Oleh pada 12 Jul 2022 kategori

Menyertai sebuah kugiran muzik sebagai seorang profesional menjadi impian ramai pemuzik di luar sana. 

Namun bukan semua kumpulan muzik mampu bertahan dengan barisan asalnya walaupun sudah mengecapi kemuncak populariti. Isu seperti perbalahan, masalah dalaman dengan pengurusan, kurang senang dengan hala tuju kumpulan ataupun nak menumpukan masa dengan keluarga menjadi hujah utama sering kedengaran.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ada kumpulan yang hilang vokalis utamanya lalu terus berpecah. Ada juga kumpulan rock tempatan yang terus berjaya walaupun penyanyi asalnya bertukar, seterusnya mengubah identiti asal bunyi karya mereka.

1. Kumpulan Mega

zarith vokalis mega

Mega merupakan sebuah kumpulan rock yang muncul pada tahun 1988, melancarkan album pertama mereka diberikan judul 'Mega', bersama penyanyi asal mereka Zarith yang mempunyai suara cukup memukau.

Album tersebut meletup dengan jualan 80,000 ribu unit disebabkan oleh lagu hits 'Sekuntum Bunga Sakura di Gurun Sahara' garapan S. Amin Shahab dan M. Nasir, serta lagu 'Pasti' ciptaan komposer Saari Amri, menjadi album pertama dalam karier komposer karya beliau diterbitkan.

rahmat mega

Selepas kontrak Zarith tamat, vokalis baru kumpulan Mega iaitu Rahmad terpilih. Kemunculan Rahmad dengan suara yang lebih merdu, terkawal tetapi agak kurang rock - mengubah identiti nyanyian kumpulan Mega tetapi peminat tetap menerima baik perubahan itu, kerana suara Rahmad memang power.

Mega kekal popular, berjaya memenangi anugerah Juara Lagu tahun 1991 menerusi lagu 'Takdir dan Waktu' serta meninggalkan sebuah lagi lagu klasik iaitu 'Bayangan Gurauan' pada tahun 1993.

Kini Mega masih aktif, kembali bergabung dengan Zarith sementara Rahmad pula lebih sibuk menguruskan perniagaan.

2. Kumpulan Exist

kumpulan exist mamat

Bagaimana hendak menggantikan seorang penyanyi yang sangat ikonik seperti Mamat? Di awal kemunculan kumpulan Exist, Mamat adalah wajah kepada kumpulan terkenal ini semasa kemunculan mereka sebagai sebuah kumpulan muzik remaja.

Mamat menambat hati semua pihak dengan alunan merdu lagu 'Untukmu Ibu', lagu yang masih mampu mengalirkan mata air mata sesiapa saja yang mendengarnya. Selepas percanggahan berkenaan kontrak dengan syarikat rakaman, Mamat dan Exist terpaksa membawa haluan masing-masing. 

Beliau bergerak sebagai seorang artis solo dan Exist perlu mencari vokalis baru. Uniknya, kisah pencarian ini berkait dengan Rahmad dari kumpulan Mega yang menemui seorang penyanyi bernama Ezad semasa pertandingan Bintang RTM di Kedah. 

Dia mula menjalani proses ujibakat dengan Exist atas bantuan Rahmad, berjaya menambat hati ahli kumpulan tersebut dan syarikat rakaman mereka seterusnya menjadi vokalis baru Exist.

kumpulan exist dengan ezad

Exist mencatat lebih banyak kejayaan baru bersama Ezad. Banyak lagu klasik Exist menampilkan Ezad sebagai vokalis utamanya seperti 'Masih Terserlah Ayumu', 'Alasanmu', 'Mengintai Dari Tirai Kamar', 'Kapal Terbang Kertas', 'Jesnita', 'Mama Tolonglah Percaya', 'Percayakan Siti' dan sudah pastilah 'Dirantai Digelangi Rindu', salah satu lagu wajib Exist.

Peminat asal Exist mungkin akan terus memperdebatkan perbandingan di antara Mamat dan Ezad, tetapi jelas penyertaan Ezad benar-benar melonjakkan Exist ke satu tahap lebih tinggi.

3. Kumpulan Wings

wings awie rock

Cerita pasal kumpulan Wings, pasti ramai yang akan terus mengaitkan vokalis legenda kumpulan ini Awie - yang kini tampak turut selesa sebagai seorang pelakon komedi yang disegani.

Pengaruh vokal Awie sebagai suara utama kumpulan ini nyata sukar digugat kerana identiti Wings sangat berkait rapat dengan kekuatan lontaran suara beliau. Selepas menerbitkan 6 buah album dari tahun 1987 sehingga tahun 1993, Awie dan Wings memilih haluan berlainan. 

vokalis mel wings

Kehilangan vokalis yang ikonik, diakui sukar untuk Wings menggantikan Awie. Tetapi kemunculan Ismail bin Zainuddin atau Mel sangat membantu. Ini kerana kualiti vokal beliau cukup mengkagumkan, layak dikatakan mampu mengisi lompong kosong peninggalan Awie.

Hanya menerbitkan satu album bersama Wings diberikan judul 'Orang Asing' pada tahun 1995, 3 lagu dendangan Mel iaitu 'Ranjang Mawar', 'Lena Diulit Intan' dan 'Semalam Yang Hangat' memukau peminat - menutup luka peminat akibat perpecahan anggota Wings.

4. Kumpulan XPDC

xpdc mael kumpulan rock brutal

Di antara banyak kontroversi berkenaan penggantian vokalis asal sebuah kumpulan rock gergasi tempatan, kisah bagaimana vokalis kumpulan XPDC mungkin adalah yang paling kecoh - kerana peminat kumpulan XPDC ramai yang lantang-lantang suaranya.

Dalam era di mana internet masih baru nak bertatih di Malaysia, diskusi berkenaan nasib kumpulan ini dan masalah mereka ibarat isu tular zaman sekarang.

XPDC naik bersama vokalis Mael menerusi empat buah album yang angka jualannya boleh dikatakan antara tertinggi dalam pasaran kita. Menerusi lagu klasik seperti 'C.I.N.T.A', 'CT Cinta Kenangan Silam', 'Hijau Bumi Tuhan' dan album klasik 'Brutal' yang banyak menampilkan lagu hits - imej XPDC tidak boleh lari dari bayangan Mael.

Mael memilih untuk mengundurkan diri ekoran masalah peribadi, mengakibatkan perjalanan kumpulan itu yang pada waktu tersebut berada dalam kemuncak kerjaya, tergendala.

Usaha untuk menggantikan Mael mendapat reaksi banyak pihak dan situasi menjadi hangat, selepas Ali bin Ismail bekas vokalis kumpulan Terra Rossa diumumkan sebagai pengganti Mael. Rata-rata peminat fanatik enggan mengiktiraf perlantikan tersebut, mungkin kerana meragui kemampuan Ali membawa lagu-lagu keras XPDC.

ali xpdc anggota vokalis

Ali muncul sebagai vokalis rasmi XPDC dalam album 'Samurai' pada tahun 1998, mendiamkan kritikan dengan persembahan tenaga baik dalam rekod ataupun secara langsung, meninggalkan kita dengan lagu klasik seperti 'Teman' dan 'Semangat Perjuangan Harmoni'.

Karier Ali bersama XPDC berkekalan sehingga tahun 2005, sebelum beliau memilih untuk mengundurkan diri. Bagi mengisi semula tempat beliau, Mael melakukan penampilan semula kembali menyertai kumpulan lamanya. 

Kisah bagaimana perjalanan XPDC selepas itu terlalu kompleks untuk diceritakan, tetapi kesimpulannya Ali dan Mael terus aktif menyanyi bersama pelbagai variasi berbeza XPDC yang mungkin hanya dapat difahami aturannya oleh peminat fanatik mereka.

5. Kumpulan May

kumpulan may vokalis mus

Mungkin disebabkan imej mereka yang lebih keras berbanding dua lagi gergasi rock tanahair iaitu Search dan Wings, kumpulan May sering dilihat agak terselindung reputasinya berbanding dua kumpulan terbesar itu.

Walaupun demikian May tetap layak bergelar antara gergasi rock tanah air, yang turut pernah menjalani pertukaran vokalis yang berjaya.

Popular selepas album kedua mereka 'Hakikat' meletup dipasaran, kemampuan suara vokalis May, Mus yang tidak ada duanya dari segi identiti vokal - membariskan lagu-lagu kini diiktiraf klasik seperti 'Cintaku Sewangi Kasihku', 'Cintamu Mekar Dihati' dan 'Sendiri'. 

Bagaimanapun selepas 4 buah album yang diterima baik, Mus keluar daripada kumpulan May. Bagi menggantikan seorang penyanyi yang sudah dianggap ikon bukan senang, jadi hanya seorang ikon mampu menggantikan beliau. 

Nama Yantzen bin Juniwan, seorang lelaki dari Singapura yang juga bekas vokalis kumpulan handalan Rusty Blade disebut-sebut sebagai pengganti.

Yantzen juga hadir dengan kredibiliti tinggi sebagai seorang penyanyi solo, selepas album solo beliau yang mempunyai lagu berkonsepkan ketuhanan iaitu 'Insan' mendapat sambutan sangat menggalakkan peminat di Malaysia dan Singapura.

kumpulan may yantzen

Segala kebimbangan May akan berkubur berjaya dimatikan, selepas Yantzen berjaya memikul beban meneruskan legasi May muncul kali pertama sebagai vokalis May dalam album kelima 'Ziet Geist' yang diterbitkan dalam tahun 1992. 

Yantzen dan May kekal sehingga tahun 1997, sempat merakamkan 3 album yang meninggalkan kesan mendalam kepada peminat kumpulan tersebut.

Uniknya, kerjasama Yantzen, Mus dan kumpulan May kekal berpanjangan di mana kedua-dua vokalis hebat ini kerap kali bergabung dalam persembahan berkongsi tugas vokal dan berduet bersama lagu-lagu popular mereka.




Hakcipta iluminasi.com (2017)