Oleh pada 07 Mar 2023 kategori

Karya lagu merupakan hasil seni ciptaan manusia yang mampu berusia panjang, khususnya karya yang dinobatkan lagu klasik.

Bagaimanapun, bukan semua lagu klasik menyimpan mesej yang kekal relevan seiring perubahan zaman. Majoriti lagu klasik bermesej universal seperti cinta dan perasaan mempunyai isi yang boleh diwarisi generasi ke generasi.

Ada juga lagu klasik terkandung di dalamnya mesej yang digarap berdasarkan era penerbitannya, membuatkan lagu-lagu sebegini agak janggal didengar, jika kita  benar-benar cuba menghadam isi kandungannya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut 5 lagu klasik Malaysia yang tetap diminati, tetapi sukar dihayati kerana perubahan masyarakat kita.

1. "Hanya di Radio" - Headwind

hanya di radio headwind

Dalam zaman di mana bekas menteri mampu bertukar karier menjadi seorang DJ radio, kami andaikan sukar untuk generasi muda yang tak mengalami era di mana radio menjadi saluran media utama, mampu membayangkan mesej sebenar susah payah yang diceritakan lagu kumpulan Headwind ini.

Hanya di radio
Aku bayangkan dirimu itu
Secantik-cantik manusia
Dan semolek-molek pekerti

Artis dan DJ yang popular era sekarang juga mendapat pendedahan yang sangat meluas, bukan saja dalam media massa bahkan kita mampu berkomunikasi dengan mereka secara terus menerusi media sosial.

Tak perlu lagi kita bergantung kepada imaginasi untuk membayangkan bagaimana rupa suara yang kita dengari di radio. 

2. "Tiara" - Kris

puteri gunung ledang tiara jacquelina

Gambar Puan Sri Tiara Jacquelina sekadar hiasan

Walaupun lagu 'Tiara' dendangan kumpulan Kris merupakan antara karya terbaik dicipta Dato' M. Nasir, malangnya mesej lagu ini sudah agak tidak selari dengan zaman sekarang.

Engkau jauh meniti puncak menara gading
Yang menjanjikan hidup sempurna
Tapi aku hanya, tunduk ke bumi
Hidup tertekan

Si gadis dikatakan bakal berjaya kerana melangkah ke universiti (menara gading) - sedangkan kita tahu masalah pengangguran di kalangan graduan Malaysia sedang meningkat.

Kadar kebolehpasaran graduan kita juga sedang mengalami pola menurun sejak tahun 2020.

Nasib jejaka dalam lirik lagu ini yang merendah diri kerana terpaksa berbakti dengan tanah, dek tidak berjaya melanjutkan pelajaran nyata satu telahan silap juga.

Pertanian kini merupakan antara cabang keusahawanan yang sedang diangkat semula sebagai fokus ekonomi negara. Besar kemungkinan si jejaka yang lebih berjaya, kerana perusahaan pertanian beliau membantu meningkatkan bank makanan kita.

3. "Kita 1 Malaysia" - Pelbagai

kita 1 malaysia relevan

Perubahan kerajaan Malaysia dalam tempoh 1 dekad ini seakan kerap berlaku kan? Setiap kali naik satu kerajaan, pemimpin itu akan memperkenalkan slogan baru lengkap dengan lagu yang mewakili identiti dasar tersebut.

Salah satu lagu paling popular memiliki sifat ini adalah lagu 'Kita Satu Malaysia' yang dijulang semasa era pentadbiran PM ke 6. Namun selepas tumbangnya pentadbiran beliau, lagu ini terus dianak tirikan.

Apatah lagi selepas tersabitnya kes mahkamah melibatkan beliau.

Apa yang patut kita belajar daripada nasib lagu ini?

Lagu bersandarkan dasar kerajaan yang diangkat sebagai lagu rakyat, sukar bertahan dek tekanan pentadbiran baru. Sebaiknya, kita harus memperbanyakkan lagi lagu bertemakan kenegaraan yang neutral seperti 'Sejahtera Malaysia'; karya-karya yang bersifat universal dan mampu kekal relevan walaupun pemerintah bersilih ganti.

4. "Sekuntum Bunga Sakura di Gurun Sahara" - Mega

sekuntum bunga sakura di gurun sahara

Tidak dapat dinafikan lirik puitis dan melodi yang mengasyikkan menjadikan lagu Sekuntum Bunga Sakura di Gurun Sahara dendangan kumpulan Mega, menjadi salah sebuah lagu trademark rock kapak Melayu.

Walau bagaimanapun kajian sains berasaskan AI yang dilaporkan pada tahun 2020, telah berjaya menganggar jumlah pokok yang ada di kawasan gurun tersebut dengan jumlah melebihi 1.8 bilion pokok, sebenarnya sedang hidup di kawasan kering itu.

Engkaulah sekuntum bunga sakura
Mekarmu di tempat indah dan dingin
Dan aku bagaikan padang pasir di Gurun Sahara
Oh panas dan kering tiada apa nak ku bangga

Hasil kemajuan teknologi pertanian juga membuktikan pokok sakura yang sebenarnya adalah keluarga pokok buah ceri, mampu ditanam di kawasan-kawasan gurun. 

Dalam erti kata lain, ada kemungkinan besar pokok sakura boleh ditanam di kawasan gurun dan realitinya, kawasan gurun tidaklah setandus yang digambarkan dalam lagu ini.

5. "Seloka Cinta Remaja" - Seha

pasangan bersama di taman bunga

Dulu-dulu semasa kemuncak populariti lagu dari vokalis Seha ini, mak penulis cukup tak suka penulis menyanyikannya.

Tetapi bila lagu ni dah 'tular' dan 'trending', memang keraplah lagunya akan diputarkan di radio membuatkannya melekat di kepala. Melodinya pun mudah diingati. Kita yang masih mentah mudahlah terikut-ikut.

Bila dah besar barulah kita faham kenapa.

Keseluruhan lagu ini walaupun ada terselit unsur nasihat, sebenarnya juga boleh dilihat seolah mempopularkan kelakuan kurang enak golongan remaja di tempat sunyi. 

Bergoyang-goyangan dahan
Dari pohon-pohonan
Ada yang berjanji-janjian
Ada rindu-rinduan semakin terang rembulan
Semakin rancak adegan

Mungkin zaman sekarang masih ada pasangan muda-mudi yang bercengkerama di bawah sinaran bulan purnama, tetapi kami yakin kesedaran masyarakat kita dalam memerangi maksiat sudah lebih tinggi berbanding dulu.

Kita pun dah kurang mempopularkan lagu tempatan yang menjulang perbuatan maksiat kan?

Ke penulis ada terlepas pandang?




Hakcipta iluminasi.com (2017)