejayaan besar bagi lagu 'Negaraku' kerana lagu ini berjaya membawa mesej penyatuan kebangsaan dan dalam masa yang sama mempunyai irama moden yang segar.

Lebih unik, lagu ini bukan saja dinyanyikan secara kolaborasi bahkan proses penciptaannya juga berjalan dengan gabungan di mana Faizal Tahir menjadi tunjang utama, bekerjasama dengan Ezra Kong dan Mike Chan bagi menghasilkan melodi serta kesemua vokalis yang terlibat dalam penghasilan bait liriknya.

Penggabungan elemen rock serta rap yang membangkitkan semangat ini membuktikan penerimaan masyarakat terhadap lagu-lagu berunsur patriotik sebenarnya masih membara, cuma penyampaiannya haruslah moden dan sesuai dengan citarasa pendengar yang rata-rata mahu sesuatu yang luar dari biasa.

5. Ikhlas Tapi Jauh

ikhlas tapi jauh rap artis roslan aziz

Diterbitkan terlebih dahulu dalam album vokalis Zainal Abidin pada tahun 1991, sebelum digubah semula untuk dinyanyikan dalam versi dwi-bahasa artis di bawah naungan Roslan Aziz Productions pada tahun 1992; lagu ini menjadi antara runut bunyi wajib identiti negara kita satu ketika dulu. 

Mudah dinyanyikan sesiapa saja serta mempunyai melodi yang santai dan riang, penangan lagu ini boleh dirasai di mana-mana semasa puncak popularitinya. Banyak acara hiburan menjadikan lagu ini sebagai penutup, pelajar sekolah pun banyak menjadikan lagu ini sebagai latar belakang perpisahan mereka.

Versi kolaborasi yang menampilkan Zainal Abidin, Sheila Majid, Afdlin Shauki, Zubir Ali, Amir Yussoff dan Azman Warren ini memang meninggalkan impak yang besar kepada masyarakat. 

Besar kemungkinan masih ramai yang menghafal lagu ini walaupun dah bertahun tak mendengarnya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)