Muzik merupakan antara budaya yang penting dalam pembentukan identiti sesebuah masyarakat. 

Tanpa wujudnya penggiat-penggiat seni serta pengkarya yang berkemampuan mencipta lagu dan muzik berdasarkan bakat yang dikurniakan Tuhan kepada mereka, hidup kita pasti sunyi dan banyak nostalgia lama sukar untuk diimbau kembali. Ada album yang hilang ditelan zaman, namun ada juga koleksi lagu yang terus segar dimainkan serta kekal relevan walaupun sudah berdekad-dekad diterbitkan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah 5 album tempatan berstatus klasik yang telah diterbitkan 30 tahun dahulu, mampu membuatkan kita teringat kenangan lama serta mengingatkan kita - kita semakin tua.

1. 'Jamal' - Jamal Abdillah

jamal abdillah kekasih awal akhir album 1991

Diterbitkan pada bulan Jun tahun 1991, album ini bukan saja menggegarkan industri muzik negara bahkan mencipta fenomena tersendiri dalam jualan album negara kita. 

Mencatat angka jualan melebihi 300,000 ribu unit, populariti album ini banyak dipacu lagu klasik 'Kekasih Awal dan Akhir' yang hanya mampu dinyanyikan sebaik itu, oleh Jamal Abdillah sendiri.

Diterbitkan oleh komposer besar Adnan Abu Hassan, album 'Jamal' turut disokong oleh lagu garapan klasik M. Nasir yang turut meletup 'Takdir Penentu Segala. 

Populariti album ini membolehkan sebuah filem berjudul 'Kekasih Awal dan Akhir' lakonan Jamal Abdillah dan Sofea Jane diterbitkan, hasil arahan Zulkifli M.Osman.

2. 'Exit' - Exist

kumpulan exists 1991 untukmu ibu

Siapa masa kecil tak mengalir air mata mendengar lagu 'Untukmu Ibu' dendangan kumpulan Exist? Lagu ciptaan komposer Rahim Othman ini memang benar-benar menghantui masyarakat kita sehingga kini.

Kumpulan Exist muncul dibawah kendalian produser Johan Abdul Aziz, yang memainkan peranan besar mencari satu per satu anggota kumpulan tersebut agar sesuai dengan matlamatnya mahu menubuhkan kugiran rock remaja terkemuka negara.

Membariskan lagu-lagu garapan komposer seperti LY, Rahim Othman dan Exist sendiri, album pertama Exist menukar industri muzik tempatan, mempopularkan banyak lagu klasik yang terus sedap untuk dilayan sehingga kini. Selain 'Untukmu Ibu', dua lagi lagu 'Rahsia Pohon Cemara' serta 'Langkah Seiringan' terus meniti dibibir kita.

Uniknya, anggota-anggota kumpulan Exist yang terlibat terus begiat aktif dalam dunia seni, menjadi nama-nama besar dalam kumpulan seperti Search, Slam, Amuk dan Manterra selain melahirkan komposer Ajai yang kekal popular sebagai nama besar industri kita.

3. 'Jerangkung Dalam Almari' - Wings

wings jerangkung dalam almari

Sudah bergelar nama besar dalam industri muzik ketika album keempat mereka ini diterbitkan, Wings adalah salah satu nama yang akan disebut selain Search apabila kita membicarakan tentang muzik rock mainan anak tempatan. 

Pembikinan album ini berdepan kesukaran setelah pemain dram utama mereka Black memilih untuk mengundur diri, yang menyebabkan wujud kontroversi adakah Wings akan hilang taring mereka. Walaupun demikian kehadiran Jojet, pemain dram asal Wings berjaya menghilangkan kegusaran itu seterusnya diterima baik peminat mereka.

Menampilkan irama yang lebih keras, album ini tidak mempunyai satu lagu 'trademark' utama seperti 3 album mereka sebelum itu namun keseluruhan album itu berjaya membawakan satu perubahan baru melalui garapan segar hasil kerja tangan produser M. Nasir. 

Terjual lebih 200,000 unit, sehingga kini penulis masih mendengar lagu klasik 'Aku Pun Tahu' tulisan M. Nasir dan Nasir Jani, walaupun lagu itu sudah berusia 30 tahun.

4. 'Madah Berhelah' - Ziana Zain

ziana zain madah berhelah

Mungkin bagi generasi muda ketika ini, mereka lebih kerap melihat Ziana Zain membintangi drama dalam televisyen - tetapi satu masa dahulu Akak Ziana merupakan seorang penyanyi yang sangat menakutkan kemampuan vokalnya......dan mikrofon yang diputar-putarkan menjadi identiti persembahannya.

Kemunculan Ziana Zain bermula pada tahun 1991, menerusi penerbitan album pertama beliau 'Madah Berhelah' yang membariskan lagu berjudul sama. Lagu ini meletup bagai bom atom dalam industri muzik kita.

Setiap kenduri-kendara dan sesi karaoke pasti akan ada seorang dua yang cuba mencabar kemampuan vokal sendiri, menyanyikan semula lagu ini agar sebiji dengan Ziana Zain.

Sayangnya tak ramai yang benar-benar mampu ekoran kesukaran keperluan vokal lagu ini yang bukan saja agak tinggi notanya, tetapi turut sama memerlukan bunyi serak-serak itik dihasilkan pada setiap hujung lirik. Terjual melebihi 40,000 unit, 'Madah Berhelah' menjadi batu asas kerjaya panjang Ziana Zain dan jelingan tajamnya. 

5. 'Zainal Abidin' - Zainal Abidin

zainal abidin hijau album 30 tahun

Pernah popular sebagai vokalis utama kumpulan ikonik Headwind melalui banyak lagu klasik, Zainal Abidin akhirnya memilih untuk meneruskan karier sebagai artis solo yang mengutarakan lagu-lagu berentak 'muzik dunia,' hasil gabungan pelbagai elemen dan bunyi budaya dan masyarakat antarabangsa yang ada.

Memilih untuk bekerjasama dengan Roslan Aziz di bawah label RAP, album pertama Zainal yang menggunakan namanya sebagai judul cuba membawakan perbezaan dengan mengadunkan isu-isu masyarakat dan dunia ketika itu sebagai mesej utama dalam setiap lagu.

Ekoran perbezaan corak muzik yang cuba diperkenalkan, agak lambat untuk masyarakat Malaysia ketika itu menerima konsep segar yang dibawakan barisan lagu dalam album tersebut. Apatah lagi nama Zainal lebih terkenal sebagai seorang vokalis rock disegani.

Namun kecekalan Zainal dan Roslan Aziz untuk terus mempromosikan album tersebut dengan pelbagai kaedah kreatif akhirnya membuahkan hasil. 'Zainal Abidin' membariskan empat lagu klasik - 'Senang-Senang', 'Ikhlas Tapi Jauh', 'Manis' dan juga lagu ikonik 'Hijau' yang kekal hijau di kalangan ahli masyarakat Malaysia.




Hakcipta iluminasi.com (2017)