Bagaimana sesebuah lagu dihasilkan?
Setiap pengkarya mempunyai kaedah yang berbeza dalam mencipta sesuatu lagi jadi apa yang membezakan mereka adalah teknik yang mereka gunakan. Komposer terkenal Mozart mampu mendengar sesebuah simfoni dalam kepalanya, John Lennon menggunakan peralatan seperti pensil untuk menghasilkan lagu dan penyanyi kumpulan Spiritualized, Jason Pierce yang menyanyikan dahulu bahagian orkestra kepada perakam audio.
BESARKAN TEKS A- A+
Ramai pasti tahu lagu-lagu nyanyian Michael Jackson, tapi tahukah anda bagaimana lagu-lagu tersebut dihasilkan?
Michael bukanlah seorang yang berkemahiran dalam bidang teori muzik. Dia tidak mempunyai pendidikan muzik jadi dia tidak mampu menulis atau membaca notasi muzik. Kemahiran dia bermain instrumen juga tidaklah sehebat mana walaupun dia mampu bermain beberapa jenis instrumen, seperti yang tertera dalam kredit albumnya, HIStory.
Bagaimana Michael Jackson mencipta muzik? Tidak ramai yang tahu bagaimana sehinggalah Michael Jackson dituduh melakukan plagiat oleh seorang komposer bernama Crystal Cartier dalam album 'Dangerous' beliau.
Dalam perbicaraan mahkamah tersebut, Michael perlu menjelaskan bagaimana penghasilan lagu-lagu dalam album tersebut dibuat untuk membuktikan tidak wujud unsur plagiat.
Oleh kerana tiada pendidikan formal dalam muzik, Michael Jackson akan menyanyikan sendiri secara beatboxing setiap satu instrumen yang diperlukan dalam setiap lagunya sebagai demo lagu tersebut. Dengar video di bawah untuk tahu prosesnya secara menyeluruh.
"Saya hanya nyanyikan bahagian bass lagu tersebut ke perakam audio, kemudian meletakkan irama ke atas bass yang dibuat secara beatboxing untuk mencipta lapisan-lapisan audio," kata Michael menjelaskan bagaimana lagu 'Billie Jean' dicipta. "Dalam lagu Billie Jean, ada 4 lapisan bass yang berbeza dan bertugas memberikan watak pada lagu tersebut."
Rob Hoffman, seorang jurutera bunyi yang bertugas merakamkan lagu Michael menyifatkan proses bekerja dengan Michael dengan cara berikut;
"Dia akan datang dengan sebuah lagu yang baru ditulis semalam. Kemudian kami akan panggil pemain gitar. Michael akan menyanyikan tiap-tiap note pada setiap kord yang dia perlukan. Ini note pertama, kedua, ketiga dan seterusnya. Selepas pemain gitar dapat mengenal pasti note mana yang diperlukan, Michael akan menyanyikan lagu tersebut secara langsung di situ juga."
"Untuk bahagian orkestra pun sama. Dia akan menyanyikan semua bahagian. Semua ada dalam kepala dia dan dia perlu menerangkan kepada bahagian orkestra satu per satu note muzik yang diperlukan jadi pemuzik bertugas untuk mendapatkan note yang dia nyanyikan."
Bila Michael sendiri ditanyakan bagaimana dia menulis lagu oleh pihak mahkamah, dia hanya mampu berkata yang "semua lirik, susunan, kord, nota, bunyi, datang dalam kepala saya seolah diletakkan dan begitulah apa yang saya dengar."
Ada pengkarya yang memerlukan dia duduk dengan instrumen untuk mendapatkan karya, tetapi bagi Michael apa yang diperlukan adalah suara beliau. Selalunya Michael akan bekerja dengan 5 lagu setiap masa dan itu juga sesuatu yang sangat mengkagumkan.
Bagi seseorang yang tidak ada pendidikan formal muzik serta tidak mampu membaca nota muzik, kemahiran Michael melahirkan lagu-lagu pop yang masih kekal relevan sehingga sekarang sebenarnya membuktikan yang dia memang mempunyai bakat yang cukup menakjubkan.
Apabila ditanya dalam mahkamah, adakah Michael Jackson merasakan kemahiran menguasai teori muzik satu perkara yang penting, dengan tenang Michael menjawab - "tidak. Ia bukan satu kemestian."
Itu patut jadi satu inspirasi kepada kita semua.
Diolah semula dari artikel asal The Incredible Way Michael Jackson Wrote Music