Semasa pemerintahannya, diktator Korea Utara Kim Jung Il begitu berminat dalam propaganda melalui filem sehingga dia sendiri menulis sebuah buku bertahuk "On the Art of The Cinema".
Di dalam buku ini, Kim Jong Il menerangkan taktiknya menggunakan filem sebagai alat pendidikan untuk menyebarkan cita-citanya kepada negara.
Salah satu langkah dalam proses membuat filem-filem berkualiti tinggi adalah memerintahkan perkhidmatan rahsia untuk menculik para pengarah, pelakon, dan artis berbakat lain dari Korea Selatan supaya mereka dapat memberikan idea untuk filem.
BESARKAN TEKS A- A+
Walaupun plot filem-filem ini berbeza-beza, semuanya adalah bentuk propaganda yang direka untuk memastikan orang ramai mempercayai Pemimpin Besar mereka dan moral masyarakat yang mereka perlu ikuti.
iluminasi.com kongsikan antara 5 filem propaganda Korea Utara yang paling popular.
5. The Flower Girl
Berdasarkan opera dan novel, filem The Flower Girl menceritakan kisah penduduk Korea yang tinggal di bawah pendudukan Jepun pada tahun 1930-an.
Watak utama adalah seorang gadis yang terpaksa memanjat gunung dan memetik bunga setiap hari untuk menjualnya di pasar. Ibunya sangat sakit, adik perempuannya buta, bapanya sudah mati dan abangnya bertempur sebagai askar revolusioner.
Walaupun terlalu sakit untuk bekerja, tuan tanah tidak menunjukkan simpati kepada ibunya dan menuntut untuk menghalau mereka jika tidak membayar sewa mereka.
Tidak kira betapa keras dia bekerja, wanita muda itu tidak mampu membelikan ubat untuk ibunya. Akhirnya, ibunya meningggal dunia akibat penyakit yang dihidapi.
Adik perempuannya yang buta itu menangis dengan teruk. Tuan tanah yang letih mendengar tangisan tersebut kemudiannya mendakwa bahawa dia dirasuk oleh roh ibunya yang mati dan perlu dibunuh untuk mengusir syaitan.
Gadis bunga tidak lagi mempunyai tempat tinggal dan semakin menderita sepanjang filem. Abangnya kembali dari perang, dan Korea memenangi kemerdekaannya dari Jepun.
Matlamat filem ini adalah untuk menunjukkan betapa teruk dan dahsyatnya kehidupan di Korea Utara bet sebelum komunisme, di mana mereka mendapat penjagaan kesihatan percuma dan perumahan apabila komunis mengambil alih.
Filem ini dianggap sebagai filem propaganda Korea Utara yang paling terkenal dan berjaya, kerana lakonan yang hebat dan ia memberikan emosi kepada sesiapa sahaja yang menontonnya, tidak kira di mana anda tinggal di dunia.
4. O Youth!
Filem ini memaparkan kehidupan keluarga Korea Utara dengan lima anak perempuan yang semuanya adalah atlit profesional dan seorang anak lelaki.
Anak lelaki itu merupakan seorang ahli sejarah yang masih tinggal bersama ibu bapanya semasa dia bekerja untuk tesis PhDnya. Oleh kerana dia berusia hampir 30 tahun dan masih bujang, ibunya sangat risau akan pencarian isteri untuknya.
Lelaki ini kemudiannya bertemu dengan seorang wanita di perpustakaan. Dia mula memikatnya dan berfikir bahawa dia adalah sejenis gadis ulat buku, tetapi pada hakikatnya, dia adalah seorang atlet Taekwondo profesional.
Filem ini memaparkan kompleks sukan di Pyongyang yang dibina oleh Kim Jong Il. Watak-watak bercakap tentang kemuliaan Pemimpin Besar mereka dan betapa Kim Jong Il menghargai bakat atletik muda.
Sebaik sahaja anak lelaki dan ibunya mendengar tentang ini, mereka sangat teruja dan terharu sehinggakan mereka mula untuk menghargai sukan.
Pada satu ketika di dalam filem itu, pasangan muda tersebut diganggu oleh sekumpulan lelaki, namun teman wanitanya menyelamatkan mereka berdua dengan melawan mereka menggunakan kemahiran Taekwondonya.
Sebaik sahaja kehebatan Taekwondonya terbongkar, lelaki itu meminta teman wanitanya untuk menyemak tesis Sejarah Taekwondo beliau untuk PhDnya.
Wanita tersebut memberi cadangan bahawa dia perlu memberi lebih banyak kredit kepada Pemimpin Besar, kerana tanpa dia, sukan itu tidak akan sama seperti yang mereka nikmati.
3. Welcome Of North Korea
Video Bahasa Inggeris alih suara ini dicipta pada tahun 1980-an untuk menggalakkan pelancong asing melawat Korea Utara.
Negara ini kelihatan seperti rakyat hidup dalam kelimpahan ekonomi, dengan bangunan besar, pakaian yang indah dan banyak makanan yang terhidang.
Warga asing dibawa ke pertunjukan akrobatik, kedai hadiah, bangunan bersejarah, dan pantai. Sesiapa menonton video ini akan mengandaikan bahawa Korea Utara adalah tempat yang baik untuk didiami dan khabar angin negatif tidak semestinya benar.
Hari ini, lawatan yang diberikan kepada pelancong adalah sangat serupa seperti dalam video ini, kecuali mereka telah menambahkan beberapa tarikan moden yang baru, seperti taman air dan pusat teknologi.
Pelancong yang memasuki negara ini tidak dibenarkan bersendirian pada bila-bila masa dan mereka harus menunjukkan penghormatan kepada Pemimpin Besar.
Sekiranya anda berminat untuk melihat apa yang dibenarkan untuk dilihat pelancong di Korea Utara pada hari ini, pembuat filem Louis Cole mendokumentasikan lawatannya di negara ini di Saluran YouTubenya, FunForLouis.
2. Order No. 27
Tentera Korea Utara mesti melancarkan misi rahsia. Mereka memahami bahawa ia sangat berbahaya, tetapi mereka dengan senang hati menerima peluang untuk berkhidmat kepada Pemimpin Besar, Kim Jong Il.
Seluruh filem ini memaparkan seolah-olah ia seperti sebuah parodi, namun ia sangat serius. Setiap pertempuran kelihatan seperti sesuatu daripada Mortal Kombat.
Tentera Korea Utara kelihatan sangat mahir sehingga ke tahap adiwira. Bagi mereka yang menonton dari dunia Barat, Order No. 27 adalah lucu dan agak tragis pada masa yang sama.
Mungkin filem ini difilemkan untuk membuat warga Korea Utara (yang mana semuanya diwajibkan untuk menjalani latihan tentera) teruja memasuki medan perang sebenar suatu hari nanti.
Atau mungkin Kim Jong Il berharap bahawa negara-negara lain akan melihat filem itu dan percaya bahawa setiap tentera Korea Utara adalah pakar Kung Fu.
Di pengakhiran filem, tentera-tentera dapat menyelesaikan misi mereka, tetapi beberapa rakan mereka mati di sepanjang jalan.
Tidak seperti filem perang Amerika Syarikat, semua tentera bahkan komander mereka, secara terbuka menangis kerana kehilangan rakan-rakan tentera mereka.
Dialog terakhir filem itu menjelaskan bahawa "apabila seorang tentera mati untuk Pemimpin Besar dan Parti Komunis, kehidupan mereka kekal di dalam minda rakyat kita."
1. Under The Sun
Filem dokumentari 2015 ini adalah projek yang dimulakan oleh pengarah Rusia Vitaly Mansky.
Dia mahu melakukan dokumentari mengenai kehidupan di Korea Utara, jadi selepas bertahun-tahun berunding, Korea Utara membenarkannya akses tetapi dengan satu syarat, iaitu hanya jika dia memfilemkan segala-galanya yang mereka mahukan.
Dia menyedari bahawa segala-galanya dalam kehidupan orang-orang yang dia "dokumentasikan" adalah sebuah lakonan dan Korea Utara mahu menggunakan Mansky untuk membuat filem propaganda.
Niat Korea Utara telah memakan diri sendiri apabila Vitaly memilih untuk meninggalkan kamera yang merakam seberapa banyak yang mungkin dan memotong rakaman yang dilakonkan, supaya dunia dapat melihat dengan jelas bagaimana rakyat Korea Utara dilayan dan berapa banyak kehidupan yang baik di negara ini dirancang.
Dalam satu adegan, Vitaly dibawa ke sebuah kilang. Mereka berjalan melalui tangga dan lorong dan segala-galanya kelihatan kosong, kecuali beberapa bilik yang dipenuhi dengan mesin-mesin.
Lelaki dan wanita, yang mana kita tahu adalah pelakon yang mempunyai pekerjaan lain yang berbeza, diminta untuk berlakon sebagai pekerja kilang.
Dialog-dialog mereka berkisarkan tentang bagaimana untuk meningkatkan pengeluaran dan kejayaan kerja mereka.
Di antara rakaman, anda akan dapat melihat wanita memakai jaket sejuk mereka yang menunjukkan bahawa kilang itu tidak mempunyai sebarang pemanas walaupun ketika musim sejuk.
Tentunya, kerajaan Korea Utara tidak senang dengan filem ini dan mengharamkannya untuk ditayangkan di negara mereka. Walau bagaimanapun, Under The Sun telah menerima pelbagai anugerah di bahagian lain di dunia.
Rujukan:
1. Indie Wire