Kami yakin anda sudah pasti meminati muzik. Persoalannya, genre mana pilihan anda?

Adakah anda peminat muzik keras bercorak heavy metal? Atau gemar menggoyangkan badan mengikut rentak reggae? Mungkin juga anda seorang peminat muzik hip hop, mendapat inspirasi mahu menjadi pelapis kepada Joe Flizzow di Malaysia?

Tak kiralah mana satu pun genre muzik yang anda gemari, mempelajari sejarah tentang bagaimana nama kepada genre tertentu tercipta merupakan satu topik yang sangat menarik. Jom kita pelajari tentang asal-usul lima nama genre muzik popular dunia, mungkin anda pun turut sama meminatinya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Hip hop

starski pencetus genre hip hop

Nama asal genre 'hip hop' sebenarnya dicipta oleh gabungan dua orang individu yang sangat berpengaruh dalam pembentukan muzik tersebut. Seorang DJ berpengaruh di kawasan South Bronx, New Year yang dikenali dengan nama Lovebug Starski dan rakannya, seorang pemuzik dengan nama samaran Keef Cowboy daripada kumpulan Grandmaster Flash and the Furious Five kerap menyertai parti yang diadakan sesama mereka.

Setiap kali berparti dan memainkan lagu-lagu ciptaan mereka, Starski gemar menjerit 'hip!' sebelum Cowboy menyahut 'hop!'; semasa menyindir rakan-rakan mereka yang perlu melaporkan diri ke dalam tentera. 'Hip' dan 'hop' yang mereka sebutkan itu merujuk kepada langkah kawad yang bakal rakan mereka perlu lakukan setiap hari.

Lama-kelamaan, penggunaan istilah itu yang agak sedap didengar membuatkan 'hip hop' mula melekat, digunakan ke dalam lirik lagu ciptaan mereka seterusnya mula dijadikan rujukan sebagai genre muzik rancak yang mereka mainkan.

2. Rap

rap genre asal usul

Jika anda tanya kami apa beza hip hop dan rap, hip hop adalah genre muzik sementara 'rap' pula sebenarnya adalah satu perbuatan yang disalah gunakan sebagai nama genre muzik. Bagaimana 'rap' mendapat namanya dan kenapa berlaku kekeliruan itu?

Berbeza dengan hip hop yang datang daripada slanga dan gurau senda di kalangan pemuzik, istilah 'rap' mempunyai sejarah yang panjang berkait dengan gerakan aktivisme masyarakat kulit hitam Amerika Syarikat. 'Rap' sebenarnya merupakan slanga yang digunakan bagi mewakili perbuatan berbual atau berbicara antara mereka. Jadi apabila mereka kata 'I will rap to you later' ini bermakna dia akan menyambung perbualan pada waktu lain.

Tujuan penggunaan slanga dan dialek berlainan ini adalah untuk membezakan mereka dengan komuniti kulit putih, yang dipercayai mahu menjajah dan menguasai mereka.

Dialek itu walaupun sudah direkodkan kewujudannya lebih awal bagi mewakili 'perbuatan seseorang bercakap sesuatu dengan nada pantas', hanya mula popular pada penghujung dekad 1960-an - apabila ramai pemuzik kulit hitam mula mempopularkan istilah 'rap' dalam karya mereka. Rap mula digunakan bagi merujuk karya-karya di mana penyanyinya lebih banyak bercakap berbanding benar-benar menyanyi.

Ada pendapat menyebut 'rap' bukan genre hanya satu istilah kata kerja. Ada yang beranggapan 'rap' layak menjadi genre. Ada juga yang menganggap seseorang 'rapper' sebenarnya menyanyikan lagu dalam genre hip hop. Kami biarkan anda buat keputusan anda sendirilah dalam hal ini ya.

3. Reggae

reggae genre bob marley

Sebut genre reggae hanya ada satu nama saja akan ada dalam kepala - Bob Marley. Reggae merupakan genre lagu yang tenang, tidak bising malahan sebenarnya mampu membuatkan pendengarnya berasa gembira.

Asal datangnya istilah 'reggae' adalah daripada perkataan dialek orang Jamaica 'streggae'. Apa maknanya? Seseorang yang kusut masai. Populariti istilah 'reggae' mula dikenali ramai selepas sebuah kumpulan Jamaica bernama Toots and the Maytals menerbitkan lagu 'Do the Reggay' pada tahun 1966.

Melodi dan irama yang diperkenalkan dalam lagu itu menyebabkan peminat menamakan corak muzik yang dimainkan mereka sebagai lagu 'reggay' seterusnya mempopularkan nama genre itu. Penulis lagu itu menyifatkan penggunaan istilah 'reggae' berlaku secara tidak sengaja dan tidak menyangka slanga orang Jamaica yang diubah itu menjadi sangat popular, sehingga terkenal ke seluruh dunia.

4. Heavy metal

genre muzik heavy metal

Kita tahu 'metal' merujuk kepada besi, jadi apa pula kaitannya dengan muzik keras? Sekiranya anda baca tentang asal-usul bermulanya penggunaan istilah 'heavy metal' sebagai satu bentuk genre muzik - ada banyak kisah yang cuba dikatakan permulaannya.

Bagaimanapun, satu persamaan antara banyak kisah yang ada menceritakan tentang bagaimana pengkritik muzik pada era penghujung 1960-an dan awal 1970-an cuba menjelaskan kepada pembaca majalah mereka tentang bunyi bingit yang terhasil serta tidak enak untuk didengari, hasil rakaman beberapa kumpulan rock pada waktu itu.

Pengkritik berpengaruh era tersebut seperti Mike Saunders, Sandy Peralman dan legenda jurnalis muzik rock Lester Bangs, kerap kali menggunakan istilah 'heavy metal sound' bagi menggambarkan bunyi nyaring dan bising yang dimainkan - bagi membezakan bunyi itu dengan bunyi 'heavy rock' yang popular ketika itu.

Istilah 'metal' kekal digunakan bagi mewakili bunyi bising yang terhasil sebelum majalah berpengaruh Rolling Stones mula melabelkan beberapa kumpulan yang membawakan muzik lebih keras berbanding 'heavy rock' sebagai 'heavy metal.'

5. Pop

muzik pop zaman sekarang

Sebut muzik pop, kita pasti akan membayangkan lagu-lagu yang kerap kali dimainkan di radio serta mempunyai melodi yang ringan, mudah untuk diingati. Tidak terlalu sukar untuk difahami, tidak terlalu banyak komplikasi untuk diikuti.

Bagaimanapun, pada asalnya, sebarang genre muzik tak kiralah balada, rock, reggae, hip hop dan apa saja genre lain - asalkan lagu itu popular, sebenarnya layak dikategorikan sebagai muzik 'pop.' Kerana pop adalah singkatan kepada popular!

Hanya selepas berlakunya perubahan citarasa serta peningkatan populariti pelbagai jenis genre berbeza yang memerlukan pengkhususan genre lebih jelas dilakukan - lagu 'popular' mula dikelaskan sebagai pop, mewakili lagu yang direka untuk menarik minat seramai mungkin pendengar secara am, mempunyai durasi tidak lebih 3 minit setengah serta lirik yang ringkas dan beritma.

Penerbit muzik mula mensasarkan penghasilan karya yang dirasakan bakal diminati golongan anak muda, jadi produser akan menghasilkan lagu dan karya mengikut trend pada era tersebut yang diringkaskan penyampaiannya - agar lagu yang terhasil mempunyai capaian lebih besar berbanding lagu-lagu yang khusus condong dalam satu genre tertentu.

Dalam zaman sekarang, muzik 'pop' kebiasaannya merujuk kepada artis-artis terkenal yang kebiasaannya mengungguli carta Billboard tetapi 'pop' itu sendiri sebenarnya tidak lah secara hakikatnya merujuk kepada genre, sebaliknya merujuk kepada jenis muzik apa yang 'trending' ketika itu.




Hakcipta iluminasi.com (2017)