Oleh pada 10 Jun 2017 kategori

Setiap kali bulan Ramadan, kita akan mula mencari koleksi lagu-lagu raya kita untuk dipasang pada bulan Syawal nanti. Bagaimanapun, banyak juga sebenarnya koleksi-koleksi lagu bertaraf evergreen yang berkait tentang bulan Ramadan.

Berikut adalah 5 lagu terbaik tentang Ramadan berbahasa Melayu yang menjadi pilihan kami di Iluminasi. Suarakan pilihan anda dalam ruang komen jika anda mempunyai cadangan yang anda rasakan turut sama sesuai untuk dikongsikan bersama.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. 'Harapan Ramadan' nyanyian kumpulan Raihan dan Man Bai

Dengan paluan gendang yang minima serta muzik yang menenangkan, dipayungi suara Man Bai yang unik berlatar belakangkan harmoni kumpulan Raihan, lagu ini adalah antara lagu yang dapat menyentuh perasaan pendengar selain dari mampu membuat pendengar turut sama menuruti bait-bait lirik yang cantik nukilannya.

2. 'Lailatul Qadar' nyanyian kumpulan Raihan

Hebat lagu ini. 'Lailatul Qadar' bukan hanya sekadar hiburan untuk mengimbau sesuatu yang bersifat nostalgia semata-mata, lagu ini juga sebenarnya mendidik kita untuk memahami apa itu malam 'Lailatul Qadar' dan bagaimana kita boleh mengecap nikmat malam tersebut. Tahniah pada kumpulan Raihan kerana berjaya membuktikan dakwah dan pendidikan mampu datang dalam bentuk menghiburkan.

3. 'Ramadan dan Syawal' nyanyian Ramli Sarip

Legenda rock negara, Ramli Sarip menunjukkan kemampuan vokalnya yang power dalam lagu bertemakan puasa dan raya ini. Diiringi tiupan seruling, paluan gendang dan petikan gitar akustik yang mendamaikan jiwa, vokal Ramli Sarip yang terkenal dengan tarik seraknya, menjadikan lagu ini salah satu lagu wajib Ramadan dan juga Syawal.

4. 'Ramadan' nyanyian Maher Zain

Kerap diputarkan di radio ketika kemuncak populariti Maher Zain di Malaysia, 'Ramadan' merupakan satu lagu yang menyentuh jiwa pendengarnya kerana melodi sedih digabungkan dengan lirik yang memaparkan betapa rindunya seseorang itu pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan. Vokal Maher Zain yang mendayu-dayu mampu membuatkan sesiapa pun mengambil telefon untuk menelefon ibu bapa yang disayangi.

5. 'Ramadhan Tiba' nyanyian Opick

Penyanyi Indonesia, Opick menampil lagu Ramadan yang bertenaga dan agak catchy berbanding lagu-lagu yang ada dalam senarai kami ini. Apa yang kami tahu, menyebut 'RAMADAN TIBA!' dan 'MARHABAN YA MARHABAN!' berulang kali secara kuat mampu membuatkan puasa jadi tak penat.


Itulah dia 5 lagu tentang Ramadan yang kami rasakan terbaik untuk dijadikan alunan sepanjang kita menjalankan ibadan puasa. Anda ada lagu lain yang anda rasa boleh dikongsikan?




Hakcipta iluminasi.com (2017)