Kemunculan trend pendengar yang lebih gemar mendengar menggunakan penstriman atas talian seperti Spotify dan kemudahan akses video muzik melalui Youtube, mengubah cara dan penerimaan orang ramai terhadap muzik.

Tidak dinafikan wujud ramai artis dan karyawan di negara kita yang sebenarnya setanding dengan mana-mana karyawan lain di dunia ini, mampu menjadi ikon oleh generasi karyawan akan datang.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Jika anda tanya pada kami apakah album muzik yang paling berpengaruh dalam mengubah lanskap muzik negara kita - besar kemungkinan 10 album yang disenaraikan di bawah akan disebutkan. Ini bukan senarai mengikut turutan ya!

1. "Legenda" oleh Sheila Majid (1990)

sheila majid legenda iluminasi album 10 album

Gabungan suami isteri (ketika itu) di antara Sheila Majid dan Roslan Aziz, komposer power Malaysia berjaya mengubah lanskap muzik Malaysia, dimana orang ramai mula meminati lagu-lagu bercorak klasik yang menggabungkan jazz dan R&B.

Lagu berhantu "Legenda" yang dibuat sebagai penghormatan kepada Tan Sri P.Ramlee menjadi siulan ramai peminat muzik ketika itu.

2. "Zainal Abidin" oleh Zainal Abidin (1991)

zainal abidin album iluminasi album 10 album malaysia

Selepas "Legenda", Roslan Aziz serta beberapa orang komposer terkenal seperti Jenny Chin, Mac Chew, Mustaffa Ramly, Man Kidal, Michael Veerapan dan Amir Yussof bergabung untuk menghasilkan album yang diharap dapat memecahkan stereotaip industri era tersebut.

Industri muzik berbahasa Melayu era tersebut masih terpalit dengan elemen cinta mendayu-dayu, dikuasai oleh kumpulan 'slow rock kapak' yang seringkali mengulangi mesej sama.

Lagu 'Hijau' sehingga sekarang kekal relevan dengan gabungan elemen dan muzik etnik Malaysia. Siapa sangka lagu tentang kepentingan menjaga alam sekitar boleh berjaya ke satu tahap yang sangat membanggakan?

3. "Transcendence" oleh Butterfingers (1998)

butterfingers iluminasi album 10 album transcendence malaysia

Jika ditanya kepada peminat Butterfingers, mungkin ramai akan berkata 'Butter Worth Pushful' merupakan album yang mengubah hidup mereka - tetapi 'Transendence' memang menepati namanya.

Album ini memulakan penerimaan orang ramai yang bukan peminat muzik rock berbahasa Inggeris menjadi peminat kugiran Melayu yang bermain muzik rock berbahasa Inggeris.

Dengan meletupnya 'Chemistry (Between Us)' dan juga 'Epitome' yang menggabungkan elemen asli dalam muzik rock, 'Transcendence' berjaya memecahkan dinding yang menjadi pemisah muzik keras berbahasa Inggeris dengan masyarakat luar.

4. "Innuendo" oleh Innuendo (1997)

innuendo iluminasi album 10 album malaysia

Merangkul pelbagai anugerah dalam AIM 1998, album ini mungkin lebih dikenali dengan gubahan semula lagu 'Belaian Jiwa' nyanyian asal kumpulan Carefree.

Namun bila kita menyelam lebih dalam, banyak lagu-lagu yang terkandung dalam album ini belum pernah dibuat lagi di Malaysia oleh mana-mana artis ketika itu.

Populariti Innuendo dan rakan kontemporari mereka Shades membawa kepada kemunculan banyak lagi kumpulan a capella lain yang mencuba nasib, membuatkan radio kita penuh dengan lagu-lagu yang dinyanyikan sepenuhnya dengan mulut.

5. "Old Automatic Garbage" oleh OAG (1994)

oag iluminasi album 10 album malaysia radhi qi

Terjual hampir 100 ribu unit, demam OAG satu masa dulu cukup besar kerana tak ada orang menyangka 'budak-budak Malaysia' mampu mencipta lagu seperti ini, untuk orang Malaysia.

Single '60'sTV' kedengaran setiap hari di radio dan jualan kasetnya meletup sehinggakan jualan cetak rompaknya wujud hanya untuk memenuhi permintaan.

OAG memulakan pelbagai trend baru, mempopularkan lagu pop rock tempatan keluar daripada label 'underground' seterusnya menginspirasikan ramai anak muda untuk belajar bermain gitar, dibantu oleh teknik bermain yang ringkas tetapi bertenaga.

6. "Plan B" oleh Too Phat (1997)

too phat iluminasi album 10 album malaysia plan b

Malique dan Joe Flizzow mungkin tidak lagi bersama namun kesan karya mereka kepada negara sehingga kini masih dirasai.

'Plan B' bukanlah album pertama rap dan hip hop di Malaysia yang terlebih dahulu dipopularkan oleh kumpulan lain seperti Krash Kozz atau Poetic Ammo, namun gabungan elemen Malaysia dalam 'Plan B' lebih dirasai - membuatkan orang Malaysia yang selama ini tak pernah dengar hip hop dan rap, dapat menerima irama muzik ini.

4U2C dan KRU memperkenalkan muzik rap tempatan kepada orang Melayu, tetapi Too Phat berjaya mengangkat genre serupa untuk selera orang Malaysia.

7. "Saudagar Mimpi" oleh M.Nasir (1992)

iluminasi album 10 album m nasir saudagar mimpi

'Saudagar Mimpi' bukanlah album M.Nasir yang paling popular, tetapi album ini cukup penting kerana membuka jalan kepada keterbukaan orang ramai untuk menerima muzik M.Nasir yang jauh lari daripada stereotaip muzik popular.

Mesej ketuhanan, falsafah, logika dan hidup yang disampaikan jauh menyimpang daripada tema-tema kebiasaan lagu pada zaman itu yang lebih berkisar kepada cinta, kekasih, mat bunga dan dalam hati ada taman.

Lagu 'Di Balik Cermin Mimpi' yang agak ringan menjadi runut hidup kepada ramai orang Malaysia dan 'Apokalips' yang rancak, menjadi pembuka album yang layak dikatakan klasik.

8. "Puji-Pujian" oleh Raihan (1996)

raihan iluminasi album 10 album malaysia puji pujian

Buang semua elemen agama dan mesej ketuhanan dalam album ini lalu dengarkan saja muziknya, kita pasti dapat mendengar sebuah album yang mengandungi muzik yang positif; mampu didengari semua orang.

Gabungkan elemen Islam dalam liriknya, wujudlah satu pakej hiburan dan dakwah yang lengkap.

Album ini membuang kebanyakan stereotaip lagu nasyid yang ada pada zaman itu serta membuka mata masyarakat bukan Islam terhadap keindahan Islam.

Apa yang lebih membanggakan, penerimaan masyarakat kita terhadap album ini bersifat universal, di mana kisah-kisah masyarakat bukan Islam turut sama memiliki album ini seringkali dikongsikan semasa kegemilangannya.

9. "Fenomena" oleh Search (1989)

search fenomena iluminasi album 10 album malaysia

"Fenomena" meletup bukan sekadar di Malaysia, malahan membuka mata karyawan Indonesia tentang berapa jauh lagu rock Bahasa Melayu boleh berkembang.

Terjual lebih 1 juta unit di Indonesia dan memenangi anugerah Juara Lagu menerusi lagu 'Isabella', pada era itu seolah-olah wujud ikatan erat antara Malaysia dan Indonesia bekerjasama dalam bidang hiburan.

Diinspirasikan oleh 'Fenomena', dua filem dihasilkan iaitu 'Fenomena' lakonan M.Nasir dan Ramona Rahman serta 'Isabella' lakonan Amy Search dan Nia Zulkarnaen dari Indonesia.

10. "30110" oleh Ella (1992)

ella 30110 iluminasi album 10 album malaysia

Album ini mengandungi salah satu karya terbaik komposer Saari Amri, lagu berjudul 'Sembilu' yang rasanya hanya boleh dinyanyikan oleh kemampuan vokal serak-serak Ella.

Negara kita dihantui dengan lagu 'Layar Impian' yang masih enak didengar sehingga sekarang.

Jika dibandingkan dengan album 'Ella USA' yang terbit selepas '30110" harus diakui 'Ella USA' adalah album yang lebih baik, tetapi '30110' memecah stereotaip, membawa gabungan rock dan pop dalam satu album dengan berkesan.

Apatah lagi Ella menjadi antara kelompok kecil rockers wanita mampu berdiri dalam industri sebagai gergasi.




Hakcipta iluminasi.com (2017)