Penghasilan karya lagu seringkali membawakan tema cinta dan perasaan di dalam mesejnya. Namun ada ketikanya lagu-lagu luar biasa yang membawa tema jauh lari daripada kebiasaan seperti mesej menjaga alam sekitar.
Lagu-lagu bertemakan persekitaran merupakan satu kelaziman dalam terbitan muzik antarabangsa, sayangnya lagu sebegini mungkin kurang permintaannya sehinggakan kurang juga usaha penerbitannya dilakukan. Walaupun begitu karya berbahasa Melayu yang menampilkan tema sedemikian tetap ada.
BESARKAN TEKS A- A+
Berikut adalah lapan buah karya berbentuk lagu yang membawa kepada mesej kecintaan alam, yang semakin hari semakin rosak dipunahkan tangan manusia yang alpa.
1. Damai - Nowseeheart
Inilah satu-satunya lagu dari kumpulan nasyid dalam senarai ini. Gabungan alunan nasyid dan muzik Latin membuatkan lagu ini senang didengar oleh setiap golongan. Percubaan mencampur adukkan alunan muzik oleh kumpulan Nowseeheart ini wajar dipuji.
Dicipta pada tahun 2002, sesiapa sahaja yang masih belajar di sekolah atau institusi pengajian tinggi ketika ini pasti pernah mendengar lagu ini. Nowseeheart adalah sekumpulan bekas pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Lumpur. Lagu ini juga boleh dikatakan sebagai seruan dakwah mereka kepada masyarakat untuk mencitai alam sekitar.
2. Hitam Putih Kehidupan - Sheila Majid
Hitam Putih Kehidupan merupakan lagu di dalam album kompilasi penyanyi yang terkenal iaitu Sheila Majid, Sharifah Aini, Sudirman Haji Arshad, Azlina Aziz, Jay Jay dan ramai lagi. Album kompilasi ini merupakan terbitan EMI bersama Jawatankuasa Album Anti Dadah (ANDA) yang dikeluarkan pada tahun 1987.
Lagu ini juga sebagai usaha untuk memerangi gejala dadah pada masa itu dan mendapat sokongan daripada Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datin Seri Dr. Siti Hasmah (kini bergelar Tun).
Gambar belakang Mael dan Izo XPDC sekadar hiasan
Walaupun lirik lagu ini tidak mengandungi banyak cerita mengenai alam sekitar, namun kami sertakan juga di dalam senarai ini. Jika diperhatikan pada bait-bait lirik lagu ini, boleh difahami lagu ini menyeru anak muda yang rosak akhlaknya angkara dadah untuk kembali kepada fitrah asal dan melihat keindahan alam serta kebesaran tuhan.
3. Oolala Tropika - Luciana Francissca Peter
Mungkin ramai tidak mengenali Luciana Francissca Peter (lahir 6 September 1961) anak kelahiran Klang Selangor yang pernah popular suatu masa dulu. Anak kepada askar British yang bertugas di Malaya ini juga adalah penulis lirik lagu yang cukup hebat.
Lagu Oolala Tropika adalah ciptaan Manan Ngah manakala S. Amin Shahab sebagai penulis lirik. Sesiapa yang mendengar lagu ini pasti dapat mengimbau kembali kenangan lalu tidak kiralah berjalan-jalan di pantai bersama keluarga atau bersama rakan-rakan sekampung.
Tak pernah jemu dengar lagu kak Francisca. Berkali-kali tukar handphone pun, tetap masukkan balik lagu Francisca. Lagu tropika ni aku dengar dari zaman sekolah rendah lagi.
Tengah masak kat dapur buka lagu ni terus memekak aku nyanyi. Feeling nak ada suara macam kak Fran. haha. Masak pun jadi laju tau. Sebab lagu ni naikkan semangat saya.
Terima kasih kak Fran sebab hadiahkan saya suara yang sangat merdu dengan nyanyian lagu yang sedap didengar dan disemat erat dalam jiwa.
Begitulah antara komen pengguna youtube bernama Syamil Syalif di video lagu Oolala Tropika. Penulis juga sependapat dengan beliau. Lagu ini amat nostalgik.
4. Pusaka Rimba - Ziana Zain & Dayang Nurfaizah
Diterbitkan dalam tahun 1999, lagu 'Pusaka Rimba' pada pengenalannya menggabungkan penyanyi wanita ikonik Ziana Zain serta seorang pendatang baru ketika itu bernama Dayang Nurfaizah yang mempunyai kemampuan vokal yang tak kurang hebatnya.
Lagu tersebut yang ditulis oleh Azlan Abu Hassan bersama Azalea membawakan rentak R&B, menjadi single kedua kepada sebuah album kompilasi yang diberikan judul 'Jelita Hebat'.
Walaupun mungkin tidak sepopular lagu-lagu lain dalam senarai ini, lagu ini tetap mendapat sambutan baik peminat tempatan, berjaya memasuki carta 10 teratas stesen radio tempatan serta tercalon sebagai salah satu lagu terbaik Anugerah Industri Muzik bagi tahun 2000.
5. Indahnya Alam - Sudirman
Salah satu keistimewaan Allahyarham Sudirman Haji Arshad yang ada dan masih belum dapat ditiru oleh mana-mana karyawan tempatan, adalah fokus karya beliau yang sangat mengutamakan tema-tema kehidupan dalam liriknya.
Salah satu karya klasik nyanyian beliau adalah lagu ringkas 'Indahnya Alam' yang diterbitkan kali pertama dalam album 'Abadi' terbutan tahun 1982. Uniknya 'Abadi' merupakan projek unik Allahyarham di mana dia hanya menumpukan kepada penghasilan lagu bertema patriotik.
Digarap sepenuhnya oleh komposer Indonesia, R. Maroeti, liriknya yang mudah diiringi oleh muzik keroncong yang ringkas membolehkan sesiapa saja menyanyikannya.
6. Hijau Bumi Tuhan - XPDC
Cubaan kumpulan XPDC untuk membawa satu karya yang lari temanya berbanding lagu-lagu biasa mereka, harus dipuji. Apa yang lebih membanggakan, karya yang terhasil juga menjadi antara lagu klasik yang menceritakan tentang pentingnya alam sekitar kepada kita.
Dimuatkan dalam album ketiga kumpulan lejen ini 'Kita Peng-Yu', 'Hijau Bumi Tuhan' merupakan sebuah karya santai yang bukan saja bercakap dengan pendengarnya tentang alam, malahan turut sama bercerita tentang hubungan manusia, alam dan Penciptanya.
Lagunya direka sendiri oleh Izo XPDC dan liriknya pula di Zul Adnan Razali atau JS Kevin, mempunyai rentak yang santai serta petikan gitar solo yang cukup menjentik jiwa. Dengarkan lagu ini semasa memandu dalam hujan, dia punya feel tu....memang makan dalam.
7. Hijau - Zainal Abidin
Lagu yang menjadi standard kepada karya bertemakan alam sekitar yang sudah berusia berdekad lamanya, kupasan lagu 'Hijau' memang unik kedudukannya.
Penggunaan loghat dan dialek tempatan dalam lirik serta adunan irama dunia yang tidak terjerat hanya dalam satu genre muzik, membuatkan lagu ini berkemungkinan akan terus segar sepanjang zaman.
Anehnya, penciptaan lagu ini pada awalnya merupakan satu keputusan yang sukar diambil, disebabkan oleh kebimbangan pasukan produksi serta Zainal Abidin sendiri tentang penerimaan lagu dan karya sebegini oleh masyarakat.
Dicetuskan oleh rasa bimbang Zainal melihat keadaan sungai yang ada di sekitar Kuala Lumpur, penerbit Roslan Aziz yang dibantu penulis dan pencipta lagu Mokhlis Nor cuba membawakan lagu yang malar dalam merencanakan kebimbangan Zainal sebagai satu pesanan kepada generasi masa depan.
Kini 'Hijau' terus dirujuk sebagai karya utama apabila kita bercakap tentang alam dan kepentingan pemuliharaannya, kekal menjadi siualan baik muda, tua dari generasi ke generasi seterusnya.
8. Keindahan Alam - Flybaits
Tak banyak lagu mampu membuatkan penulis merasa seperti pulang ke kampung halaman, di kelilingi pokok dan rimba di sekeliling. Jadi lagu 'Keindahan Alam' nyanyian kumpulan dari Singapura, Flybaits duduk dalam ruang yang istimewa dalam diri penulis.
Kerap dimainkan beberapa dekad dahulu di stesen TV kendalian kerajaan, 'Keindahan Alam' merupakan sebuah karya yang mencerminkan identiti muzik Flybaits yang unik, agak funky dari segi melodinya serta memperdengarkan pelbagai instrumen serentak dalam satu-satu masa.
Lagu ini dimuatkan dalam album pertama kumpulan Flybaits 'Mempersembahkan.." yang dilancarkan pada tahun 1980 di Malaysia, menjadi antara karya yang mendapat sentuhan sifu M.Nasir ketika itu yang bertindak sebagai pembantu produksi.